Sunday, December 6, 2015

BERAPA RIBU BOLEH HADIR?ADAKAH MUHYIDDIN SEBERANI ANWAR..

BERAPA RIBU BOLEH HADIR?




Timbalan Presiden UMNO, Muhyiddin Yassin nyata sudah berani bangun untuk melawan berikutan sekatan yang dikenakan terhadapnya untuk merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO tahun ini.

Sebagai tindak balas atas larangan tersebut, beliau dijadual akan mengadakan suatu perhimpunan untuk menyampaikan amanatnya di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru pada hari Isnin, 7 Disember jam 8.30 malam.

Dengan mengadakan perhimpunan itu, bermakna Muhyiddin akan terus mara ke hadapan dan tidak lagi menoleh ke belakang dalam perjuangannya untuk berhadapan dengan Najib Razak yang semakin terhakis sokongan rakyat terhadapnya.

Siapa lagi dijangka hadir? Adakah Tun Mahathir Mohamad dan Shafie Apdal akan hadir sama?

Di sebalik sama ada hanya Muhyiddin yang hadir atau ada pemimpin lain akan turut serta, persoalan utama yang perlu diambil kira ialah berapa ramai dijangka boleh bersama-sama dalam perhimpunan itu nanti?

Lima ribu, sepuluh ribu atau lebih daripada itu? 

Adakah pula Najib Razak dan para penyokongnya hanya akan berdiam diri saja dan tidak melakukan sebarang usaha untuk menyekat kehadiran orangramai ke program tersebut?
Walaupun sehingga ini dilihat ramai yang ingin hadir mendengar ucapan dan memberi sokongan kepada Muhyiddin dalam program yang diadakannya itu, namun jika kehadirannya kurang daripada seribu orang, ia tentu saja dianggap suatu kegagalan bagi bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Oleh itu risikonya memang ada. Memandangkan kesan mengadakan perhimpunan ini agak besar kepada imej Muhyiddin dalam fasa-fasa perjuangan beliau seterusnya, para petugas dan orang kanan serta kirinya haruslah berusaha keras bagi memastikan kehadiran benar-benar memberi impak kepada agenda perubahan yang diperjuangkan.

Jangan sampai hanya sekitar seribu atau kurang daripada itu yang hadir. Mesti dipastikan sekurang-kurangnya antara tiga hingga lima ribu yang menghadirinya. Jika dapat lebih daripada itu, lebih berbaloi lagi.

Dalam masa yang sama, orangramai yang hadir pula, tidak harus melihat perhimpunan itu semata-mata untuk kepentingan Muhyiddin saja, tetapi yang lebih penting ialah untuk menerus serta meningkatkan lagi tekanan terhadap Najib bagi agenda perubahan demi menyelamatkan negara.

Hadir dan bersama-sama pada hari tersebut adalah manifestasi kita sama-sama mahukan perubahan.

(SHAHBUDIN HUSEIN)






05/12/2015).
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers