Swasta Saman Ekor Untuk Tampung Belanja P'Raya BN- Mahfuz

GOMBAK 17 FEB: Keputusan kerajaan menswastakan saman ekor melalui Sistem Penguatkuasaan Secara Automatik(AES) bertujuan untuk menampung perbelanjaan Umno-Barisan Nasional(BN)menghadapi pilihan raya umum ke-13, kata Datuk Mahfuz Omar.

Tindakan ini kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu adalah satu bentuk tekanan kepada rakyat yang sudah terbeban dengan kenaikkan harga barang ekoran kenaikkan harga minyak secara berterusan.

Pelaksanaan sistem AES yang diserahkan kepada dua syarikat iaitu Commerical Circle (M) Sdn Bhd dan Beta Tegap Sdn Bhd.

“Saya berkeyakinan dua syarikat ini mempunyai kaitan dengan Umno-BN dan sudah pasti hasil keuntungan yang akan diperoleh nanti akan diberikan kepada parti ini, sudah pasti keuntungan yang berjuta ringgit ini pasti ada pihak yang dapat keuntungan.

“Sudah tentu ada habuan yang akan dibayar kepada Umno-BN untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13, sebab itu kita bantah saman ekor dan bantah penswastaan saman ekor,” katanya pada majlis pelancaran Kempen Anti Saman Ekor(KASE) yang diketuainya.

Tambah Mahfuz, pihaknya masih menjalankan siasatan terperinci mengenai dua syarikat yang diberikan kuasa untuk melaksanakan AES itu.

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS berkata, tindakan kerajaan pimpinan Najib terpaksa bergantung kepada hasil wang saman ekor berbanding hasil negara.

“Kerajaan sekarang begitu kejar rakyat sampai ke lubang cacing semata-mata untuk cekik darah rakyat untuk menampung perbelanjaan negara.

“Hasil negara sudah tidak mencukupi kerana ia hilang begitu sahaja disebabkan pembaziran, ketirisan dan rasuah yang berlaku,” katanya.

Sesi penerangan tersebut akan menjelajah ke seluruh negara dengan memberi tumpuan kepada mangsa saman ekor.

Sementara itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata langkah terbaru Umno-BN itu menunjukkan mereka semakin terdesak untuk menambah perbelanjaan negara.

“Ini salah satu cara kerajaan untuk memperkayakan syarikat yang ada kaitan dengan Umno-BN, dalam pilihan raya umum ke-13 nanti Umno-BN pasti tumbang sebab itu masa sekarang mereka rompak habis-habisan,” katanya.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Dr Hasan Ali dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.


No comments: