Wednesday, July 4, 2018

TANGKAPAN NAJIB ADALAH PILIHAN YANG DIBUAT RAKYAT MALAYSIA



Pagi ini Najib Razak akan didakwa di mahkamah atas beberapa pertuduhan yang dipercayai berkaitan rasuah, pecah amanah sebagai penjawat awam dan juga berhubung penglibatan dalam aktiviti penggubahan wang haram.

Semua pertuduhan itu adalah susulan siasatan terhadapnya sebelum ini dan rampasan wang tunai, barang kemas, jongkong emas dan beg tangan mewah di beberapa kondo dan kediamannya yang keseluruhannya dianggarkan bernilai antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.

Apa yang berlaku kepada Najib pagi ini adalah pertama kali tercatat dalam sejarah negara di mana seorang bekas Perdana Menteri diheret ke mahkamah atas beberapa kesalahan jenayah yang memungkinkannya merengkok dalam tempoh yang lama di penjara.

Meskipun barangkali ada yang bersimpati dan menyifatkan pendakwaan terhadap Najib lebih bersifat dendam atau bermotif politik, sebenarnya jika diimbas kembali, itulah yang seharusnya dilakukan oleh kerajaan baru Pakatan Harapa terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Motif utama Pakatan Harapan menyertai pilihanraya bukan saja untuk menumbangkan UMNO serta BN dan mengambil alih kuasa pentadbiran negara, malah juga untuk menangkap, mengheret ke mahkamah dan seterusnya menghantar Najib ke penjara.

Kesalahan paling besar yang didakwa dilakukan Najib ialah berkaitan skandal 1MDB yang daripadanya dipercayai berlabuh wang RM2,600 juta dalam akaun bank peribadinya.

Sejak sekian lama, kempen dan ceramah Pakatan Harapan, khususnya oleh Tun Mahathir Mohamad dan hampir semua pemimpin  utama gabungan itu ialah untuk menangkap dan memenjarakan Najib.

Tidak cukup dengan perkara itu dilaungkan dalam ceramah-ceramah dan kempen media sosial, malah "Himpunan Tangkap MO1" turut acap kali diadakan di beberapa lokasi.

Atas keyakinan bahawa Najib bersalah dan terlibat dalam skandal 1MDB yang merupakan skandal kewangan terbesar dalam dunia dan bersama keinginan untuk menangkap Najib itulah, hari demi hari sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan semakin membesar dan akhirnya berjaya menumbangkan BN buat pertama kalinya.

Maknanya, rakyat mengundi dan memenangkan Pakatan Harapan memang dengan kesedaran untuk melihat Najib ditangkap dan dipenjara akhirnya.

Jika kempen Pakatan Harapan sekadar untuk memulihkan negara, menghapuskan GST, menstabilkan harga minyak saja misalnya, tanpa disertai laungan mahu menangkap Najib dan semua yang terlibat dengan skandal 1MDB, belum tentu BN dapat ditumbangkan dalam pilihanraya 9 Mei lalu.

Secara umumnya semua orang sedar bahawa salah laku Najib dan keluarganya berkaitan 1MDB, disertai pula gaya hidup mewah, pembaziran dan segala macam onar lainnya adalah paling dahsyat dalam sejarah negara dan tidak pernah berlaku dalam mana-mana era kepimpinan terdahulu.

Oleh itu, tidak perlu bagi rakyat sebagai pembayar cukai yang dibebankan dengan pelbagai kenaikan kos sebelum ini, tiba-tiba mahu bersimpati atau menzahirkan rasa kesian terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Apa yang berlaku sekarang adalah kerana rakyat sendiri berkehendakan demikian dengan kesatuan hati mereka menumbangkan Najib, UMNO serta BN dan memenangkan Pakatan Harapan. 

Semua ini adalah permulaan untuk negara terus bergerak ke hadapan dan menuju pemulihan yang sebenar-benarnya.

Kalau pun masih ada juga perasaan itu, fikir dan renung kembali betapa besarnya hutang 1MDB yang akhirnya ditanggung oleh kita semua.

Fikir juga bagaimana daripada ribu-ribu juta hutang itu, kita-kira RM18,000 juta daripada dilencongkan oleh Jho Low sebagai dalangnya yang kemudian digunakan untuk bermewah, berpesta, membeli hartanah di seluruh dunia, memiliki kapal mewah, bermurah hati membeli barang-barang kemas sebagai hadiah dan sebagainya.

Fikirkan bagaimana sejumlah RM2,600 juta ada dalam akaun peribadi Najib selaku Perdana Menteri ketika itu yang kemudian ianya didakwa sebagai derma.

Fikirlah seterusnya bagaimana Najib dan keluarganya memiliki simpanan tunai dalam 26 jenis matawang berjumlah RM116 juta di rumahnya beserta beg tangan, barangan kemas, jam tangan dan sebagainya yang jumlahnya mencecah ribuan juta.

Fikir...fikir...fikir dan adakah nasib serta keadaan kita sebagai rakyat difikirkan oleh Najib dan semua mereka yang terkait dan bermewah dengan skandal 1MDB sebelum ini? (ShahbudinHusin 04/07/2018)
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers