Kerajaan perlu perbaharui proses pelantikan ketua polis negara (Malay/English)

 

 ALIRAN KESEDARAN NEGARA





 Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menggesa kerajaan untuk mengkaji semula  dan menambahbaik proses pelantikan ketua polis negara bagi meningkatkan integriti jawatan tersebut serta menambahkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan ketua polis menjalankan tugas dengan bersih, adil dan saksama.

Pada 1 Mei, Hamzah Zainuddin, Menteri Dalam Negeri, telah mengumumkan Acryl Sani Abdullah sebagai ketua polis negara bagi menggantikan Hamid Bador.

Bersih 2.0 menzahirkan kebimbangan terhadap perbualan Hamzah bersama seorang individu yang tidak diketahui untuk membincangkan calon untuk ketua polis negara. Perbincangan yang bocor di media sosial dan telah diakui oleh Hamzah antara lain menyebut bahawa mereka perlu melantik “budak kita” untuk menjadi ketua polis.

Pengakuan ini sangat membimbangkan disebabkan keputusan ini sepatutnya dibuat oleh Suruhanjaya Pasukan Polis berdasarkan kriteria-kriteria yang objektif dan bukan calon itu budak kepada sesiapa kerana ketua polis negara perlu menjalankan tugas dengan profesional dan tidak berpihak kepada mana-mana pihak.

Suruhanjaya Pasukan Polis yang dipengerusikan oleh Hamzah juga perlu mengumumkan kriteria yang digunakan oleh mereka untuk melantik ketua polis agar rakyat dapat menilai sejauh mana kompetensi beliau.

Untuk memastikan proses pelantikan ketua polis negara lebih telus dan berakauntabiliti, Bersih 2.0 mencadangkan agar Suruhanjaya Pasukan Polis membentuk satu panel penasihat penilaian yang akan mencadangkan tiga calon ketua polis negara kepada Suruhanjaya Pasukan Polis. Suruhanjaya ini kemudiannya akan memilih seorang calon dan menghantarnya kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk disahkan. Selepas pengesahan daripada jawatankuasa ini, Suruhanjaya Pasukan Polis akan mempersembahkan calon yang terpilih kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai ketua polis.

Kini, proses pelantikan ketua polis negara termaktub di dalam Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan di mana Suruhanjaya Pasukan Polis, yang dipengerusikan oleh seorang menteri persekutuan, akan mencalonkan kepada Agong untuk melantik ketua polis. Jawatan ini walaupun dilantik oleh Agong, namun Bersih 2.0 berpandangan proses sebelum nama calon dibentangkan kepada Agong untuk pelantikan boleh ditambah baik untuk meningkatkan ketelusan dan integriti jawatan ketua polis.

Support the struggle to build a Malaysia based on Justice, Freedom, Solidarity:

·         Sign up for Aliran's free daily email updates or weekly newsletters or both

·         Make a one-off donation to Persatuan Aliran Kesedaran Negara, CIMB a/c 8004240948

·         Schedule an auto donation to Aliran every month or every quarter

·         Become an Aliran member

READ MORE:  Proses pelantikan jawatan utama kerajaan harus dikaji semula dan diperbaharui (Malay/English)

 

Proses pelantikan jawatan pegawai utama kerajaan seperti ketua polis negara adalah amat penting dan perlu melalui Parlimen agar pelantikannya benar-benar telus, berakauntabiliti serta berdasarkan merit dan bukannya dibuat kerana kecenderungan oleh menteri semata-mata.

Bersih 2.0 juga mencadangkan agar kerajaan menggubal rang undang-undang pelantikan dan pemecatan jawatan pegawai utama kerajaan 2021 agar segala proses pelantikan dan pemecatan jawatan-jawatan utama kerajaan dapat diperhalusi oleh rakyat bagi menambahbaik proses pelantikan yang sedia ada sekarang.

Penglibatan Parlimen juga adalah penting dalam proses pelantikan yang telus dan tidak terhad hanya sekadar menggubal undang-undang atau peruntukan kepada pihak berkuasa sahaja.

Bersih 2.0 juga mengharapkan agar Ketua Polis Negara yang baharu, Acryl Sani Abdullah, dapat menjalankan tugas tanpa rasa takut atau pilih kasih dan benar-benar mengutamakan keadilan dan kebajikan rakyat. – Bersih 2.0