UMNO PUN NAK KENA HARAM DAH, ELOK BENARLAH IA BERCANTUM DENGAN PAS...



Buat pertama kalinya, setelah UMNO kini hilang kuasa dan Pas pula memanjang gagal mendapatkan kuasa, kedua-dua parti disarankan agar segera bercantum.

Gesaan bercantum itu bukan calang-calang siapa yang membuat seruannya, tetapi oleh Presiden UMNO, Zahid Hamidi sendiri.

“Ya Sheikh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Insya-Allah UMNO di bawah kepimpinan saya, marilah kita bercantum.

"Kita bercantum, kita ketepikan perbezaan di kalangan kita atas nama Islam, Melayu, Malaysia dan bumiputera,” tambah Zahid Hamidi lagi.

Zahid Hamidi membuat seruan itu di hadapan Presiden Pas, Hadi Awang dalam satu program yang dihadiri kedua-kedua pemimpin itu di Pasir Salak malam tadi bersama ribuan penyokong masing-masing.

Meskipun pelawaan Zahid Hamidi itu tidak disambut dengan sebarang reaksi oleh Hadi yang berucap selepas itu, tetapi penyokong kedua-dua parti dilaporkan begitu teruja dan menyambutnya dengan tepukan serta laungan takbir.

Bolehkah UMNO dan Pas bercantum dan adakah ia baik untuk kedua-dua parti itu?

UMNO dan Pas adalah dua parti yang sudah bermusuhan sejak sekian lama. Dalam sejarahnya, ketika UMNO kuat, parti itu memang selalu berlagak dan memandang sepi kepada Pas.

Ramai pemimpin UMNO yang ada sekarang pernah mengata Pas dengan pelbagai label seperti parti ajaran sesat, parti lebai, parti syaitan, parti tin milo dan macam-macam lagi.

Pas juga begitu. Apa yang tidak pernah dikatanya kepada UMNO - parti kafir, assabiyah, jahiliyah serta pelbagai lagi, bahkan kerap pula didoakan di perhimpunan terbuka agar UMNO cepat 'KO' dan dilaknati Allah.

Barangkali hilangnya kuasa UMNO sekarang sebahagian sebabnya ialah kerana makbulnya doa yang selalu dipohon Pas itu.

Syukur....

Tetapi, rahsia Tuhan tidak siapa tahu apa hikmahnya. Di ketika UMNO hilang kuasa, tidak pula Tuhan makbulkan Pas menjadi gantinya, walaupun kerapkali para pemimpinnya melaungkan kata-kata seperti Pas ganti UMNO dan yang seumpama dengannya.

Realiti sekarang, kedua-duanya iaitu UMNO dan Pas adalah senasib keadaannya. Mereka sama-sama tidak berkuasa dan masing-masing juga mempunyai dua negeri untuk diperintah secara berasingan.

Lebih buruk berbanding Pas, UMNO juga mungkin akan dibatalkan pendaftarannya tidak lama lagi.

Pertama, kesalahan serius UMNO ialah meskipun ia mempunyai hampir 20 ribu cawangan di seluruh negara, hanya 9,000 saja yang didapati menghantar laporan kepada Pendaftar Pertubuhan bagi tahun 2018.

Agaknya sebelum ini pun laporan itu tidak pernah dihantar ke Pendaftar Pertubuhan tetapi segala-galanya jadi beres kerana kuasa kerajaan ada dalam tangan mereka.

Bagaimanapun, setelah ketiadaan kuasa, tentulah perangai lama tidak boleh diterima lagi.

Sebagaimana diakui oleh Zahid Hamidi sendiri, UMNO sudah pun diberikan tunjuk sebab mengapa ia tidak diharamkan oleh Pendaftar Pertubuhan atas kesalahan yang dilakukannya itu.

Jadi, jangan hairan jika UMNO dibatalkan pendaftarannya. Itu memang salah UMNO sendiri, bukan sesekali kerana  dendam atau apa-apa sentimen lain daripada kerajaan baru yang ada sekarang.

Kedua, UMNO juga boleh diharamkan atas kesalahannya  menerima wang haram berkaitan 1MDB. Adalah menjadi kesalahan dan boleh dibatalkan pendaftaran bagi mana-mana pertubuhan yang didapati menerima wang haram yang tidak diketahui sumbernya.

Ini juga adalah salah UMNO sendiri kerana memilih pemimpin seperti Najib Razak yang tamak dengan wang ringgit dan tiada beza baginya antara wang halal dengan wang haram.

Semasa ada kuasa, bolehlah semuanya ditutupi. Tapi, setelah tiada lagi apa-apa, siap sedialah dengan hukuman yang bakal menanti.

Atas kemungkinan UMNO diharamkan berdasarkan dua perkara itu, tiada apa-apa yang menghairankan pun sebenarnya bila Zahid Hamidi mengajak Pas untuk bercantum.

Kalau tak bercantum dengan Pas, dengan siapa dan ke mana lagi UMNO nak pergi?

Setidak-tidaknya dengan bercantumnya UMNO dan Pas, bermakna termakbul satu lagi doa Pas sebelum ini iaitu mereka hanya sedia bersama dengan UMNO kiranya ia sanggup menerima dasar perjuangan Islam yang dibawanya.

Mahu tidak mahu kerana jika parti pun sudah diharamkan, UMNO sudah tentu tiada pilihan selain terpaksa akur untuk masuk Pas dan menerima perjuangan parti itu.

Maka kata, cadangan Zahid Hamidi itu "ada makna" sebetulnya. (ShahbudinHusin 18/11/2018)

PERWAKILAN ‘TEMBAK’, RAFIZI, AZMIN BERDAMAI

ZAHID HAMIDI AJAK PAS BERCANTUM, HADI TAK ULAS