PEMILIHAN PKR BERMULA ESOK

Lebih 400,000 ahli PKR dijangka menunaikan tanggungjawab mengundi dalam pemilihan pimpinan pusat parti itu bermula esok hingga 21 November depan.

Pemilihan pimpinan tertinggi membabitkan jawatan timbalan presiden, empat jawatan naib presiden (tiga jawatan lagi dilantik) dan 20 jawatan ahli majlis pimpinan pusat (MPP). Presiden Dr Wan Azizah Wan Ismail menang tanpa bertanding.

Menurut Setiausaha Pengelola Pemilihan Radin Shamsul Kamar, ketika Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) lalu lebih 70,000 ahli keluar mengundi di setiap cabang.

Beliau menjangkakan angka itu akan bertambah memandangkan pemilihan pusat disifatkan sebagai penting dan membabitkan lebih ramai ‘personaliti’ parti yang bertanding.

“Kami mengharapkan lebih ramai yang keluar mengundi sebab dulu membabitkan cabang dan kini pengundian penting bagi jawatan tertinggi parti.

“Pemilihan pusat ini melibatkan lebih ramai personaliti atau orang ternama dalam parti. Maka ahli parti mahu lihat calon kesukaan mereka menang bagi jawatan tertentu. Maka saya jangka angka akan bertambah dan lebih ramai yang akan turun mengundi,” katanya ketika dihubungi FMT.

Bermula esok dua negeri akan membuka tirai pengundian dengan empat cabang (Tumpat, Kota Bharu, Rantau Panjang dan Pengkalan Chepa) di Kelantan dan lima (Langkawi, Kubang Pasu, Alor Setar, Kuala Kedah dan Pokok Sena) di Kedah.

Menurut Radin, cabang Pasir Mas di Kelantan yang sepatutnya mengadakan pengundian esok, terpaksa ditangguhkan pada 6 November disebabkan masalah logistik.

Bagi Sabah pula, 11 cabang yang dijadualkan mengadakan pengundian Sabtu ini ditunda ke 6 November bagi memberi laluan kepada pilihan raya parlimen Batu Sapi pada 4 November.

Ia turut membabitkan sembilan lagi cabang di Sabah yang sepatutnya mengadakan pengundian pada Ahad (31 Oktober) ditukar ke 7 November.

Secara keseluruhannya, 222 cabang bakal mengadakan pemilihan pusat pada setiap hujung minggu yang bakal berakhir pada 21 November ini.

PKR yakin proses pemilihan berjalan lancar

Sementara itu, Radin berkata parti sentiasa komited dalam memperbaiki masalah yang pernah wujud dalam pemilihan cabang sebelum ini.

Maka parti telah menambah lebih 100 petugas (pengawas) yang dilantik bagi memastikan proses pemilihan berjalan lancar.

“Melalui pengalaman dalam pemilihan lalu kita dah kenal pasti kelemahan. Maka kita bersiap sedia dari segala segi.

“Jika dulu kita ada 100 pengawas kini kita lantik 100 lagi bagi memantau perjalanan pemilihan. Kita sentiasa komited dalam memperbaiki kelemahan dan berharap segalanya berjalan dengan teratur dan baik,” katanya.

Jawatan ‘panas’ bagi kerusi timbalan presiden menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Naib Presiden Azmin Ali, Mustaffa Kamil Ayub serta ahli MPP Datuk Zaid Ibrahim.

Kongres Nasional PKR dijadualkan berlangsung pada 26 hingga 28 November di Dewan Majlis Perbandaran Petaling Jaya.

No comments: