Saturday, June 30, 2018

Menuai teladan dari perkelahian tentang Bahasa Kebangsaan



Polemik bahasa meletus. Negara jadi gempar. Lim Guan Eng semena-mena dimomok jadi makhluk paling jahat. Segala bangkai masalah negara sekelip mata dialihkan ke atas batu jemala Lim Guan Eng.

Riuh rendah ribut bahasa ini turut hangat diwacanakan oleh masyarakat, budayawan, aktivis dan pemimpin politik. Semua menunjukkan rasa cakna mendalam terhadap kepentingan Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan.

Dengan sekelip mata, seluruh garis masa laman sosial Facebook dibanjiri caci maki terbuka – tak kurang juga mereka yang membela. Masing-masing berpencak silat, meletak halal haram, sunat makruhnya perbuatan Guan Eng itu.

Namun, disebalik polemik yang menjurus kearah sentimen perkauman ini, Guan Eng cermat dan tenang menerima sebarang teguran dan cadangan  lebih-lebih lagi kritikan keras yang didorong manipulasi fakta dan dakyah, umpama api disimbah minyak.

Dalam kenyataan rasminya, Guan Eng telah memberi penjelasan dan menegaskan pendirian tentang kedaulatan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perantara kerajaan. Malah, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir dalam ulasannya menganggap sekadar kesalahan kecil dan bukan isu.

Segalanya bermula hanya kerana kenyataan media yang ditulis dalam bahasa Mandarin digambarkan seolah-olah mahu menggantikan bahasa kebangsaan – walhal tidak sama sekali kerana beliau menyediakan kenyataan media dalam tiga bahasa. Bagi saya, soal ini sengaja dibesar-besarkan.

Seperkara yang mungkin gagal dicermati sebagaian kita yang tenggelam dalam emosi dan amarah melampau mungkin datang dari kegagalan kita memahami kepentingan komunikasi. Ketulusan Guan Eng yang berniat memudahkan petugas media  telah menjebakkan dirinya apabila mengundang kritikan hebat. Perkara ini amat tidak diduga.

Pada pandangan saya, Menteri Kewangan itu hanya mahu petugas media mendapat maklumat yang jelas, tepat dan padu berhubung ketirisan kewangan yang berlaku kepada projek mega kerajaan terdahulu – lebih-lebih lagi rejim Najib Razak telah berjaya mencampakkan negara kekancah kleptokrasi global dengan skandal puluhan malah ratusan billion yang bukan sedikit.

Namun akhirnya, niat baik Guan Eng dikejutkan dengan serangan bertalu-talu khususnya dari calon-calon pemimpin, cybertrooper dan portal-portal pro-UMNO sehinggalah melarat-larat.

Situasi ini mengimbau ingatan kita terhadap Ops Lalang pada tahun 1987 yang menyaksikan puluhan pemimpin politik khususnya daripada DAP yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ekoran isu melibatkan sekolah jenis kebangsaan Cina – dan ketika itu juga, UMNO sedang berhadapan dengan pemilihan mereka. Keadaan itu sama seperti sekarang.

Dengan ‘kejayaan’ UMNO mengalihkan perhatian rakyat terhadap skandal yang dilakukan bekas pemimpin mereka kepada isu bahasa ini, maka masing-masing berjaya melonjakkan nama sebagai ‘wira’ dan mendapat undi perwakilan apabila menyerang Menteri Kewangan merangkap Setiausaha Agung DAP itu.

UMNO telah separuh berjaya membantutkan tumpuan rakyat yang mengikuti secara dekat pembongkaran penyelewengan berat kerajaan terdahulu lebih-lebih lagi pemimpin UMNO yang berada dalam kem Najib Razak sebelum ini yang mungkin terlibat.

Saya perlu akui, dalam keadaan ini, tidak semuanya tidak bagus. Ada teladan di sebalik kejadian. Polemik ini secara langsung telah menonjolkan bahawa rakyat Malaysia semakin terbuka untuk berbeza pandangan berwacana secara jujur tentang dasar-dasar nasional khususnya melibatkan sendi utama Perlembagaan Persekutuan dan identiti Bangsa Malaysia.

Maka bukan menjadi keanehan apabila Malaysia Baru pasca ‘revolusi aman’ Pilihan Raya Umum ke-14 mencerminkan berlakunya proses pendemokrasian yang lebih mengakar dan membumi.

Rakyat dan media bebas bersuara, termasuk pemimpin-pemimpin dari komponen Pakatan Harapan yang mengutarakan pandangan yang berbeza antara satu dengan yang lain.

Tidak ada salahnya juga sekiranya saya berterima kasih kepada Menteri Kewangan kerana dengan tercetusnya polemik ini, ia merancakkan lagi proses pendemokrasian dan kebebasan bersuara yang sekaligus merancakkan lagi wacana rakyat demi pengukuhan dasar-dasar nasional yang lebih holistik. Ya, zaman tukang angguk dan tukang bodek sudah berlalu, ini masanya kita terus pandang kehadapan.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers