Polisi tunggu dan lihat lepas Muktamar, Hadi mula beralah?

Polisi tunggu dan lihat lepas Muktamar, Hadi mula beralah?
Polisi tunggu dan lihat lepas Muktamar, Hadi mula beralah?

Polisi tunggu dan lihat lepas Muktamar, Hadi mula beralah?

Komen terbaharu Presiden PAS Hadi Awang menghadapi soalan wartawan ke arah manakah PAS akan dibawa sekiranya beliau terpilih semula sebagai presiden parti itu dalam muktamar ke 61, memperlihatkan pengenduran konfrantasi Hadi terhadap Pakatan Rakyat.

Hadi hanya berkata ‘tunggu dan lihat’ selepas Muktamar. Beliau juga memberitahu PAS tidak boleh berjuang bersendirian dan memerlukan rakan sekutu dalam merealisasikan impian politiknya.

Dua komen tersebut menunjukkan Hadi seolah-olah tertekan dengan kemaraan kem pencabarnya Tuan Guru Ahmad Awang. Pada permulaan saingan, Hadi dengan lantang menempelak DAP. Malah pada kemuncaknya, beliau tidak peduli mengeluarkan kenyataan akan memutuskan hubungan dengan parti sekular itu.

Keluar PR

Kenyataan tersebut mengundang serangan balas bertubi-tubi dari Lim Guan Eng, Lim Kit Siang dan beberapa pemimpin DAP yang membayangkan kedudukan PAS dalam PR semakin goyang. Pemimpin DAP juga beranggapan tidak mustahil Hadi akan membawa usul di muktamar meminta PAS meninggalkan PR.

Namun apa yang dinyatakan Hadi pada 26 Mei lalu sangat berbeza daripada ungkapan sebelumnya. Mengapakah Hadi berputar 180 darjah daripada menghampiri Umno kepada kembali semula ke dalam dakapan PR? Tidak lain, beliau tentunya dinasihatkan agar jangan terlalu melawan kehendak atau cita-cita golongan profesional dalam parti.

Hadi maklum setiap Kawasan PAS akan menghantar 6 perwakilan. Tentunya ketua perwakilan, iaitu Yang DiPertua PAS Kawasan adalah orang beliau dan telah mengawal agar ahli bawahan agar mencalonkan Hadi untuk jawatan presiden. Namun adakah 5 perwakilan lainnya adalah penyokong Hadi?

Dalam banyak keputusan undian di peringkat kawasan, Hadi dituruti rapat oleh Ahmad Awang dengan jarak undi sekitar 5 hingga 20 peratus. Bermakna hampir separuh ahli-ahli PAS mahu Hadi dicabar dan mahukan seorang presiden baharu yang pro PR menerajui parti.

Bagaimanapun, oleh kerana undian dibuat secara ‘angkat tangan’ maka sekiranya ketua Kawasan adalah penyokong kuat Hadi tentulah banyak ahli akan memihak kepada beliau dan meluluskan pencalonan untuk Hadi. Namun undi angkat tangan tidak berlaku dalam muktamar. Peti undi digunakan dan pilihan adalah rahsia. Di sinilah wujud kebimbangan perwakilan akan berubah arah pada saat akhir.

Pengaruh Ahmad

Culaan sokongan antara Hadi dan Ahmad tidak menunjukkan perbezaan besar. Secara rambang penganalisis politik meramalkan Hadi akan mendapat sekitar 60 peratus undi manakala Ahmad mungkin 40 peratus.

Sekiranya analisis itu relevan maka pengaruh Ahmad agak meluas. Tambah menggusarkan penasihat Hadi adalah tindakan anak bekas presiden PAS Mujahid Yusuf (anak Yusuf Rawa) dan Faiz Fadzil, anak kepada Fadzil Noor yang mengkritik secara terbuka polisi anti PR Hadi dan perlaksanaan hukum Hudud di Kelantan yang menjadi faktor pecah belah PR.

Mujahid mengejutkan jemaah apabila kawasannya tiba-tiba beralih arah mencalonkan Ahmad Awang sebagai presiden. Sejak itu, Mujahid yang juga seorang ulama amat berani dan nekad menentang puak ulama yang walak 100 peratus kepada apa sahaja keputusan Hadi.

Perlawanan Mujahid mengejutkan calon-calon kepimpinan lain. Husam Musa, Salehuddin Ayub dan Mahfuz Omar kelihatan ‘pengecut’ kerana tidak mampu menegur polisi Hadi. Mereka memilih play safe dan berteka teki mengenai arah tuju masing-masing, sama ada menyokong atau tidak sikap konfrantasi Hadi terhadap DAP dan PKR.

Rekod Hadi

Mujahid menyonsang arus menjadi pengkritik tega Hadi. Bersamanya Tuan Guru Ahmad Awang yang sering membandingkan kaedah beliau memimpin PAS Perak dalam perundingan-perundingan bersama DAP sehingga melahirkan gabungan PR paling mantap di Malaysia.

Ahmad  dilihat amat rasional dalam kebanyakan polisi, sama ada menghadapi PR mahu pun antara puak dalam PAS.

Ketokohan Ahmad juga tidak boleh dipandang sebelah mata. Beliau bekas Pengarah Pusat Penyelidikan Islam (Jakim) dan bersara pada 1991. Dalam hal pentadbiran, Ahmad lebih cemerlang berdasarkan rekod berbanding Hadi. Rekod tertinggi Hadi menjawat Menteri Besar Terengganu pada 1999. PAS kalah teruk di Terengganu dalam pilihan raya 2004.

Hadi dipecat rakyat berikutan polisi yang tidak berhemah. Sebaliknya Ahmad pula tidak pernah ditamatkan perkhidmatan di Jakim walaupun beliau diketahui terlibat dengan PAS sejak 1984.

Ahmad pernah memimpin agensi dakwah pusat dan tidak sukar untuk beliau memimpin sebuah parti yang berlatar belakangkan agama. Dari segi ilmu, Ahmad setaraf Hadi dan beliau juga boleh membaca kitab-kitab Arab, mantan hadis dan sebagainya.

Reformasi PAS

Oleh itu, analisis yang menyatakan Ahmad mampu merebut sokongan 40 peratus perwakilan bukanlah omong kosong. Kekuatan pencabar Hadi ini ditambah pula dengan serangan yang dilakukan Faiz Fadzil terhadap kepimpinan PAS hari ini yang menurutnya tidak mampu untuk memperbaiki jemaah.

Faiz lebih suka kepada agenda reformasi dalaman agar parti itu mampu menarik lebih banyak pengundi dalam pilihan raya umum ke 14. Bukannya memperkenalkan polisi yang menjauhkan pengundi, terutama bukan Islam.

Meneliti arus sokongan inilah, penasihat Hadi agak gelabah menjelang 4 Jun. Hadi akan dianggap kalah di mata ahli PAS sekiranya Ahmad mendapat 40 peratus undi. Selepas itu ahli PAS akan lebih berani mempersoalkan strategi Hadi.

Hadi juga akan terpaksa mendengar suara 40 peratus yang tidak bersetuju dengannya. Oleh itu, Hadi terpaksa mengendurkan serangan. Beliau cuba membujuk puak profesional dan membayangkan PAS akan kekal bersama PR. Tuduhan beliau menyokong Umno seboleh-bolehnya dilupuskan sebelum perwakilan mula membahaskan usul.
Sudah terlambat

Namun semua ini kelihatan tidak menguntungkan Hadi dan sesetengahnya telah terlambat. Terlalu banyak kerosakan dilakukan beliau dalam hubungan bersama PR. Majoriti ahli PAS yang sayangkan PR dan enggan menerima tahaluf siyasi bersama Umno akan ‘memberontak’ dalam muktamar.

Tidak mustahil strategi yang amat rapi diatur untuk memastikan presiden, timbalan presiden, naib presiden disapu bersih puak ulama akan menjadi sebaliknya. Tidak mustahil juga naib presiden PAS kali ini dimenangi kesemuanya oleh puak profesional.
Mat sabu mengekalkan jawatan timbalan presiden dan majoriti AJK PAS pusat puak profesional. Tentunya tekanan berat kepada Hadi sekiranya kekal sebagai presiden dalam keadaan terkepung seperti itu. Hadi terpaksa bergayut kepada Mursyidul Am Haron Din dan Majlis Syura Ulama untuk meneruskan hayat politiknya.

Keadaan akan menjadi lebih bergolak jika pemimpin bawahan menghantar memorandum perlembagaan PAS yang menyebut dengan jelas fungsi Majlis Syura Ulama terhad kepada perkara yang berkaitan hukum-hakam dan bukannya hal-hal siasah. Majlis Syura tidak sepatutnya campurtangan dalam strategi politik dan perlantikan pemimpin.
Apa pun Hadi kini berdepan cabaran paling getir dalam karier politiknya. Tidak kurang suara-suara nakal yang meminta Hadi mengundur diri daripada meneruskan pertarungan sengit yang lebih menyukarkan parti di kemudian hari.

PAS setelah melalui pergelutan dalaman sepanjang era Asri Muda (1970an) tidak sepatutnya menghadapi satu lagi perebutan kuasa pada era Hadi. Namun itulah yang terjadi akibat tindakan beberapa pemimpin parti Islam itu yang lebih mengutamakan Melayu dan menimbulkan cita-cita ingin bekerjasama dengan Umno yang ditentang oleh majorti bekas presidennya dan anak-anak presidennya.

No comments: