Monday, July 28, 2014

ANWAR MASIH YAKIN PADA PAS?

 

Anwar percaya ‘muafakat’ Pakatan kekal walau timbul kemelut MB Selangor


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya "semangat‎ muafakat" dalam Pakatan Rakyat (PR) akan kekal walaupun terdapat pergeseren di antara parti komponen dalam isu melibatkan penukaran menteri besar Selangor.

Kenyataan Anwar dilihat sebagai langkah untuk meredakan ketegangan PR selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka menidakkan keputusan Majlis Pimpinan PR yang sudah bersetuju Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan disingkirkan.

"Saya percaya semangat muafakat dalam PR akan terus dikekalkan dan seterusnya mendukung perubahan dengan menjana pertumbuhan ekonomi mampan yang lebih prihatin akan permasalahan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada lewat petang hari ini.

"Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri dimaklumkan semenjak Mac 2014 dan nama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah dikemukakan secara rasmi kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat minggu lalu."
Anwar turut mempertahankan keputusan PKR menggantikan Khalid dengan isterinya Dr Wan Azizah sebagai kesinambungan kepada "Langkah Kajang".‎

Keputusan PKR mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor mendapat kritikan pelbagai pihak tetapi dipersetujui DAP.

Meskipun dalam mesyuarat Majlis Pimpinan PR, Anwar mengumumkan DAP dan PAS bersetuju dengan penyingkiran Khalid, Hadi membuat kejutan dengan menyatakan sokongan terbuka agar menteri besar Selangor dikekalkan.







Hadi berkata, Khalid patut dikekalkan sebagai menteri besar sekurang-kurangnya sehingga penggal ini kerana konsep amanah yang diamalkan oleh pemimpin itu.

Mursyidul Am PAS Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam reaksinya hari ini mengenai kemelut dalaman PKR juga meminta semua ahli PAS menghormati pendirian Hadi.

Manakala DAP dalam perutusan Aidilfitri, membayangkan kemungkinan PR akan berpecah kerana kegagalan atau keengganan salah satu parti komponen untuk menghormati dan memegang janji berdasarkan keputusan yang dicapai secara bersama.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, tindakan salah satu parti komponen yang menidakkan persetujuan Majlis Pimpinan PR boleh menyebabkan kredibiliti dan survival gabungan itu tergugat.
Kenyataan Lim itu merujuk kepada kenyataan Hadi yang menidakkan keputusan Majlis Pimpinan PR pada Rabu untuk menyingkirkan Khalid.


Biarpun diasak dengan hebat untuk Khalid meletakkan jawatan namun Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu tetap dengan pendirian untuk tidak berundur.


Khalid dalam kenyataannya hari ini melahirkan penghargaan terhadap pemimpin tertinggi PAS atas sokongan parti Islam itu.


Katanya dengan sokongan itu, Khalid bertekad untuk mentadbir Selangor dengan lebih baik sehingga habis mandat. -TMI





Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers