Thursday, October 22, 2015

‘Datuk Husam, Pas adalah semalam, Amanah wadah masa depan’



'Datuk Husam, Pas adalah semalam, Amanah wadah masa depan'

‘Datuk Husam, Pas adalah semalam, Amanah wadah masa depan’


ULASAN: Warkah buat Dato’ Husam: Langit tidak selalunya cerah. Bumi pula tidak selalunya hujan. Begitulah sunantullah alam dan itulah hukum dominan yang menguasai maya sedari berkurun lamanya.

Begitulah metafora dengan perjalanan politik Dato’. Sebuah bintang yang bersinar terang, gah dan ampuh untuk kesekian lamanya telah mulai suram tampaknya.

Barangkali kedudukan magnitud dan latitudnya agak terpesong bagi memastikan cahaya malamnya terus sampai ke bumi. Kedudukan koordinat sebegitu tidak akan berupaya untuk menjamin sinarnya terus berwibawa kecuali meletakkan kembali kedudukan ia pada tempat yang sepatutnya.

Pemimpin cakna rakyat

Kami berasa amat bangga mempunyai seorang pemimpin yang cakna rakyat seperti Dato’. Mempunyai seorang pemimpin yang berkarisma, tajam fikirnya dan hebat daya juangnya lebih bernilai dari memiliki seribu penyokong yang kosong ideanya.

Merenung dengan mendalam, maka dapat dilihat betapa sukarnya Dato’ untuk terus bersilat dan berpencak secara bersendirian dalam memperjuangkan isu rakyat. Sehebat-hebat Laksamana Hang Tuah, beliau masih memerlukan teman-teman dalam memperkasakan perjuangan.

Tika ini, Dato’ memikul beban secara berseorangan. Tiada lagi sahabat dan teman yang sanggup bersama-sama Dato’ memikul beban isu rakyat untuk diketengahkan dek kerana menjaga kepentingan diri masing-masing. Tiada lagi manisnya peribahasa “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.

Takkala ini, PAN (Amanah) bersedia membuka ruang dengan luas dan selebar-lebarnya untuk Dato’ berpencak dan berkeris di sana. Tokoh persis Dato’ tidak wajar untuk dibiarkan berkeseorangan lagi. Amat janggal bila melihat keadaan Dato’ yang terkial-kial membawa sesuatu isu tanpa sokongan dan dokongan sahabat yang lain.

Ketua Pembangkang Swasta

Lebih memeritkan lagi telah kedengaran suara-suara sumbang daripada golongan ‘ahli syurga mahu pun sahabat jannah’ mereka, Umno dan sekutunya yang telah mula melebel Dato’ sebagai Ketua Pembangkang Swasta. Ia bertitik tolak daripada teguran-teguran Dato’ terhadap kelemahan pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan.

Andainya kebaikan yang Dato’ berikan berupa bantuan dan buah fikiran, untuk membantu rakyat di kala kesusahan, lebel Menteri Besar Swasta pula yang dianugerahkan kepada Dato’. Begitulah sinonimnya rasa kebencian mereka kepada Dato’.

Dato’ tidak seharusnya menjadi ahli Yang Berhormat Pas sekiranya ingin memperjuangkan isu-isu rakyat dan mendedahkan kelemahan pentadbiran Kerajaan Pas.

Adalah lebih molek, Dato’ mengambil sisi lain dalam mengemukan kritikan. Anak-anak muda dan marhean seperti kami berasa kurang senang dengan tindakan sebegini. Jadilah pendekar yang berani. 

Tinggalkan sahaja Pas yang penuh dengan daki dan noda. Menjadi Yang Berhormat Pas dan dalam masa yang sama mengkritik dan mendedahkan kelemahan Kerajaan Negeri Kelantan ibarat Sang Mendeliar yang membuka Kota Melaka untuk musuh menawanya.

Janganlah Dato’ terpengaruh dengan janji-janji ‘orang-orang istana’ untuk membantu mengusahakan dan menawarkan jawatan Menteri Besar atau Timbalan Menteri Besar sekiranya Dato’ masih lagi terus beristiqamah di dalam perjuangan Pas. Lupakanlah janji-janji itu, kerana kalau ia benar sekalipun, Dato’ akan terus menghadapi masalah dan rintangan dengan kepimpinan Tok Guru Hj Hadi yang kelihatan terus sonsang dan berlawanan arus dengan corak kepimpinan (Pas) yang terdahulu.

Anak rantau ikut hijrah

Tinggalkanlah bumi Kelantan. Kami mencadangkan Dato’ memulakan langkah mencari kawasan Parlimen di Negeri Selangor. Orang yang berpengaruh dan bijak fikir seperti Dato’ seharusnya memainkan peranan yang lebih besar di Parlimen dan bukannya di Dewan Undangan lagi.

Sekiranya Dato’ bersedia bersama-sama kami, kami percaya penyokong-penyokong Dato’ di Negeri Kelantan juga akan turut sama memindahkan pusat mengundi mereka untuk merealisasikan harapan ini. Ia bukan sekadar harapan dan impian semata-mata.

 Malah jauh lebih besar lagi sebagai memenuhi keinginan dan cita-cita Almarhum Tok Guru Nik Aziz yang melihat Dato’ sebagai permata yang cukup berharga bagi negara.

Pertanyaan dan desakkan ini bertalu-talu sampai ke telinga saya dan memaksa saya untuk melakarkan coretan ini untuk pertimbangan Dato’.

Mungkin Dato’ tertanya-tanya siapakah saya. Cukuplah saya katakan di sini, bahawa saya ialah individu yang selalu dihubungi oleh ‘Pembesar-pembesar Kerajaan dan Politik Oposisi’ bagi mengadakan sebarang majlis di Negeri Selangor.

Dato’ juga terlalu hampir dengan saya. Memadailah saya berkata begitu kerana terpaksa menjaga status perkhidmatan awam saya.
Sesungguhnya, “Demi masa manusia itu selalu di dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beramal soleh. Dan orang-orang yang berpesan dengan kesabaran dan mereka yang berpesan dengan kebenaran”.

Salam Perjuangan,
Ahli Jawatankuasa
Perakan (Anak Kelantan Perantauan) Negeri Selangor

Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers