Keputusan mesyuarat Perhubungan PAS Selangor pada 20 Jun lalu mungkin
menggemparkan bagi sesetengah pemerhati politik, namun desakan agar MB
Khalid Ibrahim meletak jawatan telah pun kedengaran dalam partinya, PKR
sejak pertengahan tahun lalu.

Dasar
Khalid mula dipertikai pada pertengahan 2012 apabila menolak banyak
cadangan projek-projek kecil DUN untuk pilihan raya. Tanpa projek-projek
kecil tersebut, ADUN sukar memperlihatkan mereka 'bekerja' di kawasan
masing-masing. Parti juga tidak mungkin menjana wang menghadapi pilihan
raya umum. Mereka terpaksa meminta derma.
Khalid berlagak
seolah-oleh mentadbir negeri di Eropah yang mana kerajaan memberi dana
berkempen kepada setiap parti bertanding dengan tujuan parti yang
menang tidak akan terikat kepada kapitalis yang menyumbang dana.
Akibatnya,
dalam pilihan raya umum lalu banyak DUN tidak mampu memberi elaun
kepada petugas memasang bendera dan poster. Mujurlah negara dilanda
gelombang ‘Ini Kalilah’ - dengan harapan memerintah Putrajaya - PR
Selangor mendapat undi yang lebih banyak berbanding 2008.
Langat 2 pro BNSelepas
PRU, Khalid dinasihatkan agar mengubah perangai. Beliau diminta lebih
menghargai pendapat ADUN-ADUN dan pemimpin parti yang meletakkan beliau
ditangga kuasa. Malangnya, Khalid menjadi lebih degil daripada
sebelumnya.
Banyak keputusan dibuat sendiri dan hanya dirundingi
bersama setiausaha Arfaezah dan Faekah serta beberapa pegawai dari GLC
kerajaan negeri. Salah satu yang menimbulkan kemarahan pemimpin PR ialah
projek Langat 2 yang hanya dibawa ke pengetahuan Exco selepas MB
memberi persetujuan kepada MoU Kerajaan Persekutuan.
Langat 2
tidak sepadan dengan tukaran mengurus aset air Selangor, sedangkan kroni
BN mendapat untung berpuluh juta melalui projek bernilai lebih RM2
bilion itu. Tarif air juga dijangka naik apabila kerajaan persekutuan
campur tangan dalam industri air Selangor. Sebagai langkah memantau
Khalid berhubung isu air, Majlis Presiden PR melantik tiga pemimpin
politik Selangor sebagai penasihat.
Malangnya, sehingga setengah
tahun kemudian, Khalid masih enggan bertemu anggota majlis penasihat
itu, apatah lagi menerima nasihat yang diusulkan. Hal itu diakui sendiri
oleh salah seorang daripada anggota panel, Dr Dzulkifly Ahmad (Sinar
Harian, 21 Jun).
Kidex menyusahkanKhalid
juga membuat keputusan sendiri apabila berdegil meneruskan projek lebuh
raya Kidex yang dibantah penduduk Petaling Jaya. Konsesi lebuh raya
yang diluluskan pada 2012 itu dimiliki oleh kroni Umno yang terlibat
menjatuhkan kerajaan PR Perak pada 2009.

Bagaimanapun,
bukan itu isu utama. Kidex dianggap penduduk Petaling Jaya sebagai
pengkhianatan kerajaan PR terhadap rakyat. Beberapa ahli parlimen DAP,
seperti Tony Pua dan Gobind Singh Deo mengkritik secara terbuka projek
itu yang dijangka menambahkan lagi kesesakan trafik. Lebuh raya
sewajarnya dipersetujui penduduk yang bakal menggunakannya, bukan
kerajaan memaksa pembinaan dan menyusahkan perjalanan trafik penduduk
tempatan.
Khalid berkeras tidak mendengar pendapat jawatankuasa
penduduk yang menentang Kidex, sebaliknya cenderung menyokong pemaju
yang ingin untung segera dengan perjanjian konsesi tol kira-kira 48
tahun lamanya.
Rampasan BibleKes
rampasan Bible dan serbuan ke majlis perkahwinan pasangan Hindu satu
lagi perkara yang merosakkan kredibiliti kerajaan PR Selangor. Kelemahan
Khalid ialah terlalu memberi muka kepada Mais. Serbuan dan rampasan
Bible tidak berlaku semasa Umno memerintah Selangor. Biarpun wujud
enakmen mengawal penyebaran agama bukan Islam sejak 1988 dan Bible
bahasa Melayu telah lama tersebar sebelum itu. Jadi siapakah dalang
serbuan dan rampasan Bible ketika PR memerintah?

Mais
menggambarkan mereka mempunyai kuasa eksekutif yang diberi Sultan.
Kerajaan negeri lebih rendah dan tidak boleh memberi arahan kepada
mereka. Namun kuasa itu tidak wujud pada zaman Umno. Rujuk serbuan Jais
dalam kes pertandingan ratu cantik pada hujung 1990an lalu.
Serbuan
itu sah dilakukan ke atas orang Islam dan Jais tidak memerlukan
kelulusan dari exco sebagaimana serbuan ke atas bukan Islam. Tetapi MB
Umno ketika itu menempelak Jais dan memalukan badan penguatkuasa itu
berhari-hari lamanya dalam media arus perdana. Mufti Selangor Datuk
Ishak Baharom tidak disambung kontrak akibat konflik itu.
Tidak
wujud pun kuasa Mais, Jais apalagi kuasa Sultan dalam isu ini.Apa yang
dilihat hanya kuasa MB Umno mengatasi segala-galanya.
PAS
mendakwa sabotaj melibatkan hal agama itu adalah ‘tangan-tangan ghaib’
Umno dalam Agenda Rampas Selangor, satu projek jangka panjang parti itu
dari 2012 hingga PRU ke 14. Sementara Ahli Parlimen Shah Alam Khalid
Samad mendakwa Mais menerima arahan dari Umno. Malah Ketua Pengarah
Mais yang dilantik Istana, Datuk Mohamad Adzib adalah ahli Umno. PAS
menggesa MB agar jangan tunduk kepada ARS.
Kedekut beri peruntukanSikap
Khalid yang paling tidak digemari adalah perangai kedekutnya melayan
kehendak ADUN meminta peruntukan. Seorang Exco pernah berkata beliau
terpaksa menyediakan tujuh atau lebih kertas kerja untuk satu projek di
kawasannya. Adakah perlu cara membida projek di Guthrie dipraktikkan
Khalid dalam pentadbiran negeri? Kertas kerja sepatutnya minimum kerana
projek ADUN melibatkan rakyat yang menanti pembelaan kerajaan negeri.
Itu
tidak termasuk cerita lucu, apabila projek dibawa ke meja Khalid,
beliau mengeluarkan kalkulator dan memotong kos sehingga kontraktor
hampir tiada untung. Sekiranya bangunan yang dibina kerajaan Selangor
roboh beberapa tahun akan datang maka umum faham apakah puncanya.
Pemimpin
PKR muak dengan telatah Khalid, oleh itu mereka merasa lega apabila
Anwar merancang Langkah Kajang pada Januari lalu untuk mengambil alih
kerusi MB. Malangnya Umno BN menghukum Anwar dengan penjara 5 tahun.
Khalid selamat.
Kutipan pasar malamMenurut
bekas Pesuruhjaya PAS Negeri Dr Rani Osman, beliau pernah memberitahu
Khalid parti itu tidak berminat menukarnya tetapi Khalid mestilah
berubah. Ketika itu sokongan kepada Khalid diperolehi dari PAS dan dua
per tiga ADUN DAP. Manakala hampir seluruh ADUN PKR menolak Khalid
Namun
pada Jun, PAS juga tidak sebulu dengan Khalid apabila MB itu menghalang
JKKK mengutip sewa tapak pasar malam. Sewa dipindahkan kepada PBT
dengan alasan berlaku penyelewengan.
Hal itu menjadi tamparan
hebat kepada kegiatan akar umbi parti-parti PR. Tanpa dana gerak kerja
kemasyarakatan mustahil dilakukan; gotong royong, kenduri rakyat,
pertandingan sukan untuk anak muda tidak akan terjadi jika mengharapkan
peruntukan DUN yang tidak seberapa. Kampung-kampung juga semakin terbiar
apabila tidak mampu melaksanakan program rakyat.
Manakala DAP
marah kepada Khalid kerana terlalu mengikut nasihat SPAN dalam catuan
air sejak Mac lalu. Sedangkan empangan Sungai Selangor mampu membekalkan
air secukupnya kepada penduduk di Lembang Kelang.
Wan Azizah ganti KhalidPAS
dan DAP berpendapat Khalid wajar digantikan oleh calon yang lebih
berwibawa dan pandai berpolitik. Calon itu tidak lain adalah presiden
PKR Dr Wan Azizah. Setelah tokoh koporat gagal menangani pelbagai
masalah, seorang doktor mata dilihat lebih mampu untuk memimpin
Selangor.
Azizah dijangka lebih mudah mengagihkan peruntukan DUN
berbanding Khalid yang menyimpan wang Selangor sebanyak RM3 bilion
tetapi sebahagian PBT terdesak sehingga gagal memotong rumput sebulan
sekali atau membersihkan sampah yang berlonggok-longgok kerana tiada
wang menender kontraktor.
Wan Azizah juga telah teruji kehebatan
politiknya menghadapi cabaran BN di Pulau Pinang selama dua penggal dan
pernah menjadi Ketua Pembangkang wanita pertama di Parlimen Malaysia.
Menurut
PAS, jika langkah drastik menggantikan Khalid tidak diambil, maka
Selangor tidak dapat diselamatkan pada PRU 14. Pemimpin PR diharap
bertegas dan menyerang Khalid yang akan berlindung di sebalik Sultan
Selangor bagi menyelamatkan kuasanya.
Manakala Umno pula jangan mengambil kesempatan dan memperlecehkan
langkah PR menggantikan Khalid kerana mereka juga telah melakukannya di
Terengganu sehingga negeri itu secara teknikalnya tiada kerajaan
majoriti selama dua hari pada bulan Mei lalu