shahbudin Hussein
Menjelang
pemilihan Pas pada bulan Mei depan, persoalan yang paling menjadi
perhatian sekarang ialah apakah Haji Hadi Awang sebagai Presiden akan
dicabar dan adakah Mohamad Sabu sebagai Timbalan Presiden akan
digantikan?
Keributan
mengenai isu hudud antara Pas dengan rakan gabungannya, DAP sehingga
parti itu hilang kepercayaan terhadap Haji Hadi telah merancakkan lagi
desakan agar beliau berundur sebagai Presiden Pas.
Ini
kerana jika Haji Hadi terus kekal menerajui Pas, ia bukan saja
memungkinkan PR berpecah, tetapi juga menyebabkan calon-calon Pas tidak
lagi mendapat keyakinan daripada pengundi bukan Melayu dalam pilihanraya
akan datang.
Tanpa
sokongan pengundi bukan Melayu, Pas tentu saja berisiko kehilangan
banyak kerusi di Selangor, Perak, Johor dan beberapa negeri yang lain
yang mula dimenanginya sejak 2008 lalu melalui kerjasama dengan PKR dan
DAP.
Tetapi
untuk memaksa Haji Hadi berundur atau mengalahkannya dalam pemlihan
bukan tugas yang mudah. Walaupun Haji Hadi dibayangi pelbagai kelemahan
sejak beberapa tahun lalu, perwakilan Pas tidak akan membiarkannya kalah
dalam pemilihan. Oleh itu mengalahkan Haji Hadi dalam pemilihan boleh
dikira mustahil.
Haji
Hadi juga tidak mungkin berundur atau dipaksa berundur kerana tiada
jawatan lain yang boleh diberikan kepadanya sebagai ganti setelah kerusi
Mursyidul Am yang sebelum ini dipegang oleh Allahyarham Nik Aziz Nik
Mat telah pun diisi oleh Dr Haron Din.
Lagi pula akur untuk berundur dalam keadaan sekarang seolah-olah menunjukkan beliau tunduk kepada tekanan luar, terutamanya DAP.
Perkiraan
sehingga ini, walaupun ada beberapa nama telah dicalonkan bakal
mencabarnya dalam pemilihan nanti seperti Husam Musa dan Ahmad Awang,
potensi untuk Haji Hadi kekal jauh lebih besar.
Mungkin
yang bakal mencabarnya nanti hanyalah Ahmad Awang saja, seorang calon
yang lebih mungkin kalah daripada menang manakala bagi Husam adalah
tidak bijak beliau menerima pencalonan untuk menentang Haji Hadi dalam
pemilihan kali ini.
Dalam
usianya yang masih muda dan merupakan material Presiden Pas di masa
depan, Husam hanya perlu bersabar menunggu beberapa tahun lagi detik
sesuai memihak kepadanya. Husam sebaiknya kekal mempertahankan jawatan
Naib Presidennya saja.
Ruang
untuk Haji Hadi berundur secara terhormat sebagai Presiden Pas dan
memberi laluan kepada pemimpin lain mengambil alih kerusinya mungkin
terbuka semula selepas pemilihan nanti jika Tuan Ibrahim Tuan Man
memenangi jawatan Timbalan Presiden menewaskan Mohamad Sabu.
Haji
Hadi mungkin bersedia dan tiada masalah menyerahkan kerusi itu kepada
Tuan Ibrahim yang pro kepadanya dan berpendidikan agama. Pewakilan Pas
pro ulama juga barangkali lebih selesa dengan kepimpinan Tuan Ibrahim
sebagai pengganti Haji Hadi.
Tetapi
proses peralihan itu akan terhalang jika Mohamad Sabu terus kekal lagi
sebagai Timbalan Presiden. Tidak mungkin beliau mahu menyerahkan kerusi
Presiden kepada Mohamad Sabu untuk mengambil alihnya.
Ini
bermakna jika dalam pemilihan 2015 ini, Mohamad Sabu dapat
mempertahankan jawatannya, proses peralihan kepimpinan dalam Pas tidak
mungkin berlaku. Dalam pemilihan berikutnya pada 2017, Haji Hadi pasti
akan mempertahankan jawatannya sekali lagi.
Ketika
itu, sebagaimana pemilihan kali ini, Haji Hadi juga akan kekal lagi
sebagai Presiden Pas. Tetapi selepas itu akan berlangsung pilihanraya
umum ke 14 yang tempoh akhirnya ialah Mei 2018.
Sudah
tentu kepimpinan Haji Hadi akan memberi kesan besar dari segi sokongan
pengundi bukan Melayu kepada calon-calon Pas dalam pilihanraya itu
nanti.
Dengan
jumlah ahli melebihi sejuta orang dan menjadi parti paling besar dalam
PR, malangnya kepimpinan Haji Hadi yang ditolak oleh pengundi bukan
Melayu hanya akan menyebabkan parti itu kekal di kedudukan paling
sedikit menang kerusi dalam pilihanraya akan datang nanti.
Itulah nasib Pas era Haji Hadi. ( SH 26/03/2015 )