Rafizi cabar Nasharuddin buat akuan berkanun isytihar harta
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mencabar Datuk Nasharuddin Mat Isa membuat akuan berkanun perisytiharan harta sebagaimana dilakukannya bagi membersihkan diri daripada dakwaan memperolehi sejumlah wang daripada PM Najib yang berasal daripada SRC Internasional Sdn Bhd.
Menurut Rafizi, penafian melalui kenyataan akhbar semata-mata tidak cukup manakala tindakan saman mahkamah ke atas pendedahannya memakan masa lama dan menyebabkan pelbagai spekulasi timbul sepanjang tempoh itu.
“Jika beliau ingin menyaman saya, saya akan menunggu untuk menyoal siasat beliau di dalam kandang saksi kerana orang yang menyaman adalah orang yang pertama yang perlu beri keterangan di dalam kandang saksi.
“Saya ada beratus-ratus soalan yang akan ditanyakan mengenai penglibatan beliau dalam melobi pimpinan PAS supaya menjadi lunak dengan pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak, sehingga PAS dilihat tidak lantang memperjuangkan keamanahan Perdana Menteri dalam skandal 1MDB.
“Sementara menunggu proses saman yang mungkin memakan masa, saya sarankan beliau mengambil jalan yang lebih mudah dan menunjukkan keyakinan kepada kebenaran yang kita pegang.
“Saya sarankan Datuk Dr Nasharuddin Mat Isa membuat satu akuan berkanun mengisytiharkan semua harta, pendapatan dan sumbangan kepada beliau secara peribadi serta semua organisasi yang beliau terajui seperti Yayasan Nassar dan mana-mana projek lain.
“Beliau juga perlu perincikan di dalam akuan berkanun bagaimana harta, pendapatan dan sumbangan ini dibelanjakan dan kepada siapa wang yang disumbangkan kepada beliau dibelanjakan.
“Saya sarankan beliau buat akuan berkanun itu bagi setiap tahun dari tahun 2012 ke atas sehingga 2017,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Rafizi lagi, pengisytiharan harta amat mudah kerana beliau telah melakukannya setiap tahun. Bagaimanapun, katanya, ada beratus akauntan dan peguam yang akan meneliti satu persatu ayat di dalam akuan berkanun itu.
Katanya, jika ada maklumat yang tidak tepat, akan ada rakyat Malaysia yang membuat laporan polis terhadap beliau dan beliau boleh dipenjara.
“Saya yakin dengan kebenaran maklumat yang saya terima dan harta yang saya isytiharkan, sebab itu saya menggunakan kaedah Akuan Berkanun sepanjang masa.
“Kalau Datuk Dr Nasharuddin Mat Isa juga yakin beliau tidak menerima satu sen pun dari mana-mana sumber yang berasal dari SRC Internasional Sdn Bhd, beliau perlu mengisytiharkan pendapatan, harta dan semua sumbangan yang diterima beliau dalam bentuk akuan berkanun dengan segera,” tambah Rafizi.
Mengenai reaksi Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, Ahli Parlimen Kuala Nerus yang ‘menghentamnya’ selepas beliau mendedahkan ulama Pas itu mempunyai maklumat pengaliran dana tersebut, Rafizi mahukan jawapan mengapakah Khairuddin kelihatan rapat dengan Umno sejak kebelakangan ini.
“Kenapakah setelah menerima maklumat itu beliau menjadi lebih rapat dengan Umno?
“Sepanjang saya mengikuti perkembangan aktiviti pelajar Malaysia di United Kingdom, saya tidak pernah tahu ada seorang AJK PAS Pusat yang lain selain dari beliau yang pernah hadir dalam program bersama anjuran Kelab Umno yang turut menampilkan seorang lagi pemimpin Umno.
“Namun beliau mengejutkan kami (bekas aktivis rakyat Malaysia di United Kingdom) apabila beliau hadir atas jemputan Kelab Umno di United Kingdom baru-baru ini.
“Kalau pun beliau merasakan maklumat yang diperolehi mengenai siasatan 1MDB dan keterlibatan Dato’ Seri Najib itu belum sahih, bukankah menjadi tanggungjawab beliau sebagai Ahli Parlimen untuk menggunakan sepenuh ruang di Parlimen untuk mendapatkan pengesahan dan jawapan lanjut?
“Bukankah beliau ada ruang di Parlimen untuk mendapat penjelasan secara bersemuka dari Dato’ Seri Najib dan menteri mengenai kesahihan maklumat itu?” tanya Rafizi.
Beliau menyelar sikap Khairuddin yang tidak berusaha untuk menyiasat.
“Rakyat bakal menghakimi kita atas perlakuan kita menangani amanah yang mereka galaskan kepada kita.
Lebih menggerunkan, Allah SWT melihat semua ini baik yang nyata dan tidak nyata,” akhirinya.