Kisah yang diberikan kurang jelas bagaimana penduduk yang dipercayai peneroka di Bahau telah menentang pihak berkuasa. Mungkin peristiwa berkaitan mengeluarkan kayu getah.
Seorang peneroka telah di tahan pada kejadian waktu pagi disebabkan
beliau menahan lori yang cuba masuk ke ladang Gatco untuk membawa keluar
kayu getah.
Lori tersebut masuk dengan bantuan polis Balai Air Hitam, Bahau, Negeri
Sembilan. Beliau cedera teruk akibat diserang oleh polis. Salah seorang
polis menggunakan baten dan memukul pada kepala beliau. Beliau masih
lagi ditahan dibalai. Seorang wanita juga dimasukan ke hospital
kerana dipukul oleh sekumpulan polis dan rela. Sebelah petang satu lagi
wanita ditahan sebab belum diketahui. Wanita ini merupakan mangsa yang
pernah buat laporan polis terhadap OCS Srj Abu Bakar berkenaan sexual
harrasment. Mereka berdua masih lagi berada dlm tahanan polis.
Polis serta rela hari ini menggunakan baten dan bertindak ganas serta
liar terhadap penduduk yang tidak mempunyai sebarang senjata. Beberapa
polis menyuruh Rela menutup muka dan memberi arahan untuk menyerang
peneroka. Polis yang memberi arahan tersebut menanggalkan Name Tag
mereka dan memberi perlindungan kepada pegawai Rela tersebut. 9/6/2015
Keretakan
dalam Pakatan Rakyat (PR), terutamanya antara PAS dan DAP dengan
terbaru muktamar parti Islam itu meluluskan usul memutuskan hubungan
dengan rakan sekutunya, mengakibatkan kerajaan negeri Selangor kini
hilang majoriti dan kestabilan, kata Dr Abdul Aziz Bari.
Pakar
perlembagaan itu berkata, pertembungan terbuka antara dua parti komponen
PR itu menyebabkan kerajaan negeri kini tidak dapat lagi berfungsi
tanpa persefahaman dan permuafakatan sesama mereka.
“Bila kamu (PAS) serang DAP macam itu, bagaimana kamu mahu kata ‘business as usual’ (kerja seperti biasa)?
“Sama
ada kamu suka atau tidak, sistem kerajaan Westminster ini berasaskan
keyakinan dan majoriti. Kalau tidak, bagaimana mahu mentadbir kerajaan?”
soalnya.
Bercakap kepada The Malaysian Insider, Aziz merujuk
kepada kenyataan pimpinan PAS yang menyerang DAP semasa muktamar yang
berlangsung minggu lepas.
Ia disusuli kenyataan balas pemimpin DAP
diketuai penasihatnya Lim Kit Siang yang mengatakan PR sudah berkubur
dan hanya menunggu dikebumikan.
Berdasarkan pengamatan situasi
semasa, khususnya antara PAS dan DAP, Aziz menegaskan, kestabilan dalam
kerajaan negeri Selangor kini sudah hilang.
“Di Selangor, mereka gagal menunjukkan imej kestabilan. Ia tidak baik untuk kerajaan negeri,” katanya.
PR
mempunyai majoriti 43 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor
dengan PAS dan DAP masing-masing memiliki 15 kerusi dan PKR 13.
Barisan Nasional pula mempunyai 12 kerusi.
Walaupun
PKR memiliki jumlah kerusi yang lebih rendah, jawatan menteri besar
Selangor diberikan kepada mereka atas persetujuan sesama rakan komponen
dalam PR.
“Jangan terkejut jika bakal ada pilihan raya negeri.
Rasanya kedudukan (Menteri Besar Selangor Mohamed) Azmin Ali pun, kita
tidak tahu macam mana,” kata Aziz.
Menjelaskan mengenai jalan
penyelesaian di Selangor, beliau berkata, jalan terbaik ialah dengan
mengadakan pilihan raya negeri dan menyerahkan keputusan kepada rakyat.
“Untuk selesaikan masalah ini dengan segera, mungkin baik diadakan pilihan raya negeri supaya rakyat dapat membuat keputusan.
“Kemudian,
bila sudah ada pilihan raya negeri, tidak perlu lagi pilihan raya umum
nanti. Keadaannya sama seperti di Sarawak,” katanya.
Menurut Aziz,
keputusan itu bergantung kepada budi bicara pihak Istana di mana
sekiranya tiada lagi keyakinan terhadap kerajaan semasa, baginda berhak
memutuskan mengadakan pilihan raya negeri.
“Istana ada hak untuk mainkan peranan mereka. Semestinya mereka mengikuti perkembangan secara dekat. “Ini bukan hendak pro Istana, tetapi mengikut sistem, itu sepatutnya yang mereka lakukan.
“Saya
tidak rasa kamu boleh salahkan Istana. Mereka juga mempunyai tugas
untuk melindungi atau memastikan kerajaan negeri dalam tangan pihak yang
stabil dan baik,” katanya. Aziz juga menyentuh mengenai peranan
Istana dalam kerajaan negeri semasa krisis menteri besar Selangor
sebelum ini, di mana mereka meminta lebih daripada satu nama calon
dikemukakan. Bekas Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad
juga bersetuju dengan pandangan Aziz, malah mengatakan baginda mempunyai
hak mutlak membubarkan DUN.
“Semangat dalam perlembagaan adalah mengenai kestabilan dan ketua negeri semestinya adalah Sultan. Baginda punya hak mutlak. “Seandainya
baginda berdasarkan budi bicaranya merasakan tidak ada lagi kestabilan,
maka baginda berhak memanggil pembubaran DUN,” katanya kepada The
Malaysian Insider.
Dzulkefly berkata, keretakan antara parti dalam PR jelas. “Bahkan kini lebih parah. Saling serang menyerang. Ini suatu yang sumbang,” katanya.
Beliau
menegaskan, untuk menyelamatkan keadaan, Azmin harus memulakan usaha
memulihkan PR segera jika mahu memastikan ia kekal di Selangor.
“Menteri
besar kena segera berperanan untuk memastikan parti komponen PR di
Selangor yang beliau pimpin ini dipulihkan, daripada segi rentak kerja
dan hubungan kerjasama itu. “Itu mesti diyakinkan bukan sahaja kepada Tuanku tetapi juga kepada rakyat,” katanya.
Krisis
PAS dan DAP semakin meruncing sebaik berakhir pemilihan PAS pada minggu
lalu yang menyaksikan golongan progresif dalam parti itu tidak menjadi
pilihan perwakilan, sebaliknya golongan konservatif dan pro ulama yang
mendominasi barisan kepimpinan tertinggi parti.
Serangan terbuka
juga dibuat perwakilan terhadap DAP yang dilihat lantang menentang
undang-undang hudud yang dibawa parti Islam tersebut.
Meskipun
para ulama PAS bersilat lidah pura-pura parti itu tidak memutuskan
hubungan dengan DAP namun pengamal undang-undang dalam parti itu sendiri
mengesahkan hubungan telah putus berdasarkan Perkara 7, Perlembagaan
PAS yang menetapkan Muktamar adalah kuasa pemutus tertinggi.
Sebaliknya,
ulama PAS yang meniru dengan pendekatan Umno melanggar undang-undang
dalam mentadbir negara, menegaskan Majlis Syura Ulama adalah pembuat
keputusan tertinggi. Penyelewengan fakta oleh pemimpin PAS ini
menyebabkan rakyat biasa dan penyokong bukan ahli semakin menjarakkan
diri.
Mereka menilai PAS tidak jauh berbeza dengan Umno kecuali
memakai serban dan jubah. Hipokrasi dan membelakangkan peraturan hampir
serupa. Sekiranya PAS memerintah kerajaan Pusat, sebagaimana yang
dibayangkan oleh ahli strateginya Dr Zuhdi Marzuki maka tentulah banyak
urusan akan dilakukan secara pintu belakang, berbeza dengan pendekatan
PKR dan DAP yang lebih telus.
Globalisasi maklumat
PAS
tidak boleh menyembunyikan kebenaran pada era internet dan globalisasi
maklumat. Sebaiknya parti itu mengaku hubungan telah diputuskan. Apabila
hubungan putus maka satu perundingan baharu perlu dibuat dengan DAP dan
PKR.
DAP tidak menolak sepenuhnya PAS, harapan masih ada.
Terbaharu Setiausaha Agung Lim Guan Eng pun secara berseloroh menyoal
adakah PAS akan berpatah balik?
Maka rundingan baharu boleh
dilakukan dengan semangat demi rakyat. Cuma, kedudukan PAS tidak lagi
menjadi rakan kongsi di Selangor dan Pulau Pinang, sebaliknya adalah
rakan kongsi longgar. Gabungan longgar biasa terjadi dalam
kerajaan-kerajaan di Eropah. Parti-parti politik yang menang
pilihan raya tetapi tidak ada majoriti memilih beberapa parti kecil
untuk bersama membentuk kerajaan.
Bagaimanapun, apabila parti-parti
kecil itu menarik balik sokongan maka kerajaan tumbang dan satu pilihan
raya baharu diadakan. Rakyat tidak merungut mengundi setahun sekali
kerana itu adalah tuntutan demokrasi dan demi ketelusan pemerintahan.
Demokrasi moden
Hanya
di Malaysia keadaan itu dilihat aneh. Kuasa politik mahu dipegang
pemimpin BN sampai malaikat maut mengambil nyawa mereka. Oleh kerana
mereka tidak boleh jatuh dalam pilihan raya maka dibuat pelbagai
undang-undang agar pilihan raya mengejut tidak boleh dijalankan. Tempoh
yang panjang memerintah membolehkan elit menjarah dan merompak kekayaan
negara untuk tujuan peribadi.
Rakyat tidak mahu lagi politik
seperti ini maka PAS perlu mengorak langkah ke arah demokrasi moden
sebagaimana diamalkan negara maju. Pakatan longgar akan membenarkan
parti itu terus berkuasa di Selangor dan Pulau Pinang. Cuma kuasa dan
kuota lantikan jawatan akan berkurangan.
PKR dan DAP adalah
komponen rasmi PR dan PAS adalah sekutu. Oleh yang demikian PAS mungkin
dikurangkan kerusi exco di Selangor dan dikurangkan perlantikan jawatan
dalam majlis perbandaran Pulau Pinang serta agensi kerajaan negeri itu.
Hal
ini akan lebih baik berbanding berkeras ingin kekal pada posisi sedia
ada kononnya – seperti kata Tuan Ibrahim Tuan Man – Pulau Pinang
diperolehi DAP bersama PR dan PAS tidak boleh mengosongkan kerusi.
Menang
bersama tidak menjadi asas lagi kerana PAS sendiri yang mahu menarik
diri. Berpisah dalam politik tidak sama seperti rumah tangga, apabila
bercerai maka harta akan dibahagi-bahagikan dengan alasan pencarian
bersama.
Idea Zuhdi mengarut
PAS wajar
menjadi parti yang matang dan bertanggungjawab. Persetankan strategi
Zuhdi kononnya selepas berpisah maka PAS akan menjadi kuasa pengimbang
politik di Malaysia. PAS kononnya akan menjadi kuasa ketiga dalam sistem
dua parti.
Teori mengarut seperti itu tidak mungkin terlaksana
dalam keadaan pemikiran rakyat yang belum maju. Silap perhitungan
Kelantan juga akan tumbang dalam PRU 14. PAS dilihat rakyat Kelantan
sangat berpolitik dan mengabaikan kemajuan negeri.
Dalam PRU 2013
lalu, PAS mendapat undi popular dari pengundi anak tempatan tidak sampai
50 peratus, hanya undi anak rantau yang memenangkan parti itu. Dengan
kemelut politik sekarang anak rantau yang kebanyakannya bekerja di
Pantai Barat dan lebih condong kepada PR tidak mungkin pulang mengundi.
Silap
hari bulan mereka menukar alamat mengundi di Selangor, Perak, Pulau
Pinang atau Johor untuk memastikan PR menang di kawasan yang mereka
diami.
Zuhdi juga mahu PAS menumpukan isu Melayu sebagaimana yang
dilakukan Umno. Dalam demografi politik Malaysia, inilah idea paling
bodoh yang pernah dikemukakan kepada PAS tetapi diyakini paling hebat
oleh presidennya.
Masalah ekonomi
Tumpuan
Umno selama ini kepada pengundi Melayu adalah melalui gula-gula politik
lantaran masalah kaum Melayu adalah kurang peluang pekerjaan; kurang
dana peniaga kecil; subsidi baja dan benih; kuota rumah; kuota ruang
niaga di bandar dan pelbagai lagi yang hanya boleh diberikan oleh parti
yang menguasai agensi kerajaan pusat.
Tiada ada orang Melayu yang
waras fikirannya akan mengadu kepada PAS apabila menghadapi masalah
ekonomi seperti itu. PAS sudah melewati ruang yang sempit tersebut dan
pergi kepada politik nilai sebagaimana perjuangannya bersama PR dahulu.
Politik
nilai yang menolak politik rasuah BN semakin diterima oleh orang
Melayu. Melayu hanya perlu sedikit masa sahaja lagi untuk yakin PR akan
mewujudkan kemakmuran bersama ke atas semua bangsa.
Politik
berasaskan Melayu tidak boleh berkembang dalam negara moden yang
penembusan internetnya tinggi. Salah urus maka politik seperti itu bukan
menguatkan negara dan membenarkan orang Melayu menjentik Cina seperti
mana ramalan Zuhdi, tetapi akan menyebabkan negara huru-hara seperti di
negara-negara Arab dan Afrika Utara sekarang.
PAS perlu melupakan
buah fikiran Zuhdi dan kembali kepada realiti andainya ingin terus
diberi sokongan dalam politik pelbagai kaum. Langkah pertama ke
arah itu adalah membuat rundingan baru dengan rakan komponen PR.
Sekiranya rundingan baharu berjaya maka PR akan dilihat kukuh dan tidak
berganjak dalam memperjuangkan kehendak rakyat.
Cuma PAS tidak
boleh membuat perangai ekstrem melulu dan memaki sekutu apabila
mempertahankan isu Hudud. Sehebat-hebat Hadi sudah dua kali persidangan
parlimen, speaker Dewan Rakyat masih tidak memberi laluan Hudud
dibahaskan. Adakah PAS telah ditipu hidup-hidup oleh Umno?