Wednesday, November 30, 2016

Pertahan hutan: Orang Asli dibawa ke mahkamah pagi ini


Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan JKOAK Mustafa Along antara yang akan dibawa ke mahkamah pagi ini untuk diremanSetiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan JKOAK Mustafa Along antara yang akan dibawa ke mahkamah pagi ini untuk direman
Kesemua Orang Asli yang disumbat ke lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang malam tadi akan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk direman pada 8 pagi hari ini.
Penyelaras Biro Orang Asli Parti Sosialis Malaysia (PSM), Suresh Kumar berkata, tiga pihak dikenal pasti sebagai menyalahguna kuasa iaitu polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.
“Hasil daripada perbincangan peguam, kami telah menyoal apa kuasa polis untuk membenarkan Jabatan Perhutanan menahan kesemua Orang Asli di lokas polis.
“Bila kami minta supaya ditunjukkan seksyen mana ada peruntukan itu, kami mendapat jawapan bahawa penahanan mereka dibuat berdasarkan persefahaman antara Jabatan Perhutanan Kelantan dengan polis.
“Kami pasti ini tidak boleh dibuktikan di mahkamah esok (hari ini). Kami tidak tahu mereka ditahan di bawah seksyen apa?” katanya dipetik dari rakaman video ketika ditemubual aktivis di perkarangan IPD Gua Musang lewat malam tadi.
Sehubungan itu, beliau memberitahu pihaknya telah membuat laporan polis terhadap Timbalan Ketua Polis Daerah, Ketua Operasi Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Ketua Operasi Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan berhubung salah guna kuasa membenarkan penahanan oleh Jabatan Perhutanan di lokap polis.
Bagaimanapun, polis mendakwa kehadiran mereka bagi mengawasi keadaan manakala operasi meroboh sekatan balak di lokasi berkenaan diketuai oleh Jabatan Perhutanan Kelantan.
Terdahulu, Suresh bertemu dengan Timbalan Ketua Balai Polis Gua Musang dan kumpulan Orang Asli di lokap polis.
“Mereka dibawa ke lokap kira-kira pukul 8 malam. Ada 38 orang termasuk Mustafa Along (Setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan), Azmi Badul (Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan) dan seorang batin dari Pos Bihai ditahan,” jelasnya lagi.
Dalam hal berkaitan, beliau turut memberitahu satu solidariti bantahan akan diadakan di hadapan bangunan Pejabat Agung Pas di Jalan Raja Laut di ibu negara diikuti laporan polis terhadap Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang di Bukit Aman di ibu negara pagi ini.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers