Kempen Anwar dalam konsert, penduduk PD teruja
Konsert yang menampilkan artis tersohor tanah air malam tadi merupakan acara terbesar kempen calon Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim di Port Dickson setakat ini.
Anwar menggunakan peluang berkenaan untuk memperkenalkan dirinya dan memaklumkan penyertaan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam kempennya esok.
“Nama saya Anwar Ibrahim, saya tawar diri untuk menjadi ahli keluarga Port Dickson, mudah-mudahan saudara saudari boleh terima.
“Buat pertama kali pada Isnin saya dan perdana menteri akan berucap sepentas di Port Dickson,” kata Anwar, dalam ucapannya, di hadapan kira-kira 2,000 penonton di Picnic @ PD Waterfront.
Turut hadir adalah Presiden PKR, yang juga Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Antara artis yang membuat persembahan malam tadi ialah kumpulan Gerhana Ska Cinta, Hattan, M Nasir, Awie, dan kumpulan Khalifah, dan Wani Hasrita, dengan setiap artis menyanyikam tiga buah lagu.
Vokalis Khalifah, Yabang, atau nama sebenarnya Awang Sulong Oyong memberitahu kepada The Malaysian Insight, undangan kumpulan itu untuk membuat persembahan adalah atas permintaan Anwar sendiri.
“Sebenarnya rakyat memang memerlukan khidmat daripada Anwar Ibrahim, yang panggil Khalifah malam ini adalah atas permintaan Datuk Seri (Anwar) sendiri,” katanya, yang terkenal dengan lagu Hang Pi Mana dan Assalammualaikum Ustazah itu.
Sementara itu, Hattan, atau nama sebenarnya, Mohd Shukri Shahabuddin, berkata Anwar adalah seorang pemimpin yang santai, dan beliau menjangkakan Anwar akan menang PRK Parlimen Port Dickson.
“Anwar seorang pejuang, cara dia santai rileks, dan untuk PRU ini saya rasa Anwar akan menang, orang muda suka dia dan dia tidak berlebihan, dari dulu beliau macam itu,” katanya.
Konsert itu anjuran Kelab Anwar Ibrahim dengan kerjasama Persatuan Muafakat Anak Muda Port Dickson dan Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Madani.
Penganjuran konsert percuma itu dikritik banyak pihak, terutamanya calon-calon Bebas yang menyertai PRK Port Dickson.
Mereka melihat, tindakan Anwar itu tidak jauh beza dengan kempen Barisan Nasional sebelum ini yang menggunakan konsert besar untuk menarik sokongan pengundi.
Antara calon Bebas yang menjadi saingan paling kuat kepada Anwar dalam PRK Port Dickson adalah bekas menteri besar Negeri Sembilan selama dua dekad, Isa Samad.
Isa yang terlibat dalam politik selama 40 tahun, dilihat masih berpengaruh di kalangan penduduk tempatan kerana pernah menjadi wakil rakyat di dua DUN dalam Parlimen Port Dickson, Linggi dan Bagan Pinang.
PAS meletakkan veteran tentera udara berpangkat lefenan kolonal Mohd Nazari Mokhtar sebagai calon mereka.
Calon bebas lain termasuklah Lau Seck Yan, Stevie Chan, dan Kan Chee Yuen, serta Saiful Bukhari Azlan. –