Anwar Ibrahim berpandangan
bahawa Yang di-Pertuan Agong hanya patut mempertimbangkan tahanan rumah kepada
Najib Razak selepas kes 1MDB yang dihadapinya selesai menjalani perbicaraan di
mahkamah.
Menegaskan beliau tidak akan sesekali mengenepikan kuasa Agong,
Perdana Menteri berkata, syornya itu hanya akan dikemukakan jika diminta oleh
baginda.
“Jika Agong meminta nasihat saya, saya akan berkata, Tuanku, lalui proses itu,”
katanya semasa wawancara dengan Bloomberg di Forum Ekonomi Qatar, semalam.
Perdana Menteri berpendirian, semua pihak harus menumpukan
kepada prosiding mahkamah kes 1MDB yang sedang berjalan, berbanding isu tahanan
rumah untuk Najib seperti dibangkitkan mutakhir ini.
Pada 1 April lalu, Najib memfailkan permohonan di Mahkamah
Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar
kewujudan titah adendum atau titah tambahan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16
yang membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.
Susulan itu, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi memfailkan
afidavit selaku ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong
permohonan Najib mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan
titah adendum itu.
Menerusi afidavit diikrarkan Ahmad Zahid pada 9 April, beliau menyatakan telah
dimaklumkan mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan
dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Tengku Abdul Aziz ketika pertemuan di
rumahnya di Country Heights, Kajang pada 30 Januari lalu.
Meskipun pandangan Anwar berkenaan isu tahanan rumah Najib itu
hanya merupakan syor jika diminta oleh Agong, bersesuaian pula kes semakan
kehakiman berkaitan titah adendum telah pun difailkan di mahkamah, apa yang
dinyatakan Perdana Menteri itu secara umumnya bolehlah disimpulkan sebagai
pendirian kerajaan yang mungkin turut akan disampaikan dalam perbicaraan
semakan kehakiman nanti.
Dengan begitu pendirian kerajaan, ertinya kerajaan tidak setuju
Najib diberikan tahanan rumah.
Dengan itu, bolehlah juga difahami kenapa titah adendum itu tidak didedahkan
sebelum ini.
Najib kini masih ada empat lagi kes mahkamah berkaitan 1MDB yang
masih berjalan dan belum selesai.
Oleh kerana semua perbicaraan itu masih di peringkat awal, sukar
untuk menjangka bila ia akan berakhir.
Mungkin tiga empat tahun lagi atau barangkali lebih lama
daripada itu barulah ada pengakhiran semua kes tersebut.
Berdasarkan pengurangan hukuman yang diberi kepada Najib oleh
Lembaga Pengampunan sebelum ini, tarikh beliau patut dibebaskan daripada
penjara ialah pada 23 Ogos 2028.
Jika Najib bebas daripada semua pertuduhan mahkamah berkaitan
semua empat kes 1MDB yang sedang dihadapinya sekarang, keputusannya barangkali
hanya akan diketahui dalam tempih waktu yang tak banyak berbeza dengan tarikhnya
keluar penjara.
Namun, jika beliau didapati bersalah atas satu atau
keempat-empat kes 1MDB yang sedang dihadapinya, tempoh bicara pasti akan
menjadi lebih panjang atau seterusnya melibatkan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah
Persekutuan.
Ertinya, jika pandangan Anwar itu mahu diterima pakai iaitu
Najib hanya patut diberi tahanan rumah selepas kes mahkamah berkaitan 1MDB yang
sedang dihadapinya selesai, ia bermakna detik itu sudah hampir dengan tarikh
pembebasan bekas Perdana Menteri itu daripada penjara atau boleh jadi ia
berlaku selepas 23 Ogos 2028.
Yang hampir pasti, semua tarikh itu adalah selepas PRU16.
Bermakna lagikah tahanan rumah kepada Najib ketika itu? –
ShahbudinHusin 15Mei2024.