Mesyuarat PKR-SAPP gagal, pertandingan 3 penjuru?
bantah bangunan 100 tingkat
Posted by admin on October 21st, 2010
Angkatan Muda Keadilan (AMK), sayap muda PKR, mahu melancarkan Kempen Bantah Bajet Anti Rakyat peringkat nasional untuk mengutip tandatangan rakyat membantah projek menara Warisan Merdeka 100 tingkat bernilai RM5 bilion.
“Intipati Bajet Najib adalah membina menara 100 tingkat yang bernama menara Warisan Merdeka oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang akan menelan perbelanjaan RM5 bilion.
“Peranan PNB adalah menaikkan taraf pelaburan dan menjaga kepentingan Bumiputra melalui pengurusan pelaburan portfolio,” katanya.
Sehubungan itu dalam kenyataan dikeluarkan, AMK berkata, pembinaan menara bukannya keutamaan PNB dan ia hanya menunjukkan kembalinya falsafah ekonomi “Mahathirism” dalam pengurusan ekonomi yang berteraskan mega projek.
Kata AMK lagi, projek Warisan Merdeka yang dijangka siap pada 2020 telah mendapat bantahan hebat rakyat jelata.
“Apakah ini rakyat diutamakan? Apakah manfaat RM5 bilion sekiranya boleh disalurkan kepada sekolah-sekolah?
“Apakah RM5 bilion boleh diguna untuk menaikkan taraf kesihatan negara kita? Mengapakah kualiti hidup rakyat tidak diutamakan semasa pembangunan dijalankan?” kata sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat ini.
Sayap itu menambah, jika meninjau dalam Laporan Ekonomi 2010/2011, hutang kerajaan persekutuan telah meningkat daripada RM362 bilion pada 2009 kepada RM408 bilion tahun ini iaitu meningkat sebanyak 12.7 peratus setahun.
Dalam keadaan ekonomi yang masih lembab, kata beliau, kerajaan persekutuan bukan sahaja tidak mengurus ekonomi dengan lebih bijaksana, malah telah mengamalkan pengurusan ekonomi pembaziran serta membebankan rakyat jelata khasnya bagi orang muda.
Semalam, PNB berkata pihaknya yakin langkah membangunkan projek hartanah bercampur Warisan Merdeka bakal menyediakan pulangan pelaburan jangka panjang menguntungkan kepada kumpulan itu.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, pembabitan PNB dalam projek hartanah yang bakal menjadi mercu tanda terbaru di Kuala Lumpur itu adalah sebahagian usaha kumpulan itu meningkatkan pendapatannya menerusi penerokaan dalam sektor ekonomi menguntungkan.
Hamad Kama Piah turut menolak tanggapan sesetengah pihak yang menganggap projek bangunan 100 tingkat itu akan menyebabkan lebihan penawaran ruang pejabat dan komersial di Kuala Lumpur seperti yang berlaku ketika ini.
“Apabila kami merancang projek ini, kami perlu memastikan ruang pejabat di bangunan itu dipenuhi.
“Bangunan ibu pejabat PNB sekarang sudah berusia 30 tahun dan kumpulan memerlukan ibu pejabat baru sejajar program pengembangan kami,” katanya.
Projek yang menempatkan bangunan tertinggi di Malaysia itu akan dibangunkan anak syarikat milik penuh PNB, iaitu PNB Merdeka Ventures membabitkan kos RM5 bilion.
PNB akan membina menara 100 tingkat itu terlebih dulu supaya ia dapat menjadi tarikan bagi pembangunan komersil lain seperti hotel, kondominium dan pusat membeli-belah.
Selain itu, Hamad Kama Piah berkata, PNB turut merancang membangunkan sebuah menara tambahan berhampiran Bangunan MAS di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur dan mengubahsuai bangunan sedia ada.
Menurut AMK, pihaknya mahu kerajaan membatalkan penambahan cukai perkhidmatan dari lima peratus kepada enam peratus dan membatalkan cukai barangan dan perkhidmatan serta menasionalisasi syarikat PLUS dan tamatkan konsesinya.
AMK berkata pihaknya akan menggerakkan semua anggota untuk turun padang dan mengadakan pelbagai program seperti forum, ceramah dan mengedarkan risalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pembaziran Bajet 2011.
“Program kutipan tandatangan di seluruh Malaysia akan dijalankan oleh pimpinan AMK di cabang-cabang,”
AMK juga menambah kepimpinan Najib dalam dua tahun ini tidak membawa perubahan ketara kepada golongan berpendapatan rendah tetapi malahan ekonomi negara ke arah tidak menentu.
“Pertama sekali, dalam pengumuman bajet beliau telah memansuhkan cukai ke atas barangan mewah import yang hanya mampu dinikmati oleh golongan kaya dan berpendapatan tinggi.
“Barangan seperti beg tangan, beg bimbit, pakaian dan kasut yang berduti antara lima hingga 30 peratus dimansuhkan. Hasrat Najib adalah membawa nama Negara Malaysia sebagai ‘shopping heaven’.
“Malangnya, semua kebaikan dan keuntungan ini dinikmati oleh pelancong asing dan menyebabkan pendapatan cukai import negara berkurangan,” kata AMK lagi.
AMK menambah, walaupun kerajaan persekutuan telah menangguhkan cukai barangan dan perkhidmatan yang telah dibantah oleh rakyat di seluruh negara, tetapi cukai perkhidmatan telah dipertingkatkan daripada lima hingga enam peratus bagi menjana hasil cukai tambahan untuk pembangunan negara.
“Ini amat membebankan golongan pertengahan dan golongan bawahan. Kerajaan percaya meningkatkan satu peratus boleh menyumbang besar dalam hasil kerajaan dan seterusnya mengurangkan defisit yang tinggi sejak beberapa tahun yang dulu.
“Kenaikan cukai perkhidmatan adalah seperti kerajaan mengenakan kutipan cukai kad kredit dan kad caj pada 2010.
“Ia merupakan cara yang sama supaya meningkatkan hasil kutipan cukai dan percayai boleh meningkatkan dua peratus daripada jumlah hasil dalam cukai jualan dan cukai perkhidmatan,” kata AMK lagi.
Media reformasi semakin dilupakan?
Media reformasi semakin dilupakan?
Penulis tiba-tiba terkenang zaman bermulanya gerakan reformasi di negara kita hampir 12 tahun lalu apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (ketika itu Datuk Seri) daripada kerajaan Malaysia. Sebelum pemecatan itu, portal-portal berita di internet yang ada hanyalah milik akhbar-akhbar terkemuka di Malaysia seperti Utusan Online, The Star Online, Harian Metro dan beberapa portal lagi.
Namun begitu, selepas pemecatan Anwar dan tidak sampai seminggu selepas itu, muncul beberapa laman web reformasi yang bertindak pemangkin berita alternatif di internet yang dihoskan menggunakan ruang maya yang percuma seperti Tripod.com, Geocities.com, Xoom.com dan sebagainya. Rakyat Malaysia ketika itu banyak bergantung kepada World Wide Web yang majoritinya untuk memeriksa emel sahaja dan pencarian maklumat masih di peringkat minimum. Setelah kejadian pemecatan itu, orang ramai terutamanya golongan muda dan celik IT mula merujuk bahan berita di dalam Internet untuk berita-berita dan maklumat mengenai ’sebelah bukan kerajaan’ untuk aktiviti-aktiviti reformasi di seluruh negara terutamanya di ibu kota. Terima kasih kepada kerajaan ketika Tun Mahathir kerana mengawal laporan berita di dalam media massa kepunyaannya yang menyebabkan laman-laman reformasi wujud
Antara laman-laman web reformasi yang banyak berjasa kepada pertubuhan-pertubuhan berkaitan reformasi antara tahun 1998 ke 2000 adalah seperti ADIL, PKN dan seterusnya berkembang menjadi PKR pada hari ini ialah Laman Mahazalim, Laman Reformasi Nasional (RN), Doi Moi, Laman Marhaen, Mahafiraun 2020, Komentar, Keadilan Dot Org, Anwar Online, Tranungkite, Reformasi Ummah dan Wartawan Rasmi Laman Reformasi yang mula mengambil tempat di hati pencari maklumat reformasi di internet ketika itu. Hanya Laman Wartawan Reformasi dan Tranungkite sahaja yang masih kekal sehingga hari ini dan boleh dikatakan paling lama bertahan hampir 10 tahun.
Penulis masih ingat lagi pada tahun 1999 apabila ada pihak mengambil kesempatan mencetak berita-berita dari Laman RN setiap pagi di Kuala Lumpur untuk dijual dengan harga RM1 senaskah untuk mereka yang kurang celik IT dan mereka yang tidak mempunyai kemampuan memiliki sambungan Internet. Harga sewaan Internet yang lembap ketika itu menggunakan sistem Dial Up Connection dan harga sebuah komputer yang agak mahal menyebabkan golongan tersebut mengambil kesempatan mencetak dan menjual berita reformasi di Internet. Ketika itu, laman-laman Malaysiakini, The Malaysian Insider, Merdeka Review, Malaysia Today dan Free Malaysia Today belum wujud sepenuhnya lagi dan hanya wujud selepas tahun 2001. Namun begitu disebabkan dengan jumlah dana yang mampu dikumpul mereka telah membolehkan laman mereka kini berkembang maju dan semakin ‘mahal’ pada hari ini.
Sekarang, golongan pencetak ini tidak mampu membuat urusniaga seperti 11 tahun lalu. Ini kerana sudah ramai rakyat Malaysia mampu milik komputer dan mempunyai sambungan Internet yang berkelajuan tinggi dengan Jalur Lebar sekurang-kurangnya. Bukan itu sahaja, semua orang sudah mula kenal dengan blog apabila banyak syarikat blog antarabangsa menyediakan perkhidmatan blog percuma seperti Blogspot dan Wordpress di samping dengan pengenalan laman-laman kenalan seperti Facebook dan Myspace yang mula digilai oleh rakyat Malaysia sejak tahun 2005.
Tujuan penulis menceritakan sejarah lama media reformasi bukannya sekadar ingin mengenangkan masa-masa yang lalu yang penuh dengan nostalgia dan semangat perjuangan. Laman-laman yang disebut di atas (perenggan ketiga) banyak menyumbang peluang kepada pejuang-pejuang politik yang kita kenal hari ini untuk menulis buah bicara, maklumat, berita dan manifesto perjuangan mereka untuk diketahui oleh umum. Dahulunya mereka hanyalah pejuang di jalanan yang berlari bertempiaran disembur gas pemedih mata dan air gatal dari meriam air FRU dan kini mereka sudah memegang jawatan penting sebagai wakil rakyat di peringkat Dewan Undangan Negeri dan juga Parlimen.
Malah, ada yang turut memegang jawatan Exco kerajaan negeri dan pemimpin kanan beberapa kerajaan negeri. Penulis masih ingat lagi, laman-laman web reformasi digunakan untuk tujuan mengumpulkan para pendemo jalanan untuk turun ke jalan-jalan utama di Kuala Lumpur dan dengan hasil kerjasama laman-laman web reformasi inilah menyampaikan maklumat kepada umum, program-program demo menentang kerajaan berjalan dengan baik dan mendapat sambutan ramai. Malah penulis atau pengendali Laman Malaysia Today iaitu Raja Petra Kamaruddin dan penulis-penulis seperti Mohd Sayuti Omar, Badrul Amin Bahron, Hishamudin Rais, Allahyarham Rustam Sani, Saifuddin Nasution, mendiang M.G Pillai, Aziz Bari, Chandra Muzaffar (ketika itu bersama gerakan reformasi) dan ramai lagi pernah memberi sokongan dengan menyebarkan bahan penulisan mereka di laman-laman reformasi lama yang popular seperti RN, Mahazalim, Laman Marhaen dan banyak lagi.
Itu adalah kisah hampir sedekad lalu yang tidak akan dilupakan oleh penulis yang berada seangkatan dengan mereka di zaman awal reformasi bermula. Kini, wujud pula laman-laman web ’reformasi’ yang bergerak secara profesional dari segi laporan berita dan artikelnya sebagai portal berita seperti Malaysiakini, The Malaysian Insider, Malaysian Digest, Malaysian Chronicle dan banyak lagi. Gaya penulisannya yang dilihat professional mampu menarik banyak pembaca terutamanya mereka yang tergolong di kalangan warga kota. Laman-laman ini adalah hasil usaha oleh bekas wartawan dan penyunting berita berbangsa bukan Melayu. Hanya baru-baru ini pula, Laman KL-Today.com mula memasuki pasaran dan laman ini yang bersifat pertengahan mengenai politik negara merupakan laman portal berita bersifat professional milik Melayu yang pertama setakat ini.
Meskipun begitu, laman-laman web reformasi yang kini masih dianggap ’jalanan’ sedangkan bekas-bekas penulis dan penyumbang artikelnya kini selesa memegang tampuk kuasa di negeri-negeri Pakatan Rakyat (PR) dan menjadi ahli-ahli Parlimen. Laman-laman reformasi ’jalanan’ ini masih lagi cuba merelevankan perjuangan mereka walaupun digugat oleh laman-laman portal professional pro-reformasi seperti Malaysiakini. Memang sukar untuk mereka mengekalkan kewujudan mereka sejak tsunami politik yang melanda negara ini pada pilihanraya umum tahun 2008. Kini, mereka seolah-olah sukar mendapat perhatian daripada ’mereka’ yang pernah ’terhutang budi’ kepada perjuangan laman-laman reformasi yang menaikkan mereka ke tahap sekarang.
Bila mereka menang dan membentuk kerajaan, laman-laman reformasi ini dilupa dan disisihkan. Mereka lupa bahawa keadaan mereka yang ada hari ini yang mentadbir banyak negeri disebabkan kesan fenomena maklumat berterusan yang disalurkan oleh laman-laman reformasi yang didirikan dengan sukarela dan penat lelah tidak berbayar kerana ikhlas di dalam perjuangan. Kini, laman-laman pro reformasi mengharapkan berita yang dikutip dari laman web professional seperti Malaysiakini, Malaysian Insider dan lain-lain lagi untuk disiarkan. Namun begitu, laman pro reformasi jalanan ini masih mendapat pujaan rakyat Malaysia untuk menyampaikan berita setempat dan pandangan mereka. Hanya selepas PRU 2008, kini laman reformasi boleh dilihat bukan sahaja menyajikan berita dan pandangan yang berbeza mengenai kerajaan Barisan Nasional (BN) tetapi juga ada yang mula menyajikan pandangan rakyat marhaen mengenai ketidakpuasan hati mereka kepada kerajaan-kerajaan negeri PR sendiri.
Biarlah saya berterus-terang di sini. Dalam ayat yang mudah, saya kira kecewa dengan sikap pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang lupa akan jasa baik laman-laman reformasi yang telah membawa mereka sehingga ke tahap ini. Apabila mereka memiliki kuasa pentadbiran, mereka sudah lupa akan tanggungjawab mereka untuk meneruskan hubungan baik yang penuh simbiosis dengan laman-laman pro-reformasi. Kini, setelah bergelar ahli Parlimen dan Exco kerajaan negeri terutamanya di negeri Selangor, mereka mengorak langkah menggunakan sumber baru penyampai maklumat seperti TVSelangor, Selangorkini dan media-media portal berita yang terkemuka sahaja seperti Malaysiakini, Malaysian Insider dan Merdeka Review sebagai wadah komunikasi mereka dengan rakyat. Laman-laman portal ini seringkali mudah mendapat jemputan untuk ditemuramah, menerima kenyataan akhbar untuk penyiaran, maklumat serta berita aktiviti parti dan kerajaan bagi menyiarkan bahan-bahan maklumat mereka. Jika dahulunya, apabila mereka mengadakan program dengan rakyat, mereka tidak akan lupa untuk emelkan kepada laman reformasi bagi menyiarkan bahan mereka secara terus. Tetapi kini para webmaster laman reformasi kena mencari sendiri bahan dan mengharapkan ihsan orang ramai yang mengirim berita dan gambar program yang dilakukan.
Kenapa saya kata PKR dan bukannya DAP dan PAS? Setakat ini, hubungan laman pro reformasi masih dihargai oleh PAS dan DAP. Pemimpin PAS terutamanya naib-naib presidennya selalu mengadakan sidang media dengan menjemput wakil-wakil dari media reformasi. Pemunya laman web pro reformasi juga dijemput untuk makan malam penghargaan dan program-program kerajaan di negeri Kelantan, Pulau Pinang dan Kedah. DAP walaupun dilihat sebagai parti majoriti Cina juga terus menghargai laman-laman web pro reformasi milik Melayu dan selalu meraikan mereka di program-program parti dan masyarakat. Untuk PAS pula, walaupun mereka sudah mempunyai jentera komunikasi yang berkesan melalui HarakahDaily.com, mereka tetap menghargai pejuang laman reformasi.
Tetapi bagi pemimpin-pemimpin PKR yang mungkin mabuk kuasa dan hanya mahu mencapai kedudukan jawatan di dalam kerajaan, dalam tempoh dua tahun ini, kebanyakan laman web reformasi seakan-akan dilupakan apabila mereka mempunyai jentera media baru terutamanya di negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan. Bukan itu sahaja, pemimpin PKR negeri mempunyai masalah komunikasi bagi menerangkan isu-isu parti dan nasional melalui media-media alternatif kepada rakyat. Media-media alternatif di sini bukan sahaja media internet yang pro reformasi tetapi juga media bercetak yang pro reformasi seperti yang ada di pasaran hari ini seperti Siasah dan Kabar.
Saya mendapat maklumat yang meyakinkan mengenai ada beberapa pegawai atau setiausaha akhbar kepada para pemimpin PKR yang menjawat jawatan di dalam kerajaan negeri gagal memainkan peranan di dalam penyebaran maklumat selain dari masalah sukar dihubungi. Jika ditinjau siapa pegawai-pegawai ini, kebanyakan setiausaha akhbar ini adalah bekas pemimpin mahasiswa yang kebanyakannya berumur di pertengahan ke lewat 20an. Mereka ini bukan sahaja tidak berpengalaman atau lemah di dalam mengatur program komunikasi dengan para wartawan tetapi juga angkuh dan pilih bulu bila berhadapan dengan para wartawan media reformasi.
Bagi saya, tidak hairanlah ’budak-budak muda’ ini angkuh atau lemah di dalam peranan mereka sebagai pegawai akhbar. Jika diikutkan umur mereka, saya yakin ketika awal bibit reformasi bermula 1998, mereka mungkin masih berada di awal sekolah menengah dan di akhir sekolah rendah. Kejiwaan mereka sebagai generasi reformasi adalah kurang dan ini menyebabkan mereka tidak menghayati sejarah reformasi sendiri dan akur akan peranan media alternatif di dalam membawa parti dokongan mereka ke tahap yang ada pada hari ini.
Saya tidak berkata semua pemimpin PKR sedemikian rupa tetapi berani saya katakan majoriti daripada mereka sudah lupa jasa media alternatif. Mungkinkah jika mereka kalah dalam pilihanraya umum akan datang dan kehilangan negeri Selangor akan menyebabkan mereka kembali ke ’jalanan’ dengan media-media alternatif ’jalanan’ sebagai wadah komunikasi dengan rakyat? Itu satu persoalan yang saya mahukan pemimpin PKR Selangor rungkai sendiri. Saya juga diberitahu pemimpin-pemimpin yang pernah berjuang di jalanan yang dulunya mudah didekati tetapi kini sudah sukar pula dihubungi. Malah, pegawai-pegawai akhbarnya juga mengalahkan ketuanya yang ’Yang Berhormat’ juga sukar ditemui atau dihubungi oleh pihak media alternatif jalanan. Mengalahkan bapa menteri kerajaan BN untuk ditemui walaupun hanya memegang jawatan ahli Parlimen dan pemimpin kerajaan negeri. Bagi wartawan jalan ini, jika bernasib baik bolehlah dijumpai di lobi Parlimen sahaja kalaulah dapat bolos pengawal Parlimen.
