Lembaga Pelawat Hospital Bukit Mertajam membuat satu laporan polis ekoran tindakan satu akaun Facebook membuat kenyataan berunsur hasutan yang mendakwa hospital itu akan dipindahkan untuk menyelamatkan sebuah kuil di situ.
Mereka menyeru pihak berkuasa untuk menyiasat pemilik akaun Facebook tersebut, mengambil tindakan tegas di bawah undang-undang berkaitan fitnah, hasutan dan penyebaran berita palsu dan menghentikan penyebaran naratif jahat yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Mereka menegaskan bahawa Hospital Bukit Mertajam adalah sebuah institusi kesihatan yang berkhidmat untuk semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
Katanya, segala usaha penambahbaikan adalah demi kesejahteraan masyarakat, bukan untuk kepentingan mana-mana pihak tertentu.
Mereka menegaskan bahawa kenyataan yang disebarkan melalui akaun Facebook bernama Hamly Hadi adalah tidak benar, berunsur fitnah dan berniat jahat. Kenyataan tersebut mendakwa kononnya “Hospital Bukit Mertajam akan dipindahkan agar tidak mengganggu kuil — Steven Sim Chee Keong”.
Mereka menegaskan, Steven Sim Chee Keong, Menteri KUSKOP merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam, semasa lawatan beliau ke Hospital Bukit Mertajam pada 14 September 2025, tidak pernah menyentuh isu kuil seperti yang didakwa.
Fokus lawatan beliau adalah kepada usaha penambahbaikan fasiliti hospital demi kesejahteraan rakyat.
Cadangan blok tambahan Hospital Bukit Mertajam telah diusahakan oleh pihak hospital bersama Ahli Lembaga Pelawat sejak tahun 2023.
Tujuannya adalah untuk menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat, termasuk pesakit dari daerah lain seperti Kulim, Kedah.
“Tidak ada isu pemindahan bangunan hospital tetapi yang ada adalah Cadangan pembinaan bangunan baru dan bangunan lama masih kekal tanpa sebarang pemindahan,” kata kenyataan itu.
Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah menyokong cadangan ini dengan menyediakan tanah seluas 8 ekar, dan kini projek tersebut sedang dalam proses kelulusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kenyataan fitnah yang disebarkan melalui media sosial ini jelas berunsur hasutan perkauman dan agama, yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta menimbulkan kekeliruan awam,” kata kenyataan itu.
