Ketua Pengarang Harakah, Lutfi Othman ditukar ke unit lain

oleh: Webmaster

Berita mengejutkan, ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman akan ditukar ke unit yang lebih kecil dan tidak lagi mempunyai kuasa ke atas lidah rasmi PAS dalam masa terdekat.

Keputusan itu dibayangkan oleh Lutfi sendiri dalam balasan facebooknya kepada seorang wartawan Harakah negeri.

Manakala sumber dalaman Harakah yang tidak mahu dikenali menyebut, pertukaran posisi itu diterima oleh Lutfi walaupun dengan berat hati. Lutfi, katanya, memerlukan sumber kewangan bagi merawat penyakitnya dan beliau tiada pilihan selain bersetuju dengan tindakan Lembaga Pengarah Harakah itu.

Menurut sumber itu lagi, Lutfi berasa kecewa terhadap golongan profesional dalam AJK PAS Pusat yang tidak membelanya melawan golongan pro Unity Government (UG) yang cuba menyingkirkan beliau terus dari Harakah.

“Pada 17 Februari lepas Lutfi dipanggil oleh Lembaga Pengarah Harakah terdiri daripada pimpinan PAS Pusat. Mereka tengok Lutfi sakit dan kerana itu dia wajar diundurkan.

“Tapi mereka tak tahu Lutfi yang walaupun sakit, masih mampu berjaga malam sehingga jam 3 atau 4 pagi semata-mata untuk menyiapkan Harakah,” keluh sumber itu.

Timbalan Ketua Pengarang Taufek Yahya dijangka akan menggantikan tempat Lutfi sebagai ketua editor seawalnya minggu hadapan sebaik sahaja Lutfi diberitahu bidang tugas baharu beliau. Namun menurut sumber, belum pun sempat Taufek diangkat secara rasmi, telah wujud kempen memburuk-burukkan  beliau. Kempen itu memomokan Taufek sebagai penentang puak UG.

Bagi wartawan Harakah, pertukaran Lutfi ini agak dikesali memandangkan tokoh media itu berjasa besar di akhbar berkenaan menjelang pilihan raya umum ke 13 lalu. Lutfi juga berjasa mengangkat imej Harakah menjadi akhbar yang dikenali oleh bukan ahli PAS pada tahun-tahun sebelum ledakan reformasi 1998.

Pemergian Lutfi ke unit yang tiada kena-mengena secara langsung dengan penerbitan Harakah seolah-olah menafikan bakat, jasa dan sumbangannya kepada Harakah dan perjuangan PAS itu sendiri  selama ini.

No comments: