Tuesday, June 30, 2015

Tiada faedah penangkapan Justo, wang 1MDB tetap hilang – Dr M



Tiada faedah penangkapan Justo, wang 1MDB tetap hilang – Dr M

Tiada faedah penangkapan Justo, wang 1MDB tetap hilang – Dr M

Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan pengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak perlu memohon maaf walaupun bekas Pengarah PetroSaudi International (PSI) Xavier Andre Justo diberkas di Thailand.

Bekas perdana menteri itu berkata, hakikatnya wang 1MDB masih hilang dan penahanan Justo tidak sesekali menjelaskan ke mana wang tersebut dibelanjakan.

“Sesetengah orang sangat teruja mengenai Justo. Mereka sekarang berkata pengkritik perdana menteri perlu meminta maaf. Maaf untuk apa?
“Hakikatnya sejumlah wang yang banyak sudah hilang. Bolehkah Justo membawa kembali wang itu?” katanya menerusi kiriman terbaru di blog popularnya, chedet.cc hari ini.

Dr Mahathir berkata tiada bukti menunjukkan dokumen yang didedahkan Justo sudah diganggu gugat dan bagaimana dia meniadakan fakta yang diakui Najib dalam jawapan bertulis Parlimen.

Katanya, Justo menjelaskan pinjaman 1MDB AS$1.9 bilion kepada anak syarikat PSI adalah bagi mengurangkan risiko pegangan ekuiti.

“Memberi pinjam kepada rakan kerjasama yang tidak sesuai akan meningkatkan risiko, bukan mengurangkannya.

“Memberi pinjam AS$1.9 bilion, di mana wang itu sekarang? Kerajaan tak menjelaskan. Adakah di Pulau Cayman, Singapura atau di mana?

“Wang berkenaan tidak dapat dipindahkan tanpa direkodkan bank terlibat. Pastinya Najib tahu. Wang tersebut belum kembali,” katanya.

Justo ditahan di sebuah pulau di Thailand pada 22 Jun dan dihantar ke Bangkok keesokannya.

Dia dituduh membocorkan maklumat berkaitan 1MDB dan kini ditahan di Jabatan Jenayah Penindasan Polis Diraja Thailand.
Beberapa komputer, pemacu cakera keras dan alat penyimpanan data turut dirampas daripadanya, bagi membantu siasatan mengenai kebocoran e-mel antara PSI dan 1MDB bagi tujuan peras ugut.

Justo dipercayai membocorkan dokumen kepada laman web berpangkalan di UK, Sarawak Report yang kemudiannya menyiarkan mengenai urus niaga kerjasama 1MDB-PetroSaudi yang dimulakan ahli perniagaan Low Taek Jho bersama pasukannya pada 8 September, 2009 iaitu kurang sebulan sebelum ia ditandatangani.

Dalam urus niaga itu Low didakwa menyeleweng AS$700 juta ke sebuah syarikat kawalannya, dakwaan yang dinafikan.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers