Ketika Isa direman, Felda beli senyap-senyap saham Eagle High Plantation


Tindakan Felda membeli EHP menimbulkan banyak tanda tanya.
Tindakan Felda membeli secara senyap-senyap saham syarikat perladangan Indonesia, Eagle High Plantation (EHP) walaupun dibantah pelbagai pihak dan ketika mantan pengerusinya Tan Sri Isa Samad diambil tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menimbulkan pelbagai tanda tanya.
Pengarah Strategi AMANAH Dr Dzulkefly Ahmad melahirkan kecurigaannya terhadap tindakan Felda membeli saham EHP walaupun harga yang ditawarkan melebihi 2.5 kali lebih tinggi dari harga pasaran.
Beliau juga hairan dengan tindakan Felda membelanjakan RM2.3 bilion untuk membeli saham syarikat terbabit dalam keadaan Felda tidak mempunyai dana yang mencukupi untuk membiayai operasinya.

 Malah pihak pengurusan Felda, katanya telah dinasihatkan oleh JP Morgan dan Bank of America supaya tidak membeli 37% saham EHP milik Peter Sondakh yang menerajui Kumpulan Rajawali itu.
Dr Dzulkefly Ahmad"Saya tahu isu positif dan negatif debat pembelian ini. Ya, saya akur tentunya ada baik-buruknya dalam 'cost-benefit analysis'nya.
"Yang diperlukan Felda dan negara, khasnya graduan di negara ini adalah pekerjaan! Ya, bukan menambah pekerjaan untuk warga asing dalam perladangan dan pembinaan.
"Najib pernah secara megah menguar-uarkan tentang 1.8 juta pekerjaan yang beliau kononnya telah jana setelah program transformasi ekonomi (ETP) dan segala program membangun ekonomi," ujarnya.
Menurut beliau, Felda dan entiti perniagaannya Felda Global Ventures Holding (FGV) tidak perlu menambah ladang atau membeli hotel di Kensington atau New York, tetapi perlu melabur dalam industri hiliran (downstream activities) yang berteraskan kelapa sawit.
Beliau merujuk kontroversi pembelian dua hotel mewah melebihi harga pasaran oleh anak syarikat FGV, Felda Investment Corporations (FIC) di London dan Kuching.
Mantan Pengerusi Felda dan FGV Tan Sri Isa Samad direman lima hari oleh SPRM berkaitan isu pembelian dua hotel mewah itu yang turut menyaksikan beberapa pegawai FIC disoal siasat.
Semalam, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mempersoalkan peranan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dalam pembelian aset Felda di London memandangkan setiap pelaburan entiti berkaitan kerajaan di luar negara perlu diluluskan Majlis Ekonomi yang dipengerusikan olehnya.

No comments: