PAS parti berlainan dari semua parti?

Oleh: Jebon a.k.a Barua


Sejak krisis perlantikan Menteri Besar Selangor pada 2014, ulama PAS sering menggunakan ungkapan parti agama itu adalah berlainan daripada mana-mana parti di Malaysia.

Dalam Multaqa Ulama Se-Malaysia II di Serdang, Selangor, semalam, ulama-ulama PAS sekali lagi menegaskan parti itu ‘lain’ daripada PKR, DAP, Umno dan sebagainya. Ungkapan lain merupakan pantang besar dalam mana-mana gerangan dakwah di dunia ini.

Jelas apabila PAS menganggap diri mereka lain daripada organisasi yang lain maka berkemungkinan parti itu tidak mahu lagi dikenali sebagai gerakan dakwah. Sejak zaman Nabi Muhammad saw ungkapan yang sering digunakan untuk menunjukkan perbezaan adalah ‘lebih baik’ daripada yang lain.

Ungkapan lebih baik juga sering digunakan oleh dua tokoh besar PAS sebelum ini iaitu Fadzil Noor dan Nik Aziz Nik Mat.

Disisihkan masyarakat

PAS bukan tidak pernah mengalami zaman yang aneh dan disisihkan. PAS era 1980an misalnya, dianggap lain daripada gerakan dakwah kontemporari. Kaedah perjuangan agama yang keras dan sering menyalahkan orang lain membuat masyarakat ketika itu menjauhi PAS.

Malah masyarakat lebih reda menerima kunjungan jemaah Tabligh yang berdakwah dari rumah ke rumah daripada ulama PAS yang menganggap orang lain sesat. Salah seorang ulama yang paling kontroversi ketika itu ialah Hadi Awang. Hadi dikaitkan dengan Amanat Hadi yang didakwa mengkafirkan orang Umno.

Namun semua itu beransur-ansur dilupakan apabila presiden PAS Fadzil Noor memulakan tahaluf siyasi bersama parti-parti sekular dan bukan Islam pada hujung 1980an. Dakwah berhikmah Fadzil berjaya menongkah arus dan memberi gambaran yang lebih jelas kepada masyarakat umum mengenai jalur perjuangan PAS. Fadzil menggunakan kaedah PAS tidak ‘lain’ daripada anggota masyarakat tetapi ‘lebih baik’ kerana mengamalkan al Quran dan sunnah.

Tahaluf pertama PAS pada 1989 adalah bersama Tengku Razaleigh Hamzah dan Semangat 46 yang tersingkir daripada Umno. Melalui tahaluf itu PAS menang di Kelantan pada PRU 1990. Tok Guru Nik Aziz dilantik MB. Kaedah tok guru memerintah Kelantan juga melalui dakwah berhikmah dan menolak pendekatan keras.

Menjelang hujung 1990an pemimpin PAS aliran keras sedar cara ‘lain’ yang digunakan mereka tidak berjaya meyakinkan masyarakat. Sedangkan mereka juga adalah manusia biasa dan bukan malaikat apabila mengambil golongan  sekular bekas Umno sebagai sekutu.

Pada 1998, PAS lebih berani sewaktu menggabungkan diri bersama perjuangan reformasi Anwar Ibrahim dan menghimpunkan ahlinya menyertai demonstrasi-demonstrasi besar. Akhirnya, cara tidak mengasingkan diri daripada perjuangan arus perdana ini terbukti lebih berkesan kepada PAS dan muktamar meluluskan tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP.

Hal remeh temeh

Dalam tempoh pentadbiran Fadzil, tidak timbul konsep walak kepada presiden lebih utama daripada nilai bersama dengan komponen pembangkang lain. Pembangkang masih lemah, bila-bila masa boleh dirempuh BN dan tidak perlu hal-hal kecil dijadikan tajuk debat atau menghukum ahli yang tidak walak sebagai pengkhianat.

Namun keadaan sekarang telah terbalik. Ulama PAS tidak sedar yang mereka masih pembangkang dan bila-bila masa boleh dimusnahkan oleh BN secara kekerasan atau penipuan PRU. Mereka mula menyalahkan parti komponen PR. DAP mangsa utama dan PKR dianggap tidak penting sama sekali.

Sikap pelampau kepimpinan ulama ini amat dikesali. Jika mereka merasakan diri mereka hebat, maka wajib diperingatkan sikap yang sama ini pernah ditunjukkan oleh ulama PAS pada era 1980an dahulu. Memang benar ketika itu Hadi berpengaruh di Marang, Terengganu. Tetapi ceramahnya di Selangor hanya dihadiri beberapa puluh ahli PAS.

Tidak pernah ceramah Hadi menghimpunkan lebih 100 orang. Di Johor kedatangan Hadi tidak diterima di banyak kampung Melayu Islam. Apatah lagi untuk PAS mendapat undi.

Benci Anwar

PAS terhutang budi kepada Anwar dan pengaruhnya yang mampu menghimpunkan bepuluh-puluh ribu rakyat mendengar penerangan pimpinan PAS dan menang banyak kerusi dalam siri pilihan raya 1999, 2008 dan 2013.

Selepas jasa besar Anwar yang meletakkan PAS parti ‘dagang’ menjadi pemerintah di Selangor, Kedah dan Perak maka PAS tiba-tiba melakukan pengasingan. Termasuk tidak senang dengan keluarga Anwar dan memperlekeh peribadi Anwar.

Apabila PAS mahu terasing dan ‘lain daripada lain’ maka mereka perlulah bersedia untuk hanya mendapat beberapa kerusi parlimen dan DUN dalam PRU akan datang. Apatah lagi pengundi India dan Cina tidak melihat PAS parti yang boleh dipercayai.

Namun percayalah, sekiranya PAS kalah teruk dalam PRU 14, maka mereka akan berharap agar Umno bergolak. Ada pemimpin seperti Ku Li atau Anwar yang akan tersingkir untuk mereka kutip dan nobatkan sebagai hero bagi memenangi semula undi rakyat.

Tidak bosankah PAS melakukan tindakan berulang-ulang; membina dan kemudian merobohkan kepercayaan, kemudian membinanya semula. Meski pun PAS boleh berhujah perkara itu mendapat pahala, bukankah Nabi saw bersabda agar umat bijaksana dan tidak terjatuh ke dalam lubang yang sama untuk kali kedua?

No comments: