Lim Guan Eng: Kerugian MAS RM2.52 bilion bukti model bisnes gagal

Lim Guan Eng: Kerugian MAS RM2.52 bilion bukti model bisnes gagal
Lim Guan Eng | Mar 01, 2012

|

Kerugian mengejutkan sebanyak RM2.52 bilion yang dialami oleh syarikat penerbangan kebangsaan Malaysia Airlines (MAS) untuk tahun 2011 adalah pengingatan jelas bahawa salah urus dan model bisnes yang gagal telah mengakibatkan krisis dalam syarikat penerbangan yang pernah menjadi kebanggaan ramai apabila simpanan tunainya juga sudah hampir kehausan. Sebenarnya, MAS sudah pun mula menjunam sejak pemergian Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Idris Jala pada tahun 2009, apabila keuntungan bersihnya telah merudum dari tahun ke tahun, yakini keuntungan RM490 juta pada tahun 2009 telah diikuti oleh keuntungan RM234 juta pada 2010 dan kemudiannya kerugian sebanyak RM2.52 bilion untuk tahun 2011.

Kerugian yang dialami ini jauh berbeza dengan prestasi beberapa tahun lalu apabila Idris Jala telah dilantik untuk memulihkan MAS sebagai CEO. Beliau dilantik pada tahun 2005 dan telah berjaya mencatatkan keuntungan RM850 juta pada tahun 2007 berbanding dengan kerugian RM1.3 bilion hanya dua tahun sebelum itu. Idris telah memulihkan MAS tetapi semua usahanya sudah sia-sia sekarang. Adakah kita memerlukan Idris Jala untuk kembali menerajui kokpit MAS untuk menyelamatkannya?

Di samping kerugian yang teruk itu, simpanan tunai MAS telah diseparuhkan kepada RM1 bilion pada akhir tahun lepas daripada RM 2.1 bilion pada akhir tahun 2010, sementara aset bersih telah menurun daripada RM3.5 bilion kepada RM1.1 bilion.

Dalam kata lain, MAS sudah tidak lagi terbang dengan bahan api tetapi hanya terbang dengan wasap. Inilah pewarisan "piratisation" atau perompakan yang menyamar sebagai penswastaan dan kemudian pengambil-alihan semula oleh kerajaan secara tidak keruan. Malah tindakan Kerajaan Persekutuan untuk menyelamatkan MAS pada tahun 2001 dengan membayar dua kali ganda harga pasaran tidak dapat membantu. Kerajaan Persekutuan telah membayar RM1.8 bilion ataupun RM8 setiap saham kepada Tajudin Ramli walaupun harga pasaran pada masa itu hanya RM3.68 setiap saham.

MAS tidak boleh menyalahkan keadaan ekonomi global yang kurang sihat kerana Singapore Airlines telah mencatatkan keuntungan untuk tahun lepas. Malah, kita tidak perlu pergi jauh kerana syarikat penerbangan bajet tempatan Air Asia pun telah mengalahkan MAS. Kita hanya perlu melihat permodalan pasaran Air Asia yang bernilai RM10.1bilion, berbanding MAS yang hanya bernilai RM4.8 bilion. Meskipun Air Asia hanya berumur satu dekad dan jauh lebih kecil dari segi operasi, ia bernilai lebih dua kali ganda dalam permodalan pasaran.

Tentunya terdapat masalah apabila syarikat penerbangan bajet yang mengenakan caj yang lebih rendah bolehlebih berjaya dan untung berbanding syarikat penerbangan yang mengenakan cajyang tinggi. Daya maju syarikat penerbangan kebangsaan kita akan terus dipersoalkan melainkan isu-isu fundamental diselesaikan. Adakah ianya satu masalah model bisnes yang gagal atau pengurusan yang gagal, ataupun kedua-duanya?

Adalah jelas bahawa cara untuk mengelakkan aset kebangsaan kita daripada terhempas adalah untuk menggunakan model bisnes baru yang berdasarkan prinsip Cekap, Akauntabel dan Telus yang telah membawa kejayaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Bukan sahaja kita berjaya meyakinkan dan menarik pelabur dan menjadi destinasi pelaburan pembuatan nombor satu di Malaysia untuk dua tahun berturut-turut pada tahun 2010 dan 2011, Pulau Pinang juga telah mencatatkan lebihan bajet pada setiap tahun sejak 2008 dan telah mengurangkan hutang Kerajaan Negeri sebanyak 95% daripada RM630 juta kepada RM30 juta.

Model bisnes yang sedang digunakan MAS jelas sudah gagal. Sekiranya MAS terus menggunakan kaedah perancangan pusat dan membenarkan campur tangan politik yang membiakkan rasuah dan ketidakcekapan, syarikat penerbangan kebangsaan kita akan ditakdirkan untuk gagal.

Akhirnya, soalan yang ingin ditanya oleh rakyat Malaysia adalah siapakah yang akan bertanggungjawab untuk kerugian yang besar ini? Sudah tentu kerugian RM2.52 bilion oleh syarikat penerbangan kebangsaan kita ini tidak boleh diterima semua, terutamanya apabila sebab utama ia diselamatkan oleh kerajaan adalah untuk menyelamatkannya daripada masalah-masalah salah urus dan model bisnes yang lemah. Kerajaan mestilah mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab untuk kerugian yang besar ini dan mengambil tindakan ke atas mereka kerana itulah yang diharapkan oleh rakyat Malaysia.

*Kenyataan media oleh Lim Guan Eng (gambar kiri) selaku Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan.

AKU MASIH INGAT AKAN KAMU MAHATHIR

PAS, PKR: Pendedahan surat Dr M kepada PM Israel dedah niat untuk bekerjasama

March 01, 2012

KUALA LUMPUR, 1 Mac — PKR dan PAS hari ini berpendapat, tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menulis tiga surat kepada perdana menteri Israel yang telah didedahkan kepada umum jelas membuktikan sikap kepura-puraan beliau yang dilihat tampil dengan imej luaran yang mengambil sikap keras dengan Israel, sedangkan secara senyap mengambil pendekatan berbeza terhadap pemimpin Zionis.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung parti itu, Saifuddin Nasution Ismail (gambar), kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam wawancara khas bersama The Wall Street Journal (WSJ), beliau menolak untuk mengadakan hubungan diplomatik dengan Israel, sedangkan Dr Mahathir pula bertemu dan berhubungan dengan pemimpin Israel dan menegaskan berulang kali keinginannya mengadakan hubungan antara kedua-dua negara.

“Ketika beliau sering tampil dengan imej luaran yang mengambil sikap keras dengan Israel dan memfitnah Anwar sebagai ‘pro-Yahudi’, secara senyap-senyap beliau mengambil pendekatan berbeza dengan pemimpin Zionis.

“Kenyataan Anwar yang diserang oleh media UMNO-BN (Barisan Nasional) dibuat apabila disoal akhbar antarabangsa Wall Street Journal berkaitan dasar luar negara dan isu Palestin, beliau menegaskan bahawa kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan itu merangkumi hak untuk mendirikan negara sendiri serta tidak terus dizalimi,” katanya.

“Beliau juga mengungkapkan bahawa jika syarat mewujudkan keamanan di Palestin ini dipenuhi maka wajarlah hak rakyat Israel juga dihormati. Namun Anwar juga menolak hubungan diplomatik dengan Israel di dalam wawancara tersebut.”

Tambahnya, “Mahathir pula bertemu dan berhubungan dengan perdana menteri Israel dan menegaskan berulang kali keinginannya mengadakan hubungan antara Malaysia dengan Israel. Malah hasrat ini dilahirkan menerusi tulisan tangan di dalam suratnya kepada Yitzhak Rabin”.

Menurut Saifuddin, sikap berkenaan diteruskan dengan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri najib Razak yang menggunakan APCO sebagai perunding mereka, yang mana antara penasihat APCO merupakan Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel.

Sehubungan itu, Saifuddin menegaskan, pendedahan surat-surat Dr Mahathir itu mengesakan kebenaran dakwaan Anwar sebelum ini dan membuktikan sikap kepura-puraan Dr Mahathir selama ini adalah benar.

“Pendedahan ini telah mengesahkan apa yang dikatakan PKR selama ini. Mahathir dan Najib harus menghentikan kepuraan ini. PKR akan terus menyokong usaha mencapai kedamaian berkekalan di Timur Tengah dan keadilan buat rakyat Palestin,” katanya lagi.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub, menuntut Dr Mahathir membuat penjelasan berhubung pendedahan tersebut supaya rakyat boleh faham, dan berlaku adil terhadap isu Israel negara haram itu.

“Sebelum ini kita menghadapi isu yang menyatakan Anwar mengiktiraf Israel, Tun (Mahathir) pula sudah keluarkan surat dengan jelas berkenaan hubungan Malaysia-Israel, walaupun tiada hubungan diplomatik, jadi PAS beri peluang kepada beliau untuk membuat penjelasan supaya rakyat faham dan boleh menilai berkenaan perkara ini,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Kubang Kerian ini juga menuntut penjelasan Dr Mahathir yang berselindung di sebalik menuntut keamanan di Timur Tengah, sedangkan pada 1997, beliau telah menjemput pasukan kriket Israel ke Malaysia, yang mana Salahuddin telah dipenjarakan di Penjara Kajang kerana membantah kehadiran mereka.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, pula membuat pendirian berbeza apabila mengatakan Dr Mahathir tidak perlu membuat sebarang penjelasan kerana beliau akan melakukan lebih banyak penyelewengan fakta apabila penjelasan dibuat.

Sebaliknya, beliau menegaskan, surat-surat berkenaan dengan jelas telah menzahirkan keinginan Dr Mahathir untuk mengadakan hubungan dagang dengan Israel secara tidak rasmi.

“Surat ini tidak mengejutkan saya,” katanya. “Jelas sudah terbukti Dr Mahathir sudah menzahirkan komitmen secara terbuka untuk mengadakan hubungan diplomatik dan dagangan apabila mengeluarkan surat-surat berkenaan.

“Tun menjanjikan akan mengadakan hubungan dengan Israel sekiranya mereka memberikan kebebasan kepada Palestin, jadi beliau seharusnya menjadi orang terakhir yang memberikan maklum balas terhadap kenyataan Anwar dalam WSJ,” tegasnya yang melihat tindakan mengutus surat itu satu langkah yang “proaktif” diambil Dr Mahathir untuk menjalin hubungan dengan Israel.

JATI AGEN UMNO: HASAN DIPERALAT MENJELANG PRU 13

JATI AGEN UMNO: HASAN DIPERALAT MENJELANG PRU 13



Dewan Pemuda PAS Negeri Perak tidak terkejut dengan majlis pelancaran atau perasmian Badan Bukan Kerajaan yang dinamakan dengan Jalur Tiga atau “JATI” di Bandar DiRaja Kuala Kangsar baru-baru ini..


Jati memperjuangkan politik ala Umno

Bagi Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak Dr Raja Ahmad Al-Hiss biar pun NGO itu seolah-olah badan yang memelihara Islam, Melayu dan institusi Raja (IMR) tetapi umum mengetahui perjuangan sebenar pertubuhan yang sering menghentam kepimpinan Pakatan Rakyat itu.

“Pemilihan Kuala Kangsar kurang tepat untuk perasmian JATI, sepatutnya ianya berlangsung di Gerik di mana parti Umno pernah menggadai kerusi Parlimen Kawasan Gerik yang majoriti pendududk berbangsa Melayu kepada Parti Gerakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 12 tahun 2008.

“Tetapi apa yang kami sungguh kesal adalah, Persiden JATI, Datuk Dr Hasan Ali melemparkan satu tuduhan berat yang menggambarkan kepada rakyat bahawa PR menolak tiga elemen utama di dalam Perlembagaan Negara berkaitan IMR.

Lynas dan rasuah isu sebenar rakyat


“Datuk Hasan cuba menghasut rakyat dengan melemparkan satu tuduhan fitnah dan amat membahaya dalam negara kita. Jika mana-mana pihak yang menafikan kepentingan IMR ini dan ianya bermakna menolak apa yang ada di dalam Perlembagaan Negara selama ini,” katanya.

Menurut Raja Ahmad isu IMR yang dimainkan Jati amat jelas mempunyai agenda politik jahat yang memfitnah PR sedangkan tidak ada satu dasar seumpama itu akan dilaksanakan oleh gabungan pembangkang.

“Kami melihat Datuk Hasan menggunakan ‘lesen’ IMR ini bagi memastikan rakyat menolak PR dan secara halusnya ianya memastikan kemenangan berpihak kepada Barisan Nasional (BN). Kami melihat usaha Datuk Hasan tidak lain dan tidak bukan ingin memastikan BN akan menang serta memastikan PR akan tumbang di atas tiga fokus tersebut dan rakyat akan menolak PR kelak dengan cara tersebut. Kami yakin JATI dan Datuk Hasan kini sebahagian

Raja Ahmad

daripada BN bagi memastikan PR akan tumbang pada PRU 13 nanti.

“Kami ingin turut mempersoalkan, bagaimana JATI yang kini menjelajah seluruh negara bergerak dengan keadaan ‘luar biasa sekali’? Siapa yang ‘memudahkan’ JATI dan Datuk Hasan menjelajah ke seluruh negara? Siapa menjana kewangan JATI yang terlalu besar?

“Kami meminta agar Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) agar menyiasat bagaimana JATI mampu bergerak jauh sedangkan ianya baru sahaja dilancarkan baru-baru ini. Siapakah dibelakang JATI dan Datuk Hasan akan diketahui jika ianya didedahkan kelak,” tambahnya yang menjawat Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Kangsar

Dari Bkt Merah ke Kuantan: Berapa nilai harga kesihatan penduduk?

Dari Bkt Merah ke Kuantan: Berapa nilai harga kesihatan penduduk?
Leong Yew Sen | Mar 01, 2012 06:24:33 pm

Pada 26 Februari 2012, tatkala perhimpunan "Hentikan Lynas" diadakan hampir serentak di seluruh negara, malah seluruh dunia - ketika orang ramai menuju ke Kuantan untuk menyertai Himpunan Hijau 2.0, anda dan sekumpulan kawan telah tiba di Bukit Merah di Ipoh. Satu perhimpunan juga diadakan di sini, berdekatan dengan tapak asal kilang pemprosesan Asian Rare Earth.

Ini kali pertama anda menjenguk ke Bukit Merah. Ancaman yang diakibatkan kilang ini sejak tahun 80-an pada kurun yang lalu, masih belum terhenti. Anda yang dilahirkan selepas tahun 1980, langsung tidak tahu dengan kisah silam ini - seolah-olah tragedi ini tidak pernah berlaku - jika isu nadir bumi ini tidak hangat diperbincangkan sejak tahun kebelakangan ini.

Cuacanya panas. Anda bersama kawan turun dari kereta. Di tapak asal kilang pemprosesan Asian Rare Earth, tidak kurang orang yang telah mengangkat poster dan kain rentang, dengan mesej anti-Lynas, yang ditulis dalam bahasa yang berbeza. Ada yang mengambil gambar, ada pula yang melaungkan slogan. Anda langsung tidak tahu bahawa "kilang beracun" yang singgah di bibir penduduk, rupa-rupanya begitu dekat dengan kawasan perumahan - seandainya anda tidak turun ke padang sendiri, dan ia sememangnya menggeramkan!

Protes penduduk ketika itu...

Tatkala anda merenung, bagaimana peristiwa silam ini bermula pada ketika itu, kelompok manusia telah berjalan menuju ke sebuah kereta, yang dijadikan "pentas sementara". Beberapa orang wakil berdiri di atas kereta, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Anti-Radioaktif Perak (PARC) Hew Yoon Tat. Anda mengikut kelompok manusia itu, mendapati ada di kalangannya berusia 60-an dan 70-an. Ada kawan yang menyifatkan ini pertemuan orang tua. Dalam hati kamu semua sedar, bahawa mereka ini adalah anggota yang menyertai gerakan Anti-Radioaktif dahulu.

Pada tahun 1982, kilang pemprosesan nadir bumi Asian Rare Earth mula beroperasi di Bukit Merah, Ipoh. Penduduk tempatan kemudiannya mendapati kilang ini bakal menghasilkan sisa radioaktif, dan kawasan itu akan menjadi antara tapak pembuangan sisa radioaktif yang terbesar di Asia, lantas mengancam kesihatan penduduk dan generasi yang akan datang. Pada tahun 1984, penduduk Bukit Merah, Papan, Menglembu dan lain-lain berhimpun untuk membantah operasi kilang pemprosesan nadir bumi Asian Rare Earth.

Selepas beberapa orang wakil memberi ucapan mereka, anda mengikut kelompok orang untuk berarak ke jalan raya di tapak asal kilang Asian Rare Earth, menyatakan tuntutan anda kepada kereta yang meluncur di jalan raya dengan poster dalam tangan. Pada ketika ini seorang polis wanita Cina turun dari keretanya, membuat rakaman dengan kamera untuk disimpan sebagai rekod. Kereta yang lalu di situ tidak henti membunyikan hon, dan menyemarakkan lagi semangat orang di situ.

Orang di situ mengambil gambar, bersorak - dan pandangan anda tidak pernah meninggalkan orang tua di situ. Seorang makcik tua berada di sisi anda, dengan tangannya di belakang. Secara diam beliau merenung kemeriahan di depannya. Anda cuba bersembang dengannya, untuk mengetahui bagaimana penduduk tempat berjuang ketika itu.

"Waktu itu, kilang ni dibina dengan begitu saja. Kami pun tak tahu apa kilang itu, malah berkata ada kilang maka ada peluang pekerjaanlah. Gembiranya. Manalah kita tahu rupa-rupanya ia sebuah kilang 'racun'," secara perlahan-lahan makcik tua itu memberitahu anda.

Anda tidak terkejut, hanya mengeluh. Padahal "tipu dan bohong" itu sesuatu yang lumrah di negara anda. Anda terkenang filem Erin Brockovich yang diubahsuai dari kisah benar dalam realiti. Dalam filem itu, watak utama Erin Brockovich secara tidak sengaja mendapati pekan Hinkley di Amerika Syarikat mengalami pencemaran yang menggugat kesihatan penduduk. Namun, punca pencemaran, iaitu syarikat PG&E pula menyelindung apa yang berlaku sebenarnya.

Maka kesihatan seumur hidup penduduk Hinkley telah digadaikan. Sama seperti di Bukit Merah, selepas kilang pemprosesan nadir bumi mula beroperasi, bau yang busuk sering terhidu di sekitar kilang. "Sangat busuk! Anak-anak semua jatuh sakit. Ada yang kena anemia, ada yang kena leukemia. Waktu itu rumah saya dijadikan klinik sementara, kami mengupah doktor dari Pulau Pinang, untuk datang merawat kanak-kanak di kampung kami."

Selain usaha menyelamatkan diri, penduduk tempatan ketika itu melancarkan gerakan memprotes. Lebih sukar, kan? Gerakan ketika itu, fikir anda. Malah hari ini, anda masih bimbang, sama ada Himpunan Hijau 2.0 di Kuantan bakal mengulangi apa yang berlaku ketika perhimpunan BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011- dibedil gas pemedih mata, disembur meriam air berkimia dan dibelasah FRU. Apatah lagi pada zaman 1980-an, di mana ISA masih bermaharajarela.

"Betul, di sinilah kami protes. Berapa kali dibedil gas pemedih mata. Malah kami berjalan dari sini ke mahkamah di Ipoh, berdua-dua, saling memegang tangan. Di pertengahan perjalanan, FRU menghalang. Tapi kami berjaya akhirnya. Tidak kurang yang ditangkap, pengerusi kita antaranya." Dua orang pakcik tua, yang usianya hampir 60-an, menuding ke arah Hew Yoon Tat, (gambar kanan) mengisahkan peristiwa silam ini.

Anda menyelak maklumat, mendapati apa yang diceritakan pakcik tua itu berlaku pada 7 September 1987. Mereka berarak dari Bukit Merah ke mahkamah di Ipoh, kira-kira 8 km jauhnya. Mereka dihalang polis ketika melalui Menglembu, dengan sembilan orang ditangkap. Mereka dibebaskan kemudiannya. Akhirnya lebih 1,000 orang berjaya sampai di mahkamah untuk menyatakan tuntutan mereka. Pada 27 Oktober 1987, lebih 100 orang yang ditahan di bawah ISA, termasuk Hew Yoon Tat dan lain-lain. Mereka dibebaskan selepas dua bulan.

Menurut pakcik tua itu, terdapat ikan di dalam longkang di kampung, sebelum kilang itu dibina. Selepas kilang itu didirikan, tiada lagi makhluk bernyawa dalam parit, malah timbul lapisan bahan kimia di permukaan airnya. Mereka yang bekerja di kilang nadir bumi ketika itu akan dipaksa untuk bersara selepas didapati berpenyakit.

Siapa yang dimanfaatkan daripada kilang pemprosesan nadir bumi ini? Siapa pula dimangsakan? Anda teringat filem itu, Erin Brockovich mempersoalkan peguam yang mewakili pihak syarikat PG&E, berapa harga kesihatan mereka? Anda juga teringat filem Tan Chui Mui, Lai Kwan's Love - bagaimana Lai Kwan menjaga anaknya yang terencat akalnya kerana kilang pemprosesan nadir bumi. Nasib sedemikian sepatutnya bukan milik mereka. Namun, betapa kejamnya realiti apabila keuntungan dikejar tanpa mempedulikan nyawa dan kesihatan manusia.

Perjuangan penduduk tempatan bersama pertubuhan-pertubuhan yang lain berjaya mendesak agar kilang Asian Rare Earth ditutup pada tahun 1992. Makcik tua itu berkata, 10 tahun mereka buat, 10 tahun kita protes di situ. Ketabahan dan kecekalan ini amat disanjungi. Namun, apa yang berlaku telah berlaku, dan gagal diperbaiki semula pada hari ini.

Dalam satu tulisan Lee Chean Chung, "Dari komuniti dengan populasi 11,000 orang, terdapat bayi yang cacat sejak dilahirkan, malah dalam tempoh lima tahun, lapan orang dijangkiti leukemia, dan tujuh orang daripadanya telah meninggal dunia. Walaupun mantan Perdana Menteri Mahathir dan ramai menteri ketika itu menjamin bahawa tapak pembuangan sisa radioaktif dibina mengikut piawaian, namun penilaian selepas itu menunjukkan tahap radioaktif di sekitar kilang itu 25 kali ganda lebih tinggi dari tahap yang selamat."

Selepas 30 tahun, kerajaan masih tidak mengambil iktibar dari pengajaran ini, dengan sengaja mengulangi langkah sebelumnya. Maka mereka yang pernah terlibat dalam perjuangan anti-kilang nadir bumi, semuanya tampil ke depan. Malah meskipun tidak senang ketika bergerak, mereka tetap mahu menyahut gerakan anti-Lynas di bawah matahari yang terik. Mereka mungkin kelihatan tenang, namun gagal diukur sejauh mana dalamnya luka mereka dalam hati.

Kira-kira sejam selepas aktiviti di Bukit Merah, kulit anda dan kawan anda kemerahan lantaran keterikan matahari. Beberapa hari selepas itu, anda asyik menatap semula gambar dan berita yang berkenaan - ada kalanya terharu, ada kalanya marah. Akhirnya, anda terbaca satu berita, yang terlepas dari pandangan anda ketika berada di Bukit Merah. Lai Kwan (gambar kanan) dalam filem yang diarah Tan Chui Mui, datang berseorangan ke situ dengan menunggang basikal. Beliau kelihatan mengangkat kad anti-Lynas bersama kelompok manusia di situ. Begitu teguhnya beliau, sehingga meleburkan hati anda.

Anda faham bahawa perjuangan belum selesai, malah ia harus diteliti dalam konteks globalisasi. Sama ada kilang pemprosesan nadir bumi di Kuantan, mahupun loji tenaga nuklear di Taiwan, keadilan alam sekitar bukan sekadar dengan tuntutan "jangan bina di belakang rumah saya". Lai Kwan hanya antara susuk yang menjadi mangsa di bumi ini. Beliau tidak keseorangan. Apabila lebih ramai orang bersatu, sudah pasti mereka mampu menggegarkan sistem yang bersedia untuk menelan mereka.

Anda hanya berharap, kekuatan akan terkumpul dalam tempoh ini, tidak dibubuh noktah hanya selepas tamatnya satu perhimpunan. Kerana anda sedar, jauh lagi perjalanan perjuangan.

*Leong Yew Sen ialah kolumnis MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut, diterjemah dan disunting dari teks asal, dengan tajuk asal "Kenali Bukit Merah, Hentikan kilang pemprosesan nadir bumi".