Sinar Online menyiarkan ingatan YB Idris Ahmad kepada saya berkait kenaikan gaji MB/TMB dan Adun Kelantan.
Tak sangka beliau juga seorang yang melucukan dan sangat pro kenaikan gaji wakil rakyat.
Dasar kesederhanaan pemimpin yang dianjurkan oleh Pas nampaknya dah sirna belum sepenggal bergelar YB.
'Gaji wakil rakyat besar, senanglah rakyat' - itu logik YB Bukit Gantang.
Ya kah begitu?
Ada sesetengah wakil rakyat, pintu pagar rumahnya pada kebanyakan masa berkunci.
Bila gaji sudah naik, pintunya akan terbuka?
Berbalik isu di Kelantan, adakah 'timing' dan 'keadaan' sekarang sesuai?
Adakah semua rumah rakyat dihanyut bah sudah terbina?
YB Idris meminta saya menyemak data mengenainya. Siapa yang perlu menyemak? Saya atau Idris?
Sebagai Ahli Parlimen, dia patut tahu laporan menunjukkan masih banyak yang belum siap.
Tunggakan guru YIK belum berbayar sejak 16 bulan.
Bayaran pencarum Kifalah juga tertunggak.
Peserta Ladang Rakyat belum menerima dividen. Dikhabarkan, mereka akan dibayar setakat sepuluh bulan sahaja bagi tahun ini.
Masih ada masa gaji Adun disemak. Bukan tak boleh semak. Bulan Mac depan, Dun Kelantan akan bersidang lagi.
Saya percaya, masa itu sebahagian besar isu yang saya bangkitkan di atas telah diselesaikan.
Lima bulan sahaja untuk bersabar berbanding sudah sepuluh bulan lebih rakyat dilanda bah menunggu.
Itulah pengorbanan, kalau pun hendak dikira sebagai berkorban. Dengan itu, imej pejuang Islam di mata rakyat tidak rosak.
Kewajipan langsung kerajaan kepada rakyat, seingat saya Pas mengajarnya, lebih utama untuk diutamakan.
Sudah selesai kewajipan langsung yang lebih utama, jika kemampuan
kewangan mengizinkan, tidak ada salahnya keperluan terkini wakil rakyat
disemak.
Mempertimbangkan 'timing' dan 'keadaan semasa' akan
membolehkan wakil rakyat dipilih semula dan menikmati elaun yang telah
dibesarkan itu. Jika tidak, mereka hanya akan menerima pencen saja....
Sebuah lagu dinyanyikan seorang
penulis lirik bebas tempatan, mengenai derma politik RM2.6 bilion Datuk
Seri Najib Razak yang diterima daripada seorang penderma Timur Tengah,
sedang meraih perhatian ramai di media sosial.
Lagu bertajuk Mana Hilang 2.6 Bintang itu digubah Amirudin Hizadin,
merujuk derma dimasukkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri itu,
sebagai “bintang hilang” yang membuatkan seluruh dunia dalam kebingungan
dan kegelapan.
Video muzik lagu akustik yang dimuat naik ke Facebook itu, serta
dikongsi banyak laman sesawang terkenal, sehingga kini meraih 80,000
tontonan.
“Mana Hilangnya 2.6 Bintang” ialah sebuah lagu mengisahkan seorang
pemuda tertekan hidupnya dalam sebuah negara pada zaman pemerintahan
yang gelap,” kata Amirudin menerangkan kisah di sebalik lagu yang
ditulisnya.
Dalam lagu itu, beliau berdendang tentang kesusahan rakyat Malaysia,
termasuk peningkatan kos sara hidup disebabkan harga tol, minyak,
elektrik dan makanan yang semakin meningkat. Beliau juga menyentuh tentang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan
pelbagai inisiatif kerajaan yang sepatutnya mengurangkan kesukaran
kehidupan harian rakyat.
Walaupun lirik lagu itu tidak menyebut nama Najib, wujud rujukan
terselindung kepada skandal berlanjutan perdana menteri itu yang
menyebabkan timbul desakan untuk beliau meletak jawatan, mencetuskan
kekecohan, berdasarkan komentar yang diberikan.
“Alangkah indahnya kalau Najib tidak ada… bintang pun kembali
terang,” kata Ant Man di akaun Facebook Sukan Star TV, di mana video
lagu itu dikongsi.
Azimah Zainul menambah:“Sedihnya lagu ini, macam ada kena mengena dengan hidup saya… T_T.”
Rini Reney berkata:“Bagus lagu ini… dalam kita troll, inilah realiti isi hati rakyat Malaysia…”
Di Youtube, Aaron Siva berkata:“Indah sampai buat saya mahu menangis.”
Najib berdepan kritikan paling lantang sepanjang kerjaya politiknya
berikutan pendedahan derma RM2.6 bilion itu serta skandal cabang
pelaburan negara sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Akhbar The Wall Street Journal yang mendedahkan perkara itu pada
Julai berkata, sumber dana itu tidak diketahui, tetapi wujud pergerakan
wang melalui pelbagai entiti berkaitan 1MDB dalam pelbagai jumlah,
terbesar – AS$681 juta (RM2.6 bilion) dimasukkan ke dalam akaun peribadi
Najib pada Mac 2013, sebelum pilihan raya umum pada Mei tahun sama.
Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli
daripada PKR akan menggantikan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony
Pua (DAP) untuk berdebat dengan Presiden 1Malaysia Development Berhad
(1MDB) Arul Kanda Kandasamy.
Majlis Presiden Pakatan Harapan mengumumkan perkara itu hari ini dan
menegaskan, perdebatan itu mesti disiarkan secara langsung di televisyen
dalam program yang turut disertai penonton.
“Kami berharap menteri komunikasi dan multimedia boleh teruskan slot
di RTM itu untuk siaran langsung perdebatan itu,” kata Ketua Whip
Parlimen DAP Anthony Loke Siew Fook pada sidang media di lobi Parlimen
hari ini.
Walaupun perhimpunan raksasa PAS di
Kota Baru bulan lalu menunjukkan parti Islam itu masih relevan di
kawasan majoriti Melayu dan boleh berbangga dengan sokongan anak muda
Islam, sebuah firma kaji selidik bebas mendakwa sebaliknya.
Menurut kajiannya, separuh ahli dan penyokong PAS di Kelantan akan
menyokong Parti Amanah Negara (Amanah) dalam pilihan raya umum akan
datang dengan kebanyakannya daripada golongan muda, profesional serta
bekas penyokong Berjasa dan Hamim sebelum ini.
Kira-kira 15% ahli PAS di Kelantan pula menyertai Amanah manakala 35%
lagi masih berada dalam parti yang memerintah negeri Kelantan itu
kerana tidak mahu menimbulkan masalah dengan kerajaan negeri yang
dikuasai PAS itu.
Pengerusi Eksekutif Ilham Center Mohamad Hisomuddin Bakar yang
mengkaji politik di Kelantan menemui fakta ini dalam kajian mereka yang
terkini.
“Kami dapati sangat ramai aktivis Berjasa dan Hamim selama ini yang
menyertai Amanah apabila ia ditubuhkan, di samping profesional dan
golongan remaja yang menyertai parti baharu itu di Kelantan,” katanya
kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata, ramai penyokong Amanah yang memegang jawatan di bawah kerajaan negeri Kelantan.
Mereka terdiri daripada wakil rakyat, ahli majlis kerajaan tempatan,
pekerja syarikat berkaitan kerajaan (GLC), penghulu, guru halaqat dan
jawatan politik kekal dengan PAS.
Mereka diberikan gelaran “harum manis” iaitu buah mangga yang kulitnya berwarna hijau manakala isinya berwarna oren.
“Mereka tidak mahu menimbulkan masalah dengan pengisytiharan
menyertai Amanah,” kata Hisomuddin mengulas kenapa fenomena ini berlaku.
Kelantan menjadi penyumbang utama keahlian Amanah apabila 8,000
daripada 30,000 ahli pertamanya semasa dilancarkan 16 September lalu
berasal dari negeri itu.
Sokongan kepada Amanah ini diakui pengerusi Amanah Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.
Bahkan Wan Rahim yakin, mereka boleh menang jika terpaksa bertanding 3
penjuru di kerusi paling kuat PAS iaitu Dewan Undangan Negeri (DUN)
Demit, dalam Parlimen Kubang Kerian.
“Kami yakin menang di Demit dengan calon yang kami ada di situ,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Namun, beliau tidak mahu Amanah dipersalahkan jika kerajaan negeri
Kelantan, yang dibina bekas menteri besar allahyarham Datuk Nik Aziz Nik
Mat sejak 1990 lalu, jatuh.
Sebab itu, sejak awal, beliau mahu berbincang dengan PAS agar tidak
berlaku pertandingan 3 penjuru antara PAS, Amanah (mewakili Pakatan
Harapan) dan Barisan Nasional (BN) di Kelantan.
Bahkan katanya, Amanah bersedia tidak bertanding sebarang kerusi DUN di Kelantan jika perundingan dibuat antara kedua-duanya.
“Namun, PAS tidak pernah menghiraukan bunga yang kami tawarkan,” kata
Wan Rahim ketika ditemui selepas satu majlis dialog antara Amanah dan
golongan profesional Kelantan di Kota Baru baru-baru ini.
Program yang diadakan di sebuah dewan milik sebuah organisasi bukan
kerajaan (NGO) Islam itu menyasarkan hanya 70 profesional Kelantan,
khasnya di kalangan doktor perubatan, ahli farmasi dan peguam.
Bagaimanapun, ia mendapat sambutan di luar dugaan apabila dewan itu
dipenuhi ramai golongan profesional, terutamanya di kalangan para doktor
dan pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) Kelantan, khasnya
Hospital USM sendiri.
Salah seorang doktor yang ditemui, Datin Dr Salehatun Salleh berkata,
beliau masih bersama PAS tetapi pada masa sama mengkaji prospek Amanah,
parti serpihan PAS yang ditubuhkan susulan tewasnya pemimpin progresif
parti itu pada pemilihan Jun lalu.
“Kebanyakan kawan saya sudah sertai Amanah dan mereka kempen agar
saya juga menyertainya,” katanya yang saban waktu menyertai kuliah Nik
Aziz ketika menteri besar, yang juga bekas mursyidul am PAS itu, masih
hidup.
“Masa Tok Guru masih ada, kami orang profesional ni terasa sangat
dihargai, tetapi sekarang mereka buat tak kisah sahaja,” katanya
memberikan justifikasi kenapa golongan profesional di Kelantan menyertai
Amanah.