TUN MAHATHIR TERLOMPAT JUA AKHIRNYA….
Akhirnya setelah anaknya Mirzan Mahathir
disiasat SPRM dan diarah mengisytiharkan kekayaan dimilikinya dalam tempoh 30
hari, sebagai bapa yang penyayang, Tun Mahathir Mohamad nampaknya tidak dapat
menahan sabar dalam dirinya lagi.
Kali ini, tanpa mengambil masa yang lama,
beliau terlihatnya begitu cepat melompat untuk mempertahankan anaknya yang
dalam kesusahan itu.
Tidak sebagaimana ketika rakan akrabnya Tun
Daim Zainuddin disiasat dan Menara Ilham milik keluarga bekas Menteri Kewangan
itu disita SPRM sebelum ini, beliau waktu itu hanya menyindir kerajaan agar
“semua Tun” juga perlu disiasat kekayaan mereka.
Begitu juga dengan beberapa yang lain yang
diambil tindakan oleh SPRM, beliau sekadar mengecam dan mengeluarkan kenyataan
media saja.
Tetapi, bila anaknya sendiri disiasat dan
diarah mengisytiharkan kekayaan dimilikinya, bekas Perdana Menteri itu nyata
tidak dapat menahan diri untuk segera melompat.
Sebelum ini iaitu hanya semalam, beliau
menempelak SPRM yang menyiasat anaknya sambil mendakwa badan pencegah rasuah
itu turut mengugut mahu memenjarakan anak lelaki sulungnya itu selama lima lima
tahun.
Dengan itu, beliau mendakwa, SPRM telah
dipergunakan untuk melakukan kezaliman kepada musuh politik mereka yang sedang
berkuasa di Putrajaya.
Nampaknya mengeluarkan kenyataan media saja
masih dianggap tidak memadai dalam mendepani anaknya yang disiasat SPRM itu.
Untuk itu, kali ini Tun Mahathir akan
mengadakan sidang media khas pada Isnin depan (22 Januari 2024).
Sidang media khas yang akan diadakan di
Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya dilaporkan khusus berkenaan siasatan SPRM
terhadap Mirzan.
Apakah intipati sidang media khas Tun Mahathir
itu nanti?
Apakah ada sesuatu yang mengejutkan bakal
didedahkannya sebagai serangan terhadap kerajaan, khususnya Anwar Ibrahim?
Yang pasti, dengan mengadakan sidang media
khas Isnin nanti, Tun Mahathir kini benar-benar dalam “mode perang” terhadap
Anwar di sebaliknya usianya yang makin menua dan tenaga pun tidak lagi secergas
dahulu.
Tidak mustahil, beliau juga pastinya akan mula
mengumpul semua musuh-musuh politik Anwar, tidak terkecuali blok pembangkang
PN, untuk memantapkan lagi keberkesanan perang terhadap Anwar itu.
Seorang rakan yang rajin memerhati gerak
politik Tun Mahathir berkata, jangan terkejut jika selepas ini bekas Perdana
Menteri dua kali itu tiba-tiba mengunjungi Najib Razak di mahkamah sebagaimana
dilakukannya kepada Anwar pada 2016 dahulu.
Kata beliau, untuk mencapai hasratnya, Tun Mahathir sanggup melakukan apa saja dan beliau sentiasa ada dalil untuk mewajarkan tindakannya. – ShahbudinHusin 20/01/2024.