Kesihatan Anwar makin merosot, kerajaan lambat bertindak

Kesihatan Anwar makin merosot, kerajaan lambat bertindak

(Oleh Nadia Hanafi)
PETALING JAYA 30 MEI: Kesihatan Ketua Umum KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim yang menjadi mangsa tahanan politik sejak 17 Februari lalu didapati semakin merosot.

Menurut Ketua Whip KEADILAN, Datuk Johari Abdul, berat badan Anwar menurun dengan mendadak, tekanan darahnya tidak menentu juga terdapat kesan darah dalam sampel najis beliau.
“Sejak beliau dipenjarakan, kami diberitahu beliau kehilangan berat badan kira-kira 6 kilogram dan ini sungguh membimbangkan sekiranya berterusan.

anwar jadi mangsa“Terdapat juga simptom kesan darah dalam sampel najis, yang memerlukan pemeriksaan perubatan secara lebih dekat.

“Beliau juga direkodkan mempunyai tekanan darah yang tidak menentu, dan bacaannya setinggi 163/108 walaupun beliau sedang menjalani rawatan ubatan,” kata Johari.

Selain dari itu katanya, Anwar juga mempunyai kecederaan teruk di bahu akibat kemalangan kecil setahun lalu yang memerlukan pemeriksaan MRI dan berkemungkinan pembedahan untuk pulih sepenuhnya.

Johari juga berkata, Anwar banyak kali membuat permintaan untuk melakukan rawatan perubatan namun tindakan lambat diambil oleh kerajaan.

Bagaimanapun, peguam Anwar yang menemuinya dua hari lepas, dimaklumkan bahawa Anwar akan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur Selasa ini, untuk pemeriksaan, permerhatian dan rawatan perubatan.

“KEADILAN dan keluarga Anwar sangat mengesali kelewatan kerajaan untuk memberikan rawatan perubatan kepadanya. Kami menuntut agar beliau diberikan penjagaan kesihatan secara menyeluruh yang diperlukan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.

Menurut Johari lagi, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi hendaklah memberikan jaminan bahawa Anwar dibenarkan berada di hospital selama mana yang diperlukan untuk penilaian kesihatan dan rawatan yang diperlukan sehingga pulih.

“Kegagalan kerajaan untuk memenuhi tuntutan ini merupakan sebuah pencabulan hak asasi kepada saudara Anwar untuk mendapatkan rawatan perubatan yang adil dan saksama,” katanya.

Dalam pada masa yang sama, Naib Presiden KEADILAN yang juga anak sulung Anwar, Nurul Izzah mendesak kerajaan supaya membenarkan ahli keluarga diberikan akses sepenuhnya untuk berjumpa Anwar sepanjang tempoh beliau berada di hospital.
“Keluarga akan desak untuk bertemu Anwar di hospital kerana ini praktis terdahulu semasa pemenjaraan sebelum beliau bebas pada
2004. Jika keluarga dihalang bertemu dengan beliau, saya kira itu arahan baru atas kuasa-kuasa politik atasan.


“Kita juga akan desak supaya ada penilaian bebas iaitu pihak doktor dari keluarga untuk mengesahkan keadaan beliau dan kita akan beri kerjasama penuh.

“Pada masa sama kalau ia memberikan kesan negatif kepada kesihatan bapa kami, kami harus bertindak,” tegas Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

No comments: