DAP minta ketua 1MDB henti putar belit fakta

DAP minta ketua 1MDB henti putar belit fakta
DAP minta ketua 1MDB henti putar belit fakta

DAP minta ketua 1MDB henti putar belit fakta

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy perlu berhenti memutar belitkan fakta dan berterus-terang sama ada beliau pernah atau tidak memberikan penyata palsu kepada Bank BSI di Singapura atau mana-mana bank seperti yang didedahkan laman Sarawak Resport baru-baru ini, kata Tony Pua.

Setiausaha publisiti DAP itu berkata, Arul perlu jujur mengakui dakwaan syarikat pelaburan yang bermasalah itu menyerahkan surat palsu menggunakan 2 nama bank diberikan kepada Bank Negara Malaysia.

“Lebih banyak dia cuba lari daripada topik, lebih besar risiko beliau memalukan diri sendiri nanti,” kata ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu dalam satu kenyataan hari ini.

Arul semalam mendakwa portal pemberi maklumat itu berbohong mengenai 1MDB memberikan kenyataan palsu kepada Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai akaun anak syarikatnya, Brazen Sky Ltd di BSI Bank, Singapura.

“Ini satu pembohongan. Saya tidak pernah memberi sebarang kenyataan begitu kepada Bank Negara.

“Untuk menyatakan sebaliknya adalah terang-terangan palsu dan tidak betul, begitu juga apa-apa dakwaan yang berdasarkan premis ini,” kata Arul dalam satu kenyataan.

1MDB mempunyai hutang sebanyak kira-kira RM42 bilion tetapi Putrajaya berkata, asetnya yang berjumlah RM51 bilion boleh menampung jumlah itu.

Pua bagaimanapun berkata, Arul cuba mengelirukan tanggapan awam kerana selepas meneliti laporan Sarawak Report, portal itu tidak mengatakan Arul mengemukakan “penyata palsu kepada BNM”.

Sebaliknya dakwaan itu mengenai 1MDB memberikan penyata didapati palsu, selepas pihak berkuasa Singapura “menafikan penyata yang diberikan Arul merupakan asli mengenai akaun Brazen Sky, di mana PM/menteri kewangan mengumumkan wang AS$1.103 bilion berada di situ”.

Katanya, laporan itu juga menyebut 1MDB “membuat dokumen palsu (surat kepada BNM) dan dihantar kepada Bank ‘2’. Tujuannya supaya Bank 2 percaya BNM sudah dimaklumkan dana terbabit akan dimasukkan ke dalam akaun induk”, merujuk kepada Bank Deutsche.
“Arul perlu berhenti putar belit. Tidak ada beza semasa beliau cuba menepis kritikan pelaburan 1MDB di Pulau Cayman dalam kenyataannya 13 Januari lalu yang mengatakan baki dana sudah ditebus semula.
“Kita sekarang tahu ia tipu dan tiada wang tunai atau apa-apa kertas aset terlibat yang dipindahkan dari Pulau Cayman kepada akaun Bank BSI di Singapura,” katanya.

Sarawak Report dalam responsnya terhadap penafian Arul semalam menuntut penjelasan mengenai transaksi AS$1.6 bilion firma itu kepada Good Star Limited, sebuah syarikat yang dikuasai ahli perniagaan Low Taek Jho.

Sarawak Report berkata, ia mempunyai bukti yang penyata bank palsu digunakan bagi menyokong dakwaan yang terdapat wang tunai di dalam akaun dana pelaburan negara itu di dalam Bank BSI Singapura.

Laman itu juga mendakwa Arul menghantar penyata bank palsu kepada Bank BSI di Singapura melalui faks.

“Jika Encik Kandasamy tidak melaporkan perkara ini kepada Bank Negara, mengapa dia tidak berbuat demikian?,” soal Sarawak Report.

No comments: