Saturday, October 24, 2015

Detik akhir, gempa politik dan formula iPhone – Liew Chin Tong

Detik akhir, gempa politik dan formula iPhone – Liew Chin Tong


Walaupun kedengaran klise, zaman sekarang sesungguhnya zaman yang terbaik dan terburuk sekaligus. Dan, pada zaman yang mengelirukan, kejelasan amat terbatas.
Ada 3 perkara yang mungkin dapat membantu memahami keadaan semasa politik Malaysia: Kiraan terakhir akan segera berlaku;  berlaku gempa bumi, geseran plat tektonik dan penyelarasan semula kuasa politik di Malaysia; juga pengundi sedang menantikan suatu transformasi – lebih kurang seperti iPhone sewaktu ia pertama kali dicipta.
Detik terakhir
Ramai kagum dengan kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu tentang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan kejatuhan ringgit. Kerana lazimnya, kenyataan Majlis Raja-raja hanya menyentuh isu Islam dan perpaduan nasional.
Sebenarnya, sejak krisis kewangan Asian pada 1997 dan pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, Malaysia menjadi sebuah negara yang ternanti-nanti akan perubahan.
Tetapi perubahan yang berlaku tidak seberapa, itupun jika ada. Dan kini kita di ambang krisis baru ‘ribut badai’ yang melanda negara dari pelbagai aspek – politik, ekonomi, keuangan, hubungan etnik dan lain-lain.
Dari aspek kerajaan, jika Datuk Seri Najib Razak terus memimpin Umno hingga pilihan raya akan datang, Umno bukan sahaja akan kalah tetapi berkemungkinan pemimpin Umno melompat dari ‘kapal karam’ untuk bertanding melawan Umno. 
Bagi penyokong Umno dan Barisan Nasional (BN), mereka pasti hendak tahu: Jika Umno berjaya menggantikan Najib, adakah proses penyingkiran itu berjalan lancar ataupun sebaliknya?
Jika Najib disingkir, adakah Umno akan terus bersatu? Dan tanpa Najib, bolehkah Umno menang dengan pemimpin yang baharu?
Bagi kita, soalan utama yang ingin ditanyakan ialah: Adakah semua masalah Umno berpunca daripada Najib atau adakah ia sebenarnya masalah sistemik? Bolehkah masalah sistem diselesaikan hanya dengan melantik pemimpin baharu?
Ada mungkin mengatakan Umno boleh memeranjatkan semua dengan transformasi mengejut dan menyeluruh.
Tetapi, sekali lagi, itu hanya cubaan untuk bersangka baik. Pada sesi Parlimen yang berlangsung hangat, kita lebih berasa detik-detik terakhir akan segera berlaku.
Gempa bumi
Pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal daripada kerajaan pada 28 Julai adalah gegaran 'gempa bumi’ besar yang tidak pernah berlaku sejak September 1998. Ahli Umno masih terperanjat, namun tidak mampu bersuara secara terbuka – sekurang-kurangnya buat masa ini.
Golongan moderat dan progresif dalam PAS tidak bersatu. Mereka tewas dalam pemilihan PAS pada 6 Jun lalu. Tiga bulan kemudian, mereka membentuk Parti Amanah Negara (Amanah).
Selagi PAS dipimpin Datuk Seri Abdul Hadi Awang, parti itu tidak akan memenangi undi Melayu kelas pertengahan, apatah lagi pengundi bukan Melayu. PAS sedang mengucapkan selamat tinggal kepada undi dari pantai Barat Semenanjung.
Tanpa golongan progresif, PAS juga tidak akan mampu menjadi tarikan di luar Kelantan dan Terengganu serta sebahagian kawasan di Kedah.
Ada pemerhati berpendapat, PAS terancam kerana bakal kehilangan Kelantan akibat isu berbangkit daripada pentadbiran yang lemah sejak bertahun-tahun lalu.
Kita juga tidak boleh menolak kemungkinan perpecahan kedua dalam PAS atau Hadi digantikan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilihat memainkan peranan seperti pendahulunya, Mohamad Sabu (kini presiden Amanah) bagi menonjolkan imej anti-Umno.
Melalui pimpinan Hadi beberapa tahun kebelakangan ini, garis antara PAS dan Umno semakin kabur. Ini satu ironi.
Mengikut pemimpin dan ahli Umno, Hadi melabel Umno sebagai “parti kafir” sekitar 1980-an, juga mengistihar PAS sebagai pejuang anti-assabiyah (perkauman), merujuk kepada jenama Melayu nasionalis yang dibawa Umno.
Tindakan Hadi merangkul Perkasa, kumpulan pejuang supremasi Melayu memeranjatkan sesetengah pemimpin dan ahli akar-umbi. Mereka tahu ia mungkin menyebabkan bencana pilihan raya kerana Perkasa terang-terangan bersifat assabiyah.
Dari aspek Najib, pada saat semua perkara sedang menongkah arus pentadbirannya – atau kelemahan pentadbiran – sang ‘pelakon’ moderat kini ditopang oleh Datuk Jamal Yunos daripada “kumpulan baju merah”, ulama Muslim konservatif termasuk beberapa mufti, juga Hadi serta Datuk Haron Din untuk sokongan ideologi mereka.
Golongan itu tidak menyembunyikan penghinaan mereka terhadap semangat kesederhanaan dan kemajuan.
Seperti yang disebutkan tadi, gempa bumi besar biasanya disusuli gempa bumi kecil, peralihan tektonik dan penyelarasan semula. Ia juga akan meninggalkan kelompongan besar.
Kelompongan
Umno yang dipimpin Najib dan PAS pimpinan Hadi melihat perkara dari kaca mata etno-sentrik. Pandangan itu tidak mewakili banyak suara orang Melayu, apatah lagi masyarakat Malaysia, amnya.
Mengikut kajian Merdeka Center, hanya 23% orang Melayu menyokong Bersih manakala 24% menyokong perhimpunan ‘Baju Merah’.
Jika ia merupakan dua ‘kutub’ pendapat yang berlawanan, jelaslah sekumpulan besar yang berada di tengah-tengah kemelut tidak ada pilihan jelas – merekalah golongan ‘garis tengah’ yang mampu mempengaruhi keputusan mana-mana pilihan raya.
Malaysia versi ‘rasis’ yang dipromosi Najib dan Hadi adalah resipi bagi bencana pilihan raya. Mana-mana gabungan harus tahu mereka memerlukan sokongan semua kaum di Semenanjung dan memenangi undi dari Sabah dan Sarawak.
Perjuangan demi Malaysia semakin terbentuk oleh golongan konservatif dan progresif, antara mereka yang mendesak dominasi Melayu-Islam tanpa ‘kompas moral’ dan mereka yang mengimpi Malaysia yang lebih baik untuk semua, ditadbir melalui prinsip keadilan sejagat selaras 'Maqasid Syariah'.
Nyata, ada kelompongan besar dan tiada sesiapa mampu mengisi kekosongan itu.
iPhone
Ia suatu revolusi sewaktu Steve Jobs pertama kali menciptakan iPhone pada 2007. iPhone menggabungkan fungsi iPod (muzik), Internet dan telefon – 3 fungsi yang sebelumnya terasing – ke satu produk yang menetapkan norma baru untuk diikuti pencipta lain.
iPhone adalah jawapan kepada keinginan pengguna yang sebelum itu tidak terpenuhi.
Dalam senario pasca gempa bumi dengan kelompongan kepimpinan besar yang perlu diisi, berbaloi bagi kita sebagai sebuah negara untuk berfikir tentang keperluan bagi membawa perubahan pada pilihan raya akan datang.
Kita maklum betapa agenda Malaysia konservatif adalah supremasi Melayu.
Bagaimana seharusnya reaksi masyarakat progresif di Malaysia? Masyarakat progresif memerlukan set gagasan yang jelas dan mampu menciptakan ‘iPhone’ dalam konteks politik Malaysia – sesuatu yang baru dan mampu memikat hati serta minda terutama pengundi Melayu di kerusi yang dimenangi (atau kalah) dengan majoriti tipis.
Banyak dibahas mengenai pembangkang gagal menembusi kubu Umno di kawasan pedalaman. Kubu seperti Rompin atau Pengerang memang direka khas untuk Umno. Sukar memasuki kawasan pedalaman, sekurang-kurangnya buat masa ini.
Untuk menenang pilihan raya bukanlah dengan memfokus kerusi itu. Sebaliknya, daripada 73 kerusi Umno di Semenanjung, sekurang-kurangnya 35 kerusi dimenangi dengan perbezaan undi tipis (marginal).
Masyarakat Malaysia yang progresif harus memasang matlamat untuk memenangi 40 kerusi Umno di Semenanjung. Jika itu dapat dicapai, semua yang lain akan ikut serta.
Langkah masa depan
Langkah masa depan adalah untuk mewujudkan wawasan yang mampu menginspirasi seluruh rakyat Malaysia dengan tumpuan khusus ke arah membawa kemapanan ekonomi dan kesejahteraan kepada golongan Melayu berpendapatan sederhana rendah di kawasan separa-bandar.
Namun, setiap mereka ada satu undi, dan ramai yang mempunyai telefon pintar, Facebook dan saluran-saluran komunikasi yang tidak dikawal sepenuhnya oleh kerajaan.
Masa depan masyarakat progresif terletak pada kemampuannya untuk menzahirkan kehendak dan aspirasi rakyat Malaysia, serta kerisauan mereka tentang kerja, gaji, kesihatan, pengangkutan, keselamatan, pendidikan dan lain-lain.
Kita memerlukan visi ekonomi yang mampu mencipta kitaran gaji, kemahiran dan produktivi lebih tinggi supaya akan ada titik pertemuan antara kepentingan kaum bukan Melayu yang mendominasi sektor industri kecil sederhana dan pekerja Melayu di kawasan separa-urban, dan bukannya pertentangan.
Apabila rakyat Malaysia mendapati  kesejahteraan ekonomi mereka lebih terjamin atau akan lebih terjamin menerusi kerajaan yang baru, perubahan tidak akan ditakuti dan sebaliknya akan didamba dengan sepenuh hati.
Sejujurnya, Umno-BN boleh melakukan perubahan jika mereka mahu. Tetapi kita tahu  ramai pemimpin mereka sudah tidak berpijak di bumi nyata. – 23 Oktober, 2015.
* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/detik-akhir-gempa-politik-dan-formula-iphone-liew-chin-tong#sthash.B5q2r42O.dpuf
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers