Sunday, May 22, 2016

Kedegilan PAS mahu bertanding kedua-dua kerusi PRK hanya untungkan UMNO


TAIPING, 22 MEI: Sikap angkuh dan keengganan pemimpin Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk berunding dan membenarkan pertandingan satu lawan satu dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Kangsar, Perak dan Parlimen Sungai Besar, Selangor akan hanya menguntungkan UMNO.
Sebelum ini, Pakatan Harapan Perak memutuskan untuk memastikan pertandingan satu lawan satu dalam dua pilihanraya kecil itu, malah sanggup memberi laluan kepada PAS meletakkan calonnya di salah satu kerusi demi memastikan kemenangan untuk rakyat dapat dicapai pada hari keputusan PRK nanti.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, menjelaskan bahawa tindakan PAS itu seperti mahu menggagalkan usaha Pakatan Harapan untuk mengalahkan UMNO di kedua-dua kerusi terbabit.
“PAS sedar bahawa sebarang perlawanan tiga penjuru antara BN, Pakatan Harapan dan PAS akan menguntungkan BN, tetapi mereka tetap degil dengan sikap tutup pintu dan enggan berunding.
“Adalah amat pelik apabila tujuannya berpolitik bukanlah untuk menang tetapi ingin menjadi ‘sekutu sulit’ UMNO-BN,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Pimpinan PAS tetap enggan berunding dengan Pakatan Harapan dan berkeras mahu meletakkan calon di kedua-dua kerusi berkenaan kerana yakin dapat menewaskan UMNO di kedua-dua kawasan.
Disebabkan kedegilan PAS itu, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping,  mengesyorkan agar Pakatan Harapan meletakkan calon yang terbaik di kedua-dua kerusi supaya rakyat dapat memilih pihak yang paling layak bagi mewakili mereka di Parlimen pada 18 Jun nanti.
“Sikap tutup pintu yang dipamerkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menunjukkan bahawa parti itu telah menolak pakatan pembangkang serta lebih cenderung untuk menyelamatkan UMNO.
“Jadi, memandangkan PAS kini tidak lagi ingin bersama pakatan pembangkang, rakyat Malaysia tetap berhak mendapat satu barisan alternatif yang lebih mapan untuk menggantikan UMNO-BN, iaitu dengan cara meletakkan calon yang paling berkaliber di kedua-dua kawasan,” katanya,
Dua kerusi itu kosong setelah Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad, dan Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon, meninggal dunia dalam tragedi malang nahas helikopter di kawasan Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu yang turut melibatkan empat lagi individu. – Roketkini.com
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers