Sunday, May 17, 2015

Najib sila tunjuk cara 1MDB akan selesai hutang – Rafizi
Najib sila tunjuk cara 1MDB akan selesai hutang – Rafizi

Najib sila tunjuk cara 1MDB akan selesai hutang – Rafizi

PKR hari ini menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjelaskan bagaimana syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan menjelaskan pinjaman kepada 6 bank antarabangsa selepas melanggar syarat, ia susulan pendedahan akhbar perniagaan berpangkalan di Singapura.

Business Times Singapura hari ini melaporkan, 6 bank diketuai Deutsche Bank kini dalam usaha memaksa 1MDB menyelesaikan hutang AS$975 juta (RM3.52 bilion) 4 bulan sebelum tarikh akhir penyelesaiannya.

“Datuk Seri Najib Razak wajib memberikan kenyataan segera bagaimana 1MDB bercadang membayar hutang RM3.6 bilion yang boleh dituntut bila-bila masa ini,” kata Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dalam satu kenyataan hari ini mengenai pendedahan terbaru akhbar tersebut.

Pendedahan terbaru itu juga menurut Rafizi mengesahkan dakwaannya semalam yang mengatakan hutang RM3.6 bilion tersebut diambil dengan memberi cagaran.

“Laporan akhbar Business Times pada hari ini mengesahkan pendedahan saya semalam bahawa hutang RM3.6 bilion ini diambil dengan memberi cagaran simpanan dana AS$1.1 bilion yang kononnya disimpan oleh 1MDB di Bank BSI di Singapura.

“Oleh kerana laporan terkini menyebut dana AS$1.1 bilion ini mungkin tidak wujud, ia mewujudkan keadaan panik di kalangan 6 bank antarabangsa tersebut yang bimbang 1MDB tidak boleh membayar hutang RM3.6 bilion itu,” katanya.

Rafizi juga berkata jika 1MDB gagal menjelaskan tuntutan hutang daripada 6 bank tersebut, ia bermakna syarikat tersebut juga gagal memenuhi tuntutan bayaran bagi semua RM42 bilion hutang dimilikinya.

“Ini bermakna, jika tuntutan bayaran hutang RM3.6 bilion oleh 6 bank antarabangsa ini gagal dipenuhi dalam masa terdekat, 1MDB secara undang-undangnya gagal memenuhi tuntutan bayaran bagi kesemua RM42 bilion hutangnya,” katanya.

Lebih parah lagi, situasi tersebut akan menggugat kestabilan kewangan negara, kata Rafizi.

“Oleh itu, ramalan awal saya bahawa satu hari nanti hutang-hutang 1MDB ini membawa risiko besar kepada kestabilan kewangan negara (systemic risk to the financial system) kini mungkin menjadi kenyataan.

“Ini menafikan jaminan yang dibuat oleh pimpinan Barisan Nasional termasuklah Khairy Jamaluddin yang kononnya 1MDB bukanlah satu risiko kepada kestabilan kewangan negara,” katanya.
Business Times hari ini melaporkan 6 bank tersebut mula risau ekoran dokumen cagaran Brazen Sky didakwa “tidak lengkap” kerana tidak memenuhi syaratnya, dan ini membolehkan konsortium bank tersebut menuntut hutang lebih awal sebelum akhir Ogos.

1MDB yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2009 dikritik hebat apabila mengumpul hutang sebanyak RM42 bilion.

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah sebelum ini mendedahkan Putrajaya meluluskan kredit sedia ada kepada 1MDB sebanyak RM950 juta dan RM600 juta sudah digunakan.

(Visited 6 times, 1 visits today)
Post a Comment

Blog Archive

My Blog List

Followers