Sumpah Laknat Tak Apa - Najib




KUALA LUMPUR 30 APRIL : Setiap orang ada hak untuk melakukan sumpah laknat tetapi kerajaan tidak akan campur tangan sama ada untuk menggalakkan atau mengelakkan tindakan sedemikian, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri mengulas langkah ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah semalam melakukan sumpah laknat berhubung video seks kontroversi, yang didakwa si pelakunya mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Najib yang juga presiden Umno berkata, orang perseorangan dan parti-parti politik seharusnya mengambil pendekatan yang sama seperti kerajaan.

Katanya, tidak kisah sama ada Shazryl atau Anwar mahu melakukan sumpah laknat kerana akhirnya rakyat umum akan menilai kejujuran individu terbabit Najib dipetik berkata dari portal The Malaysian Insider

"Ini adalah isu peribadi dan tidak membabitkan Umno ataupun kerajaan. Jika sesiapa merasakan mahu melakukan sumpah laknat, maka terpulang kepada mereka. Kami tidak menggalakkan dan tidak akan menghalang mereka," katanya lagi.

"Saya merasakan setiap orang mesti ada sikap yang sama. Parti-parti politik mesti ambil sikap bahawa ini adalah urusan peribadi," kata beliau selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Umno di sini semalam.

Najib juga mengkritik penyokong PKR yang cuba untuk mensabotaj langkah ahli perniagaan mahu melakukan sumpah laknat dan tidak menghormati kesucian tempat ibadat.

"Kita mesti menghormati kesucian masjid," katanya yang turut mempertahankan akhbar-akhbar menyiarkan sedutan klip video seks itu.

"Ini bukan perkara baru. Berita video seks telah dilaporkan sebelum ini. Sudah tentu akhbar perlu melaporkan apabila ia melibatkan pemimpin tetapi ia tiada kaitan dengan Umno," katanya.

Petang tadi, Shazryl melakukan sumpah laknat berhubung isu video seks di Masjid Amru al-As, Bandar Baru Sentul sekitar 4 petang ini selepas dibatalkan dua jam sebelum itu ekoran kekecohan.

Datuk T itu menyempurnakan niatnya dengan mengenakan baju kalis peluru kira-kira 4.15 petang di hadapan pembantu imam masjid itu Ezhan Mohd Piah.

Turut hadir dua lagi ìDatuk Tî, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim.

No comments: