Ahli Parlimen Langkawi hina Karpal lagi, samakan beliau dengan Abu Jahal
OLEH DIYANA IBRAHIM
April 19, 2014
Gambar
cetakan pada Facebook ahli parlimen Langkawi, Nawawi Ahmad dan Shamsul
di mana Nawawi mendakwa Karpal sama dengan Abu Jahal. – Gambar diambil
dari Facebook, 19 April, 2014. Ahli Parlimen Langkawi,
Datuk Ir Nawawi Ahmad yang dikritik ramai gara-gara menghina mayat
Karpal Singh di akaun Facebooknya pada hari kematian Karpal, semalam
sekali lagi mengulangi perbuatan itu, dan kali ini menyamakan peguam
terkenal itu dengan "Abu Jahal".
Seorang pengguna Internet, Shamsul Kamal Ariffin Mohd Nasir, 42,
mendakwa ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) itu mengeluarkan kenyataan
menghina Karpal walaupun dilaporkan sudah menarik balik kenyataannya.
"Saya membuat komen di laman Facebooknya hari ini (semalam) untuk
menegur perbuatannya yang tidak bertamadun dan memalukan orang Islam.
Berlaku pertikaian pendapat antara kami yang berterusan apabila beliau
menghantar pesanan peribadi kepada laman sosial saya," katanya ketika
dihubungi The Malaysian Insider.
Beliau yang bekerja sebagai pelatih korporat di syarikat swasta berasa
terkejut apabila Nawawi tanpa rasa bersalah menyifatkan perbuatannya
menghina ahli Parlimen Bukit Gelugor itu sebagai mengagungkan Islam.
“Nawawi berkata tidak kesal dengan perbuatannya itu kerana tidak
melakukan apa-apa kesalahan apabila saya menyatakan kepadanya perbuatan
itu bukan sahaja melemahkan Umno dan BN, malah menyebabkan kebencian
rakyat terhadap parti itu makin bertambah,” kata Shamsul.
Semalam sebagai reaksi kepada kematian Karpal, Nawawi memuat naik
kenyataan di laman Facebooknya dengan menyatakan: "Siapa hendak sambut
cabaran Karpal Singh? Sila bagi nama, he he," tulis Nawawi di akaun
"Dato Ir Nawawi Ahmad", merujuk pada paparan keratan akhbar yang
bertajuk "Mahu wujudkan negara Islam langkah mayat kami dulu – Karpal
Singh".
Selain itu, Shamsul berkata Nawawi turut menyamakan Karpal Singh dengan musuh Nabi Muhammad, Abu Jahal.
"Ketika Abdullah Massud, sahabat nabi dimaklumkan mengenai kematian Abu
Jahal, baginda bersyukur panjang. Bagi saya, Karpal Singh setara
dengan Abu Jahal," tulis Nawawi.
Shamsul berkata, beliau menyelar kenyataan Nawawi itu yang menyamakan
Karpal dengan Abu Jahal dengan mempertikaikan apa haknya untuk melabel
manusia.
Katanya, kenyataan yang dikeluarkan Nawawi tidak menggambarkan
kebijaksanaan seorang pemimpin, tambahan lagi apabila dia memberitahu
Nawawi bahawa mendiang mempunyai keluarga.
Justeru, perbuatan memperlekehkan orang yang baru meninggal dunia adalah tidak patut.
"Tidak poke fun, tapi tetapi real agenda, saya pun ada anak isteri, so
what.. .terpulang kalau you hendak kutuk hak you, orang yang tidak tahu
malu adalah hak peribadi, you (Shamsul) saya tidak jenis apa yang suka
kacau orang," katanya.
Pertikaian dengan Nawawi berakhir apabila ahli Parlimen itu bertindak membuang namanya dalam senarai rakan Facebooknya.
"Ia amat bertentangan dengan apa yang beliau katakan pada awal yang
tidak kisah sesiapa menyatakan perasaaan tidak puas hati kepadanya dan
tidak akan menyekat orang tersebut daripada memberi komen di laman
Facebooknya," kata Nawawi.
Semalam selepas mendapat kecaman hebat ekoran perbuatanya itu,
kira-kira tiga jam memuat naik komennya yang didakwa menghina itu,
Nawawi bertindak memadamkan tulisan dan gambar tersebut.
Ketika ditanya, beliau tidak menafikan perbuatanya itu dengan
menegaskan anggapan Facebook sebagai tidak rasmi selain tidak serius.
"Malah, apa yang saya tulis itu saya tidak sangka hendak jadi viral
pula. Kalau saya hendak buat kenyataan rasmi sudah tentu ayat yang
disusun sangat berhati-hati," katanya melalui sistem pesanan ringkas
kepada Malaysiakini.
Hari ini dalam status terbarunya, beliau menulis "Pepatah Melayu
berkata, kerana pulut santan basi, zaman ini kerana Facebook kita kena,
haiyya," dipercayai merujuk kepada situasi dirinya. – 19 April, 2014.