Pembinaan pusat lumba kuda di Selangor boleh pecahkan PR


PAS mengakui bahawa isu permohonan untuk membina sebuah pusat lumba kuda di Hulu Selangor boleh memecahkan Pakatan Rakyat di Selangor jika ia tetap diluluskan oleh kerajaan negeri.

GITANO HERNANDO

PETALING JAYA: PAS mengakui bahawa isu permohonan untuk membina sebuah pusat lumba kuda di Hulu Selangor boleh memecahkan Pakatan Rakyat di Selangor jika ia tetap diluluskan oleh kerajaan negeri.
Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar A Samad berkata, PAS merupakan sebuah parti Islam dan tidak akan sama sekali bersetuju dengan pembinaan pusat perjudian tersebut.

“Kami telah menerima maklum balas dari ahli PAS dan masyarakat Islam yang
menentang pembinaan tersebut”, katanya.

Katanya lagi, wakil daripada PAS dalam kerajaan negeri pula sentiasa konsisten dengan pendirian ini dan tidak akan bersetuju dengan projek yang memang memudaratkan itu.

Sehubungan itu, Iskandar percaya bahawa isu pembinaan pusat lumba kuda dapat diselesaikan dengan kerajaan negeri mengambil kira pandangan dan suara daripada rakyat.

Beliau turut menggesa agar masyarakat Islam khususnya bersabar kerana kerajaan negeri akan sentiasa prihatin dengan hasrat rakyat.

Terdahulu, Merdeka Centre telah mengadakan satu kaji selidik berhubung pembinaan pusat lumba kuda tersebut pada tahun 2011 dan hasilnya majoriti masyarakat Melayu di kawasan tersebut menolaknya.


Difahamkan pembinaan itu adalah bertujuan untuk memindahkan pusat lumba kuda yang terletak di Sungai Besi seawal tahun 2004 lagi, namun ia tertangguh apabila Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu.


No comments: