Sunday, August 13, 2017

DAP ramal PH ganti BN jika tambah 10% undi Melayu



Lim Kit Siang PH
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang meramalkan Pakatan Harapan (PH) boleh mengambil alih kerajaan persekutuan daripada BN jika berjaya menambah 10% sokongan pengundi Melayu dan 5% peratus kaum Cina dan India dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Kit Siang berkata, jika kemungkinan itu berlaku PH berupaya untuk memperoleh 113 kerusi Parlimen di Semenanjung.
“Unjuran ini menunjukkan dalam PRU14, sekiranya PH dapat menarik 10% pengundi Melayu dan 5% sokongan pengundi Cina dan India dari BN berbanding PRU13, akan ada tsunami politik Malaysia, Umno dan BN akan keluar dari Putrajaya dan PRU14 akan membentuk kerajaan persekutuan PH di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, sekiranya senario peralihan undi 10% dan 5% itu disaksikan bermakna PH akan memperoleh 113 kerusi Parlimen di Semenanjung, BN 50 manakala Pas pula dua kerusi.
Dua senario lain
Parlimen mempunyai 222 kerusi. Baki kerusi melibatkan Sarawak dan Sabah dan kedua-duanya sering dilihat sebagai ‘deposit’ BN selama ini.
Dengan merujuk itu sebagai senario ke-3, Kit Siang juga menggariskan dua senario lain.
Senario pertama menurut beliau akan menyaksikan Pas bertindak sebagai ‘pemusnah’ sehingga membolehkan BN memperoleh 113 daripada 165 kerusi Parlimen di Semenanjung.
Bagaimanapun katanya, Pas hanya akan berakhir dengan mengekalkan enam kerusi berbanding 21 yang dimenangi mereka pada 2013. Pada PRU 2013 BN memperoleh 85 kerusi Parlimen di Semenanjung.
Katanya, kemungkinan itu akan menjadi realiti sekiranya BN mengalami penurunan 1% undi dalam kalangan kaum Melayu tetapi memperoleh tambahan 10% masyarakat Cina dan kaum India pula 5%.
Menurut beliau senario itu adalah bersandarkan kepada apa yang berlaku semasa pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada Jun 2016yang ditandingi Pas, PH dan BN.
Di bawah senario ke-2, Kit Siang meramalkan kedua-dua BN dan PH akan memperoleh 80 kerusi manakala Pas pula lima.
Senario itu menurut beliau hanya akan berlaku sekiranya BN menyaksikan penurunan 5% undi kalangan orang Melayu, masing-masing 1% undi kaum Cina, India dan lain-lain kaum.
“Kesemua tiga senario juga menganggap DAP dan PKR akan bertanding di kerusi ditandingi mereka sebelum ini dalam PRU13, Amanah dan Bersatu akan bertanding di kerusi yang sebelum ini ditanding Pas dan Pas akan bertanding di semua kerusi Parlimen di Semenanjung," katanya.
PRU14 diramalkan akan diadakan bila-bila masa tetapi ramai meramalkan menjelang November ini ataupun pada suku pertama tahun depan. Mandat semasa akan berakhir Ogos 2018.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers