Jika kita dapat melihat diri kita di dalam
diri orang lain serta ‘pernah duduk bersama mereka yang patah hati’, kita pasti
memahami serta menghormati antara satu sama lain dengan lebih baik
By
Prema Devaraj
May 2021
Photograph: Juan Pablo
Serrano Arenas/Pexels
Di seluruh dunia, pandemik Covid berterusan. Kita melihat dengan
penuh ketakutan bagaimana keadaan Covid sudah tidak terbendung di India.
Kehilangan nyawa serta penderitaan azab rakyatnya sungguh dahsyat.
Apakah kita sebagai sebuah negara sudah melakukan semuanya
dengan mencukupi bagi mengelakkan keadaan seperti itu terjadi di sini? Wujud
kebimbangan dengan kes yang meningkat, keberkesanan
pemberian vaksin Covid serta adakah rakyat mematuhi (atau
tidak) sekatan, termasuklah dalam melintas sempadan serta perjumpaan
besar-besaran.
Peristiwa melibatkan sikap ‘antara dua darjat’ cukup tidak
membantu. Kedua-dua negara, Norway dan Thailand, sudah pun mendenda perdana
menteri mereka kerana melanggar kawalan sekatan Covid. Jelas kita memerlukan
sikap yang sama di sini.
Namun, rasa perikemanusiaan juga
diperlukan oleh mereka yang membuat undang-undang serta mereka yang menjalankan
kawalan bagi memastikan langkah berkadaran serta denda yang dikenakan tidak
mengakibatkan rakyat jatuh miskin.
Walaupun Covid sudah memporak-peranda seluruh dunia, namun ada
beberapa perkara yang berlaku di Malaysia yang bukan disebabkan olehnya.
Beberapa perkara ini sungguh memalukan kita sebagai sebuah negara.
Hal baru-baru ini melibatkan ‘pemeriksaan
mengejut haid’ merupakan sebuah penyalahgunaan serta pelanggaran privasi
kanak-kanak yang tidak boleh dijustifikasi sama sekali.
Tindakan ini tidak mempedulikan langsung autonomi seorang
kanak-kanak perempuan terhadap tubuh serta privasinya. Fikirkan sejenak apakah
mesej daripada tindakan sebegini kepada kanak-kanak tentang apa yang boleh
dilakukan orang dewasa terhadap mereka serta kesan psikologikal akibat dari
perkara yang memalukan ini. Ianya seakan-akan mengejek kerajaan kita yang
menandatangani Konvensyen Hak terhadap Kanak-Kanak PBB.
Support
the struggle to build a Malaysia based on Justice, Freedom, Solidarity:
·
Sign up for Aliran's free daily email
updates or weekly newsletters or both
·
Make a one-off
donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948
·
Schedule an auto donation to Aliran
every month or every quarter
·
Become an Aliran
member
Kementerian Pendidikan perlu tampil ke hadapan dengan garis
panduan yang jelas bagi semua sekolah, membersihkan sekolah serta guru yang
dikatakan terlibat serta menghentikan terus perlakuan ini secepat mungkin.
Ianya sesuatu yang ironik saatnya pelbagai undang-undang digubal
bagi mengelakkan pemangsa seksual dari memudaratkan anak kita, dengan
memastikan hukuman yang lebih keras, memperkenalkan penyenaraian pesalah
seksual serta melancarkan talian bantuan bagi kanak-kanak. Namun, pada masa
yang sama, kita membenarkan penganiayaan untuk berlaku di institusi pendidikan.
Sebelum kemarahan kita reda, muncul tuduhan tentang seorang guru
yang melakukan ‘lawak rogol’ pula muncul. Pelajar remaja yang membawa
perkara ini pula kemudiannya menerima ancaman rogol
dari rakan sekelas laki-laki: “Kalau aku dapat kau, aku akan cincang
atau rogol kau dan hantar ke Thailand,” inilah yang dikatakan rakaman audio
yang dihantar kepada pelajar remaja tersebut.
Timbalan ketua polis, yang membuat siasatan terhadap kedua-dua
perkara, dilaporkan
menyebut bahawa laporan kedua itu mungkin adalah berkenaan
“gurauan dari rakan sekelas, yang pelajar itu tidak dapat terima”.
Sejak itu, rakan sekelasnya itu sudah meminta maaf,
pihak polis menegaskan bahawa mereka mengambil hal ini secara
serius, Kementerian Dalam Negeri pula menyiasat media kerana
dikatakan membuat laporan salah terhadap komen timbalan ketua polis serta
remaja itu pula terpaksa berhadapan dengan komen-komen
lucah dari akaun Facebook.
Keseluruhan peristiwa ini adalah contoh bagaimana ‘budaya rogol’
itu wujud, misalnya mengambil ringan serangan seksual; memperleceh, memberi
alasan serta menormalisasi ancaman serangan seksual; serta mengakibatkan mangsa
untuk menyalahkan diri sendiri.
Apa peluang yang ada bagi mengelakkan serangan seksual (belum
lagi masuk tentang keadilan serta membawa keadilan kepada mangsa serangan
seksual) saatnya masyarakat berterusan menyokong ‘budaya rogol’.
Siapa yang akan memastikan mereka yang terlibat dengan budaya
rogol ini akan dipertanggungjawabkan? Siapa yang akan melindungi mereka yang
bersuara terhadap keganasan seksual atau lawak tidak wajar serta komen-komen
melibatkan keganasan seksual?
Mesej yang tegas perlu datang dari pemimpin di seluruh negara –
ahli politik, pemimpin komuniti serta lain-lain. Mereka perlu menonjolkan diri
serta menolak keganasan seksual serta budaya rogol dengan tidak menyalahkan
pakaian mangsa atau pun bertanya adakah mangsa menutup aurat atau tidak.
Kita juga memerlukan pemimpin lelaki untuk menampilkan diri dan
memainkan peranan bagi menunjukkan seperti apakah menghormati wanita itu
sebagai mereka yang setara. Adakah ianya sesuatu yang berlebih-lebihan untuk
dilakukan?
Pada waktu yang sama, muncul sebuah kes melibatkan pasangan
warga asing, Simon Momoh. Beliau sudah pun menjalani hukuman jel simbolik
selama satu hari serta membayar denda sebanyak RM12,000 bagi kesalahan memandu
dalam keadaan mabuk di mana beliau sudah pun mengaku bersalah. Beliau
kemudiannya ditahan oleh pihak imigresen selama hampir 40 hari. Ketika ditahan,
visa pasangannya dibatalkan serta perintah penghantaran pulang dikeluarkan.
Mahkamah Tinggi Shah Alam baru-baru ini membuat keputusan bahawa
arahan ketua pengarah Jabatan Imigresen adalah salah serta secara prosedurnya
tidak dibenarkan serta mengarahkan Simon agar segera dibebaskan berdasarkan
perintah habeas corpus.
Keseluruhan episod ini membongkar penyalahgunaan kuasa serta prosedur oleh pihak berkuasa
imigresen yang bukan sahaja melibatkan Simon semata-mata tetapi juga semua
warga asing yang ditahan serta menanti untuk deportasi seperti yang dilaporkan
media. Siapa yang akan memastikan pihak imigresen untuk bertanggungjawab?
Kemudiannya kita juga berdepan dengan keadaan melibatkan anggota
polis. Bertahun lamanya, rakyat sudah membuat aduan berkenaan salah laku polis
serta berulang kali menggesa agar ditubuhkan suruhanjaya bebas salah laku dan
aduan polis (IPCMC). Namun, jika ketua polis sendiri yang mengadu wujudnya
kartel polis, bagaimana rakyat pula akan merespon?
Cerita di belakang tabir terus dimainkan media di mana
wujudnya dakwaan campurtangan politik melibatkan pelantikan ketua polis
yang baharu.
Sementara itu, dakwaan terhadap keganasan pihak polis juga
berterusan. Kurang dari seminggu yang lalu, A Ganapathy, 40, didakwa
memberitahu kepada keluarganya bahawa beliau dipukul dengan
teruk menggunakan hos getah oleh pihak polis ketika di dalam
tahanan, mengakibatkan beliau maut akibat kecederaan dialaminya selepas
dimasukkan selama sebulan ke unit rawatan rapi Hospital Selayang. Bagaimana
kita dapat memastikan perkara ini dapat disiasat?
Menyiasat dakwaan keganasan atau salah laku polis merupakan
pertarungan yang sukar, jika melihat kepada inkues yang dijalankan baru-baru
ini terhadap seorang lagi mangsa yang meninggal dunia dalam tahanan. Mohd
Fadzrin Zaidi 29, ditemui meninggal dunia pada 22 November 2019 di dalam selnya
di ibu pejabat Polis Seberang Perai Selatan.
Mengikut peguam yang mewakili arwah Fadzrin, koroner sudah
menangguhkan inkues sebanyak empat kali serta menahan dokumen
penting dari dikeluarkan.
Akhirnya, menerusi permohonan penilaian semula jenayah di
Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, mahkamah memerintahkan pihak koroner untuk mendedahkan semua dokumen serta bahan yang relevan kepada
inkues. Mengapa ianya begitu sukar untuk mendapatkan kebenaran dari perkara
yang sudah berlaku? Apa yang dapat rakyat simpulkan dari hal sebegini?
Terdapat sebuah lagi contoh penggunaan kuasa secara
sewenang-wenangnya yang dapat kita lihat apabila sebuah keluarga melakukan
protes di luar Bank Negara Malaysia bagi mendapatkan campurtangan dari mereka.
Bersama dengan keluarga ini adalah Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang
menanggapi keadaan ini sebagai sesuatu yang tidak adil kerana bank melakukan
lelongan terhadap rumah kos rendah mereka ini.
Walaupun keadaan ini akhirnya diselesaikan dengan kedua-dua
pihak mencapai persetujuan di antara bank dan keluarga, namun
kita perlu mempersoalkan pihak bank – apakah proses yang sepatutnya dijalankan
sebelum memutuskan bagi melelong sesebuah kediaman serta apakah kawal imbang
yang dilakukan bagi memastikan rundingan serta makluman berkenaan dengan nilai
yang tertunggak dengan peminjam dapat dibincangkan.
Keputusan bagi melelong kediaman dengan hanya menandatangani
sekeping kertas, mempunyai akibat yang cukup mengesankan bagi mereka yang hidup
mati mereka bergantung kepada kediaman itu. Dengan kuasa yang luas, datang
tanggungjawab yang besar dan keperluan bagi bank, pada musim Covid yang
sebegini, adalah bagi memastikan golongan rentan dibantu dan tidak dipinggirkan
oleh prosedur birokratik serta garis panduan yang keras.
Ada juga kebimbangan lain yang perlu kita risaukan – penangkapan
aktivis-artis Fahmi Reza oleh kerana senarai lagu Spotifynya yang berunsurkan
“Ini Dengki Ke?” serta siasatan terhadap kartunis politikal Zunar, akibat
kartun yang dilihat ‘mengapak’ cuti Thaipusam di Kedah.
Tindakan sebegini membongkar bagaimana ruang kebebasan
berekspresi sedang dibungkam, termasuklah kurangnya kefahaman tentang satira
politik.
Namun, tindakan membunuh diri oleh Shahzad Ahmed, 30, seorang
pekerja migran akibat dari keterdesakannya kerana tidak menerima
gajinya selama lima bulan, cukup mengejutkan. Berapa ramai
agaknya yang berada di dalam situasi yang sama serta tidak berdaya untuk
menyuarakannya.
Contoh-contoh sebegini dan banyak lagi cukup membuatkan kita
patut malu sebagai sebuah negara. Mengapa? Kerana sepatutnya dalam keadaan
sekarang, kita patut lebih tahu. Apakah sikap acuh atau rasa angkuh atau pun
‘besar kepala’ atau betapa istimewanya kita yang sekaligus membenarkan kita
untuk menganiayai orang lain, lebih-lebih lagi mereka yang rentan? Mengapa kita
begitu semberono serta bersikap cuai sesama insan?
Saatnya kita mengharungi pandemik ini sebagai seorang individu
serta sebagai sebuah negara, saatnya kita cuba mencari jalan yang benar untuk
maju ke hadapan bagi diri dan negara kita, kita perlu melihat diri kita di
dalam diri orang lain, tidak kira jika orang lain itu berbeza kepercayaan,
berbeza kelompok etnik, berbeza status kerakyatan, berbeza gender atau berbeza
latarbelakang sosio ekonomi.
Dua petikan ini muncul ke dalam fikiran saya:
Compassion becomes real when we recognise our shared humanity.
(Ihsan menjadi nyata saatnya kita memperakui kemanusiaan bersama.) – Pema
Chondron
I am not interested if you have stood with the great, I am
interested if you have sat with the broken. (Aku tidak kisah jika kalian sudah
berdiri bersama dengan yang agung, aku lebih tertarik jika kalian sudah duduk
bersama mereka yang patah hati.) – Sue
Fitzmaurice
Jika kita dapat melakukan kesemua ini – melihat diri kita di
dalam diri orang lain serta “duduk bersama mereka yang patah hati” – kita akan
memahami keadaan di antara satu sama lain dengan lebih baik, melayan di antara
satu sama lain dengan penuh hormat, menjadi lebih bertanggungjawab di dalam
menggunakan kuasa serta membuat keputusan dan barangkali, bersama di dalam
perjuangan bagi meruntuhkan semua undang-undang serta sistem yang tidak adil
sekarang.
Prema Devaraj
Editor bersama, Surat berita Aliran Mei 2021