Beberapa hari lalu saya telah menulis menyarankan perlunya
Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob menunjukkan keberanian dengan seberapa
segera bagi menghentikan polemik berkaitan tarikh PRU15 daripada terus
berpanjangan.
Ini kerana selagi polemik itu tidak dihentikan, selagi itulah ia
akan berlarutan dengan pihak mendesak diawalkan dan pihak yang mahu dilewatkan
terus mengeluarkan hujah masing-masing.
Keadaan tersebut bukan saja tidak sihat untuk negara di ketika
rakyat sedang dibebani kesusahan waktu ini, tetapi juga kerana penentuan tarikh
PRU adalah hak Perdana Menteri untuk memilih masa yang sesuai bagi menasihati
Yang Dipertuan Agong berkenaan dengannya.
Dengan itu, pihak lain tidak berhak sama sekali untuk
campurtangan.
Tambah pelik, puak yang sedang hangat bertelagah mahu PRU awal
dan lewat itu adalah sama-sama duduk dalam kerajaan dan menyokong Ismail Sabri
sebagai Perdana Menteri.
Tidak bolehkah mereka duduk diam-diam dan menghormati kuasa
Perdana Menteri?
Begitu pun, untuk menghentikan polemik itu, yang paling tepat
berbuat demikian tentunya tidak lain ialah Perdana Menteri sendiri.
Jika Perdana Menteri memberi isyarat atau kenyataan yang jelas
dan konsisten, sudah tentu akhirnya mereka yang bertelagah itu sedar siapa diri
mereka yang sebenarnya.
Hakikatnya bukan hak mereka untuk masuk campur dan biarlah
Perdana Menteri menentukan waktu yang sesuai untuk membubarkan Parlimen.
Untuk itu, apabila hari ini Ismail Sabri memberi kenyataan
berkaitan polemik PRU, ia nampaknya ada sedikit keberanian mula ditunjukkannya.
Menurut beliau, kekerapan pelbagai pihak berbincang soal tarikh
PRU15 akan memberi kesan kepada kestabilan politik negara.
“Tidak ada seorang pun Perdana Menteri berbincang mengenai
tarikh PRU secara terbuka di khalayak ramai.
“Semua Perdana Menteri tak bincang soal tarikh PRU, sebab ini
beri kesan kepada kestabilan politik.
“Kalau kita bincang, akhirnya tumpuan kita lebih kepada soal
pilihan raya’” ujarnya lagi.
Apa yang tersirat daripada kenyataannya kali ini, Ismail Sabri tidak
saja ingin memberitahu kuasa pembubaran Parlimen adalah haknya sebagai Perdana
Menteri dan tidak akan membincangkannya secara terbuka sebagaimana amalan semua
Perdana Menteri sebelum ini, bahkan suatu mesej agar pihak lain jangan asyik
menekan atau mengasaknya.
Dengan demikian, mulai sekarang, kluster mahkamah khususnya,
sila duduk diam-diam dan berhentilah membuat desakan terbuka.
Selain itu, apa yang diharapkan juga selepas ini, Ismail Sabri
harus kekal berani dan mesti bercakap dengan nada yang sama tidak kira ketika
di pentas UMNO, ketika mesyuarat MT UMNO atau di mana-mana saja.
Jangan lagi hanya di khalayak ramai atau di depan wartawan saja
ada macam berani, tetapi apabila di pentas UMNO menampakkan dirinya seolah-olah
memberi harapan dan tunduk kepada kehendak kluster mahkamah seperti
mengeluarkan ayat “tarikh pilihan raya tidak akan ditangguhkan walau sesaat
sekali pun jika BN sudah bersedia.”
Kata-kata di atas tidak lebih merupakan ayat memberi harapan
kepada kluster mahkamah, sedangkan hakikatnya bukan begitu yang seharusnya
ditunjukkannya dan diingini oleh rakyat.
Rakyat mahu melihat Perdana Menteri seorang yang berani dan tidak
tunduk, terutama kepada mereka yang ada kes mahkamah.
Tunduk dan mengalah kepada kluster mahkamah lebih membahayakan
masa depan Ismail Sabri sendiri sebagai “poster boy” yang dipertaruhkan sama
ada BN mampu menjadi pilihan rakyat atau sebaliknya pada PRU15 akan datang.
Dalam banyak keadaan, pemimpin yang tidak berani bukanlah
pilihan pengundi. – ShahbudinHusin 16/06/2022.