Saya menulis di sini atas kapasiti individu dan tidak mewakili mana-mana pengendali atau wartawan media ’jalanan’ di negara ini. Namun begitu, saya yakin ramai daripada mereka mungkin bersetuju dengan saya mengenai sikap beberapa pemimpin PKR yang mula menjauhi media web reformasi. Malah, setiap kali mesyuarat agung PKR selepas era tsunami 2008, ramai daripada mereka ini sebenarnya merasakan dipinggirkan dan berita-berita semasa perhimpunan itu pun dikutip dari laman web portal alternatif yang terkemuka ataupun dari laman Suara Keadilan dengan ikhlas menyiarkan bagi tatapan umum.
Walaupun PAS sudah cukup baik memiliki HarakahDaily sebagai sumber maklumat internet dan akhbar tetapi mereka masih membuka ruang kepada pengendali laman web reformasi untuk hadir untuk membuat liputan Muktamar mereka. Program-program rakyat dengan DAP di Pulau Pinang terutamanya dengan orang Melayu Pulau Pinang juga dapat dihadiri oleh wartawan jalanan ini kerana dijemput. Boleh dikatakan, sejak tahun 2008, liputan-liputan laman web reformasi lebih banyak yang melaporkan berita-berita berkaitan pemimpin DAP seperti Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng dan pemimpin PAS jika dibandingkan dengan pemimpin PKR sendiri.
Kita tidak tahu di mana silapnya di dalam PKR itu sendiri. Siapa yang silap? Sama ada kelemahan jentera penerangan PKR sendiri ataupun sikap pemimpin PKR yang sudah berangan-angan besar menjadi pemimpin negara yang hanya memandang tinggi portal berita profesional seperti Malaysiakini dan The Malaysian Insider yang mereka yakin mempunyai pengaruh yang lebih besar. Saya kiranya tidak menyalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana saya yakin beliau amat menghargai peranan media reformasi yang banyak membantu membangunkan imejnya yang runtuh pada tahun 1998.
Anwar adalah manusia biasa dan kini mempunyai banyak perkara lain yang perlu dihadapinya sebagai pemimpin utama pembangkang dan juga isu dakwaan Liwat II. Beliau hargai peranan media reformasi yang berjaya menangkis imej dan persepsi buruk yang cuba diterapkan oleh kerajaan melalui media kerajaan tetapi kini apabila PKR melangkah satu lagi langkah selepas PRU 2008, media reformasi kini makin dilupakan. Andaikata, Anwar ada membaca artikel ini, moga-moga beliau menasihati pemimpin-pemimpin di bawahnya di dalam PKR supaya mengenang semula masa lampau perjuangan bersama media-media reformasi jalanan.
Meskipun laman web reformasi jalanan kini tidak lagi ’diiktiraf’ oleh kebanyakan pemimpin PKR pada hari ini, perlu diingatkan rakyat masih berpusu-pusu masuk ke dalam laman web reformasi pada hari ini walaupun portal professional seperti Malaysiakini terus digemari. Laman-laman reformasi seperti Perisik Rakyat, Kerajaan Rakyat, Tranungkite dan lain-lain lagi yang masih kekal pada hari ini akan terus dilihat sebagai pasak kepada perjuangan reformasi di negara ini. Tidak kira sama ada PR mampu menawan Putrajaya atau tidak, laman-laman ini akan terus kekal hidup dalam masyarakat reformasi hari ini dan di masa akan datang.
Shaharul adalah seorang perunding Sumber Manusia Strategik dan program pembangunan organisasi, Selain itu, beliau juga menulis beberapa artikel analisa perkembangan politik, sosial dan ekonomi yang diterbitkan di dalam KLToday.com. Beliau boleh dihubungi di rashidzack@yahoo.com