Sepatutnya UMNO gembira bila dikatakan WAN AZIZAH lemah, mudah sikit nak tawan PRU14..
Sejak
nama Dr Wan Azizah Wan Ismail disebut-sebut sebagai bakal pengganti
Khalid Ibrahim mengisi jawatan Menteri Besar Selangor, bermacam-macam
ulasan yang cuba menafikan kelayakannya menyandang jawatan tersebut
mula kedengaran daripada kumpulan pro UMNO dan BN.
Hampir
semua ulasan itu kelihatan memperlekeh kemampuan Dr Wan Azizah,
manakala yang lain pula melihat ianya hanyalah keputusan peribadi
Anwar yang semata-mata berdasarkan kepentingan diri dan keluarganya
sahaja.
Memang
diakui sebelum ini Khalid adalah pemimpin yang baik dan jika
dibandingkan dengan semua Menteri Besar Selangor daripada BN
sebelumnya, beliaulah yang paling berhemah, berjimat, tidak boros
serta dapat memenuhkan rizab kewangan negeri sehingga mencecah RM3
billion.
Masalah
yang timbul ialah kerana jajaran kepimpinan Khalid sejak kebelakangan
ini tidak lagi seperti dulu terutama dalam isu air, Bible dan
lebuhraya Kidex sehingga beliau semakin kehilangan sokongan daripada
rakan-rakan pimpinan PR sendiri.
Khalid
ditakrif bukan saja mengamalkan kepimpinan ala korporat dan tidak
lagi mementingkan muafakat sesama rakan-rakan gabungannya dalam PR,
malah seperti berwajah pro UMNO, BN dan kerajaan Pusat dalam beberapa
keputusannya.
Sepertimana
yang disebut oleh Anwar, penggantian Khalid dengan Dr Wan Azizah
ialah untuk memastikan kestabilan dan membolehkan PR melangkah dengan
lebih baik menghadapi cabaran akan datang.
Tetapi
jika UMNO dan BN melihat Dr Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar
yang lemah, tidak berwibawa, tiada keupayaan, boneka Anwar dan bakal
mengundang penolakan rakyat Selangor, kenapakah mereka membantahnya?
Bukankah
sepatutnya mereka gembira kerana dengan adanya Menteri Besar yang
lemah dan tidak berwibawa itu akan membolehkan UMNO dan BN merampas
kembali negeri Selangor dalam pilihanraya akan datang?
Jika Dr Wan Azizah tidak lebih baik daripada Khalid, tidakkah ia berita baik bagi UMNO dan BN?
Jika
kedudukan Dr Wan Azizah sebagai wanita yang tidak dapat mengiringi
dan duduk bersebelahan dengan Sultan Selangor ketika melawat masjid
dan surau bakal menjadi masalah, bukankah lama-kelamaan orang Melayu
dan Islam akan menolak PR dan ini memberi kelebihan kepada UMNO dan
BN?
Jika
Dr Wan Azizah adalah boneka Anwar dan calon nepotisme, bukankah ia
menguntungkan dan memberi kelebihan kepada UMNO dan BN kerana dalam
pilihanraya akan datang pastilah pengundi Selangor akan
membakul-sampahkan Menteri Besar itu?
Tetapi
anehnya mengapakah para pemimpin UMNO dan BN bersunggguh-sungguh
menolak Dr Wan Azizah yang lemah, tidak berwibawa dan hanya boneka
itu? Bukankah sepatutnya mereka menerima berita pertukaran itu sebagai
khabar gembira kerana membuka peluang untuk manawan semula negeri
itu?
Atau adakah UMNO dan BN menolak tuah dan tidak mahu menang dalam pilihanraya akan datang?
Macai-macai UMNO yang bijak-pandai tolonglah jawab. ~shahbudin