Merakyatkan ruang awam!

Merakyatkan ruang awam!

Josh Hong | Nov 29, 2011 06:25:01 pm

Pada Mei 1998, pemberontakan anti-Suharto mengambil tempat di Jakarta, ibu kota Indonesia. Saya masih ingat saya mengikuti perkembangan melalui siaran BBC dan CNN. Puluhan ribu anak muda membanjiri satu kolam air di pusat bandar, melaungkan "Reformasi". Dalam satu minggu, diktator Suharto terpaksa berundur.

Lokasi demonstrasi yang penting ini adalah Bundaran Hotel Indonesia (BHI). Saya sempat kunjung ke situ beberapa tahun kemudian. Ekonomi Jakarta berkembang pesat. Macet total (kesesakan jalan raya) hampir pasti berlaku setiap Jumaat, yang memeningkan kepala penduduk tempatan.

Sungguhpun demikian, lokasi ini masih pilihan pertama pertubuhan masyarakat sivil, agama dan pembangkang ketika mengadakan perhimpunan. Selain lokasinya yang strategik kerana berada di pusat bandar, tempat ini dikelilingi beberapa hotel lima bintang. Pelancong asing mampu meninjau secara jelas budaya demokrasi yang dinamik di Jakarta. Seorang rakan sekerja saya dari Indonesia dengan bangganya memberitahu saya, selepas transformasi demokrasi, tiada lagi keganasan berlaku di situ, semua demonstrasi dan perhimpunan berjalan secara aman.

Kini, demonstrasi yang berlaku di Jakarta tidak lagi sebesar dahulu, dari segi bilangannya, tetapi lebih kerap diadakan. Rakyat dalam sesebuah negara demokrasi sepatutnya memiliki hak berhimpun pada bila-bila masa, biarpun hanya disertai dua tiga orang sahaja. Sesungguhnya, kebanyakan perhimpunan gagal memaksa kerajaan untuk mengubah dasarnya - misalnya gerakan anti-nuklear pada tahun 1960-an di Jepun dan demonstrasi membantah serangan terhadap Iraq di Eropah pada tahun 2003 - kesemuanya gagal mengubah keadaan, tetapi tidak mengubah realiti bahawa ia adalah hak asasi seseorang warga negara.

Mereka yang memegang kuasa semuanya takut dicabar, dan tidak akan mempunyai inisiatif untuk melepaskan kuasa dalam genggamannya. Seandainya kita mengimbas proses bagaimana regim komunis ditamatkan di Eropah Timur pada tahun 1980-an, dan meneliti pengalaman negara Asia seperti Filipina, Korea, Indonesia, Thailand dan Taiwan - kita akan mendapati bahawa demokrasi tidak akan jatuh dari langit, tetapi diperjuangkan dengan titisan darah rakyat. Kesemua contoh ini berkongsi satu persamaan yang unik, iaitu rakyat turun ke jalan raya untuk memaksa penguasa agar jalan raya sebagai ruang awam dikembalikan kepada rakyat. Perkembangan senario di Tunisia dan Mesir sejak awal tahun ini sekali lagi membuktikan teori bahawa tiada demokrasi tanpa perjuangan.

Gerakan buruh dan mahasiswa di Malaysia selepas pertengahan tahun 1970-an tidak sebesar sebagaimana yang berlaku di negara jiran. Meskipun gerakan Reformasi berlaku pada tahun 1998, namun demonstrasi jalanan kebanyakannya disertai oleh pembangkang dan sebahagian pertubuhan masyarakat sivil, malah ditunjangi orang Melayu. Justeru itu, perjuangan di Malaysia tiga dekad kebelakangan ini kurang diolah dengan hujah "kelas", sebaliknya diwarnai dengan corak mono-etnik.

Perhimpunan BERSIH pada November 2007 biarpun diwarnai kepelbagaian etnik, namun tidak jelas. Dua minggu selepas itu, perhimpunan HINDRAF kembali kepada struktur mono-etniknya, mencungkil pandangan berbeza dalam pertubuhan masyarakat sivil yang melangkaui kaum.

Sehingga perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai, peserta meluahkan perasaan mereka ketika menentang penguasa dengan bahasa yang berlainan, menyanggah wacana perkauman yang digunakan berulang-kali pemerintah sepanjang tahun-tahun ini. Najib yang keraguan menjangka rintihan rakyat boleh disekat dengan menafikan pilihan stadium, namun flip-flop beliau sebaliknya mencetuskan kemarahan rakyat - yang berakhir dengan lebih ramai yang turun ke jalan raya, lantas menghayati gerakan demokrasi yang melangkaui etnik - dalam semburan gas pemedih dan meriam air berkimia.

Jelas, Najib tidak bijak apabila mengambil langkah sebegini. Seandainya beliau mengotai janjinya untuk menawarkan stadium, maka mustahil wujud rasa kepercayaan sesama kaum yang berbeza, yang tercetus lantaran kekerasan yang digunakan.

Sesungguhnya, apa yang ditakutkan pemerintah adalah penghayatan gerakan demokrasi melangkaui kaum. Jangan lupa bahawa UMNO memaksa penjajah Inggeris untuk menggugurkan Malayan Union melalui jalan raya, dengan sentimen perkauman. Pada ketika itu, MCA yang tidak pernah mengerti apa itu demokrasi belum pun lahir. Selepas ditubuhkan, MCA hanya menumpang hasil politik. Selepas setengah abad, UMNO hanya mahu memonopoli hak untuk berhimpun; dan MCA pula kebingungan, tidak tahu apa hasrat rakyat.

RUU yang diketawakan Myanmar

Kini, "rakyat semakin bijak" menjadi arus yang sukar ditongkah. Bagaimana untuk menyahut cabaran dari kalangan rakyat, sementara kepentingan diri dilindungi? Maka Najib yang oputunis dari dulu hingga kini memikirkan rang undang-undang untuk "mencegah" perhimpunan aman, yang akan diketawakan orang Myanmar. Beliau ingin mengurung peserta demonstrasi dalam stadium, agar senang dikawal, malah boleh mengelakkan perarakan secara terbuka - terdedah kepada orang ramai, malah perkongsian mesej politik dengan orang yang melalui di situ.

Dua bulan yang lalu, Najib yang flip-flop mengumumkan pemansuhan ISA dan menamatkan darurat, lantas sesetengah pengamal media tanpa segan silu menyifatkan bahawa langkah ini telah melonjakkan demokrasi "10 malah 20 tahun ke depan". Mereka yang menyifatkan langkah kosmetik Najib sebagai "lonjakan demokrasi" bukan sahaja memperlihatkan "terasingnya diri dari realiti politik", malah adalah satu penghinaan kepada negara yang mengalami transformasi demokrasi secara besar-besaran.

Selepas berundurnya Suharto, Indonesia kian pantas meluncur dalam landasan pendemokrasian, termasuk memperbetulkan diskriminasi terhadap kaum minoriti, orang Cina melalui undang-undang. Kita diperlihatkan bagaimana Myanmar berubah dari sebuah negara yang menindas revolusi pada September 2007, kepada pembebasan Aung San Suu Kyi, dan membenarkan rakyatnya berhimpun pada hari ini - perubahan inilah yang wajar dupuji.

Sudah banyak kali Najib gagal bertegas dalam pendiriannya untuk membawa pembaharuan sejak menyandang jawatan Perdana Menteri. Bilangannya mungkin tidak kurang daripada Abdullah Ahmad Badawi. Namun, masih ramai yang mahu membelanya. Misalnya, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Saifuddin Abdullah yang mahu menonjol dirinya dengan imej "keterbukaan", merungut bahawa isi kandungan Rang Undang-Undang "bercanggah dengan pandangan Perdana Menteri". Malah, kolumnis Sinchew Daily Tay Tian Yan yang berkeyakinan terhadap Najib, mempersalahkan "sesetengah orang dalam kerajaan" untuk kerja lawak seperti ini.

Persoalannya, sebagai ketua kerajaan, namanya berbunyi "tidak cekap" seandainya beliau gagal berpegang teguh kepada pembaharuan yang dijanjikan. Bagaimana Perdana Menteri sedemikian dipertahankan? "Jasanya kerana Perdana Menteri, silapnya kerana Menteri", minda sedemikianlah adalah sisa racun yang ditinggalkan pemerintahan Mahathir, malah kena pada pengamal media yang mendakwa dirinya objektif. Seandainya flip-flop ini berlaku pada pemimpin utama pembangkang, barangkali kritikan tajam telah memenuhi ruang dada akhbarnya.

Jawapan yang paling baik untuk pemimpin yang flip-flop dari janjinya untuk membina sebuah "negara yang paling demokrasi" adalah turun ke jalan raya, berjuang sehingga merakyatkan hak ruang awam seperti Dataran Merdeka.

Apakah perarakan semestinya mencetuskan keganasan? Jangan lagi menakut-nakutkan rakyat dengan Indonesia dan Thailand. Pencetus tumpahan darah di Jakarta pada tahun 1998 dan perang gerila di jalan raya Thailand pada 2010 bukan perhimpunan aman. Pencetusnya adalah pembunuhan mahasiswa oleh diktator Suharto, dan penggulingan kerajaan Thailand oleh tentera. Dengan kata lain, seandainya undang-undang tidak adil, maka politik semestinya tidak tenteram. Mereka yang mahu menyolek imej Najib jangan menterbalikkan logik, sehingga diri menjadi pelawak - memperlihatkan betapa pengecut dan sifat kehambaan dalam dirinya.

*Josh Hong adalah penganalisa politik dan kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Tulisan ini disunting dan diterjemahkan dari teks asal yang disiarkan pada 28 November 2011.

No comments: