Wednesday, October 15, 2014

Dewan Ulama usul PAS keluar Pakatan?


OLEH : AMIRULMUKMININ

Akibat tidak bersetuju dengan perayaan anjuran sebuah syarikat swasta, Oktoberfest, Dewan Ulama Pas mungkin akan membuat usul agar parti itu meninggalkan Pakatan Rakyat.

Cadangan itu dibayangkan oleh Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed yang berkata tindakan PKR dan DAP tidak mengendahkan pendirian Pas menentang Oktoberfest secara tidak langsung merumitkan lagi tahaluf siyasi bersama PR.

"Bantahan PAS sewajarnya didengari oleh sekutu parti itu, memandangkan Selangor merupakan sebuah negeri pakatan pembangkang dan bukannya milik mutlak DAP dan PKR, terutama apabila melibatkan soal sensitif seperti penganjuran pesta arak," katanya.

Penyokong PR mungkin pening melihat telatah ulama Pas ini kerana perayaan seumpama itu telah dimulakan di Selangor sejak 9 tahun lalu. Ketika Khalid Ibrahim – anak emas Hadi Awang – menjadi  MB Selangor, Pas bukan sahaja tidak membantah malah tidak mengeluarkan satu kenyataan menegur sekali pun. Sama ada oleh hierarki tertinggi seperti Dewan Ulama mahupun Pas peringkat cawangan.

Khalid halal, Azmin haram

Tidak masuk akal jika Pas berkata mereka tidak tahu kerana terdapat empat exco di dalam majlis mesyuarat negeri yang meluluskan sebarang dasar kerajaan negeri. Kritikan pedas Pas kepada kerajaan PR Selangor ini memberi gambaran seolah-olah kelulusan yang diberikan oleh Khalid Ibrahim satu ketika dahulu adalah halal tetapi perbuatan sama dilakukan oleh Azmin Ali jatuh kepada hukum haram.

Lebih bermasalah lagi tentulah salah faham yang akan timbul kepada masyarakat bukan Islam. Larangan ucara minum arak di kawasan parking kereta mungkin akan membawa kepada larangan pesta ‘makan besar’ yang selalu dianjur oleh masyarakat Cina.

Sejak merdeka lagi upacara seperti itu menghidangkan babi dan arak sebagai menu utama. Adakah sekiranya Pas memerintah maka acara itu tidak akan dibenarkan? Mungkin di Kelantan masyarakat Cina yang sedikit jumlahnya tidak menganjurkan pesta seumpama itu tetapi di negeri Pantai Barat ia sering dianjurkan.

Jika hanya mengenai arak yang diminum oleh bukan Islam Pas meninggalkan PR maka dengan parti manakah mereka akan bekerjasama selepas ini? Umno pun tidak akan bersama PAS kerana Umno bukan sahaja mengeluarkan permit pesta arak tetapi juga lesen premis judi dan kasino.

Salah satu perjuangan ustaz muda Pas yang digelar puak UG ialah menyatukan orang Melayu dalam satu parti. Hal itu dapat difahami kerana demografi menunjukkan kaum Melayu/Bumiputera adalah 70 peratus daripada penduduk di negara ini.

Sekiranya Umno dan Pas bersatu maka tentulah kaum Cina dan India tidak mempunyai kuasa dan mereka boleh dipaksa mengikut apa sahaja dasar yang ditentukan oleh kuasa politik Melayu. Perkasa dan Isma berjuang di atas landasan ini.

Kebelakangan ini Umno juga bersetuju dengan teori kebangkitan Melayu melalui penyatuan Umno - Pas. Dengan itu Melayu yang tidak bersetuju dalam PKR dan DAP akan mudah disenyapkan dengan pelbagai akta drakonian.

Pas secara prinsipnya tidak akan menentang penggunaan akta-akta keras bagi mendisiplinkan umat. Rujukan mereka di Iran dan Arab Saudi yang membenarkan penguatkuasan dilakukan terhadap semua aktiviti hidup manusia.

Bagaimanapun, sikap keras Pas ini membuat Umno berfikir dua kali. Umno telah terbiasa dengan budaya hedonisme. Perempuan pelayan, kelab hiburan, arak dan sebagainya adalah sesuatu yang tidak boleh diasingkan daripada budaya hidup kebanyakan pemimpinnya.

Jadi kera sumbang
Jadi bagaimanakah untuk berlakunya penyatuan?

Akhirnya Pas akan jadi kera sumbang. Meninggalkan PR kerana isu Khalid Ibrahim dipecat dari PKR dan pesta arak. Namun setelah keluar Umno pula enggan bekerjasama membentuk mana-mana kerajaan negeri.

Apakah nasib dan masa depan Pas? Hakikatnya selepas ini Pas akan menjadi parti kecil semula seperti era 1980an. Memang ketika itu kempen Pas adalah menampal poster di pokok-pokok mengajak umat menjauhi maksiat terutama arak.

Namun amat sedikit orang Melayu yang mengundi parti itu. Pada fikiran mereka Pas kolot dan tidak mungkin boleh menyatukan masyarakat berbilang kaum. Alternatif yang ada walaupun diketahui penuh rasuah dan penyelewengan adalah Umno BN.

BN walaupun mengambil banyak daripada rakyat tetapi mereka mampu mengekalkan keamanan dan tidak terlalu bising terhadap soal remeh temeh.

Namun pasca 2008, apabila PR telah menjadi kuasa pengimbang terkuat dalam sejarah negara, dijangkakan rakyat tidak akan kembali ke arah perjuangan lama. Sekiranya Pas meninggalkan PR maka perjuangan untuk menumbangkan BN tetap akan diteruskan.

Lagi pun majoriti ahli Pas tidak sanggup menghadapi kenaikan harga dan keruntuhan ekonomi dengan mengundi Pas sedangkan PR berjanji untuk mewujudkan pemerintahan lebih baik. Sebagaimana kebanyakan orang Melayu tidak sanggup mengundi Pas pada 1980an kerana Anwar berada dalam Umno dan menjanjikan masa depan yang lebih baik buat orang Melayu.
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers