PAS TIADA LAGI "SYURA"?

Pendedahan di Malaysiakini tentang 'perbincangan sulit' di antara beberapa pemimpin tinggi PAS dan Umno menzahirkan segala kemelut yang berlaku di Selangor dewasa ini.

Sejak sebulan lalu Presiden PAS Hadi Awang mengambil langkah yang mengejutkan pemerhati politik apabila beliau menyokong sepenuhnya Khalid Ibrahim biarpun PAS tidak sepatutnya mencampuri urusan penukaran Menteri Besar selepas konsensus Pakatan Rakyat memperuntukkan kerusi MB kepada PKR tanpa syarat.

Pemerhati politik meramalkan PAS bakal mengambil laluan songsang yang lebih dahsyat sekiranya mesyuarat PAS Pusat pada 10 Ogos ini menolak mentah-mentah penukaran Khalid berdasarkan arahan Hadi.

Golongan profesional PAS akan melihat parti itu tidak lagi mempunyai masa depan kerana keputusan ditentukan oleh presiden dan mursyidul am secara total. Tidak lagi melalui syura yang dibanggakan PAS sejak sekian lama.

Daripada parti Islam dinamik PAS akan bergerak menjadi parti authoritarian yang mana pengikut dan pemimpinnya dikawal melalui fatwa dan pendapat ulama.

Umno terima Hudud

Tidak mustahil juga ulama akan mencadangkan PAS meninggalkan Pakatan berdasarkan kelunakan Umno ke atas Hudud. Bagi mereka sesiapa yang menerima Hudud adalah kawan dan sesiapa yang menentang automatik menjadi musuh. Biarpun Umno akhirnya menipu PAS dalam perlaksanaan hukum itu.

Seorang veteran PAS yang enggan dikenali tetapi pernah rapat dengan kepimpinan tertinggi parti itu berpendapat semua kemelut ini berpunca daripada puak yang membenci Anwar sejak zaman kepimpinan Presiden Fahdil Noor. Puak itu gagal menyekat Fadhil membela Anwar yang kemudian memenangkan PAS dalam arus reformasi, kini mereka mempunyai kuasa ke atas beberapa ulama penting PAS dan berjaya mempengaruhi mereka menggunakan isu Hudud.

"Mungkin puak Hasan Ali juga terlibat di Selangor. Presiden tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan menyokong Khalid kerana PAS telah menghantar wakil dalam menyuarat majlis Presiden Pakatan Rabu lalu. Prsiden mesti merujuk pemimpin PAS yang hadir mesyuarat sebelum membuat kenyataan," katanya merujuk pembelaan Hadi ke atas kepimpinan Khalid dua hari sebelum Aidilfitri lalu walaupun Timbalan Presiden Mohammad Sabu menyokong pertukaran MB Selangor.

"Khalid sebenarnya hanya jadi alat kepada puak yang tidak suka Anwar. Perancangan lebih besar, sekiranya Anwar gagal menukar Khalid maka puak dalam PAS itu akan mendesak Anwar bersara dari politik. Dulu mereka (pura-pura) sanjung Anwar,lepas mereka kuat maka mereka nak buat haluan sendiri.

"Memang ada perancangan dari puak yang tidak suka kepada Anwar dalam hal ini. Khalid diguna sebagai batu loncatan," katanya.

Tambahnya, pertelingkahan dalaman PAS akan lebih sengit kerana puak itu beranggapan Anwar adalah sekular dan mesti diperangi. Mereka akan mengunakan semua pendekatan menjarakkan penyokong PAS daripada Pakatan.

Kerajaan PAS - BN Selangor

Dengan nada sedih veteran PAS tersebut menyifatkan situasi yang berlaku hari ini adalah ulangan kepada apa yang terjadi pada zaman PAS Asri Muda. PAS ketika itu bekerjasama dengan BN memerintah Kelantan.

Akhirnya Umno mewujudkan kemelut politik dan mendaruratkan negeri itu selepas membuat provokasi. Penyokong PAS dituduh merusuh menyokong Asri. PAS pecah dua dan parti sepihan ditubuhkan. PAS kalah teruk dalam pilihan raya negeri 1978.

No comments: