Zunar kepada Najib: Kartunis bukan propagandis!

Saya merujuk kenyataan Perdana Menteri Najib Razak yang menggesa para kartunis supaya menerapkan mesej "1 Malaysia" melalui karya-karya.  Beliau berkata demikian dalam majlis PM Bersama Kartunis di Pasar Seni semalam.  Walau pun ia adalah satu gesaan, tetapi sekiranya ia datang dari mulut Perdana Menteri, ia ditafsir sebagai arahan.

Kartunis adalah insan seni yang melahirkan karya-karya berperanan, antara yang paling besar adalah mengkritik kepincangan, rasuah, salah guna kuasa dan kezaliman pemerintah.  Kerana itu Perdana Menteri (gambar kanan) tak perlu merendahkan martabat kartunis kepada propogandis.  Karya-karya kartun harus dibiarkan berkembang, bukan dipandu untuk menyokong dasar kerajaan.  Karya-karya kartun hanya akan tumbuh subur jika kartunis diberi kebebasan berkarya.

Selain itu, dengan mengajak kartunis menyokong gagasan 1Malaysia, PM mempamerkan sifat hipokrit kerana dalam pemerintahan Najib, kebebasan kartunis paling teruk disekat.  Selain pengalaman saya sendiri yang ditangkap dan buku-buku diharam, semua kartunis-kartunis lain yang berkarya di media-media arus perdana dilarang dari mengkritik kerajaan.  Akta-akta yang menyekat kebebasan kartunis seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan serta akta Hasutan masih dipertahan PM.

Selain itu, karya-karya kartun juga dilarang dalam kempen PRU akan datang.  Secara gambarannya, ini bererti Najib mengikat tangan dan kaki kartunis dengan akta dan peraturan dan mahukan kartunis menyokong beliau?  Mengenai saranan supaya kartunis menyokong kerajaan menerapkan nilai-nilai perpaduan kaum melalui karya-karya mereka, ia adalah wajar tetapi pihak yang hendak disokong mesti terlebih dahulu menyuburkan perpaduan kaum.

Perpaduan kaum unjuran Najib adalah satu "wayang" politik kerana beliau ke sana ke mari menjaja "1Malaysia", tetapi pada masa yang sama mempelopori dan mendokong NGO pemecah belah kaum seperti PERKASA, PEKIDA dan lain-lain.  Kerana itu, 1 Malaysia tidak dilihat lambang perpaduan kaum, sebaliknya adalah lambang rasuah.  Semua perasuah bernaung di bawah lambang tersebut.

Kerana itu, kartunis seharusnya mengkritik pentadbiran Perdana Menteri dan 1Malaysia, bukan menyokongnya!

*Zunar (gambar kiri) adalah salah seorang kartunis politik di Malaysia.  Beliau pernah ditangkap di bawah Akta Hasutan dan tujuh buku-buku kartun beliau diharam.  Tahun lepas beliau dianugerah "Keberanian Dalam Melukis Kartun Editorial 2011" oleh Rangkaian Hak Asasi Kartunis Antarabangsa, Washington.  Beliau juga mengadakan pameran kartun di Bilbao, Sepanyol dan di London hujung tahun lepas dan awal tahun ini.

NAJIB DIKATAKAN RASUAH LAGI

Saya merujuk kepada satu laporan yang disiarkan oleh Business Times bertarikh 22 Jun 2012 yang menyebut sumber-sumber yang rapat dengan Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) mengesahkan sebuah konsortium yang diketuai oleh George Kent akan dianugerahkan kontrak bernilai RM960 juta.  Kontrak tersebut adalah bagi kerja-kerja projek tambahan sistem LRT Ampang ("The Engineering, Procurement, Construction, Testing and Commissiong of System Works for the Ampang Line Extension Project").

KEADILAN mendapat maklumat yang rapat dengan kerajaan bahawa Najib Razak (gambar kanan) sendiri campur tangan di dalam hal ini untuk memastikan kontrak tersebut dianugerahkan kepada George Kent, sedangkan beliau pernah berjanji untuk berlaku telus dan memastikan semua kontrak besar dijalankan secara tender terbuka.

KEADILAN dimaklumkan bahawa laporan Business Times itu dibuat selepas Najib Razak mengumumkan sendiri kepada pimpinan kerajaan hasrat beliau menganugerahkan projek tersebut kepada George Kent.

Walau bagaimana pun, campur tangan beliau itu tidak disenangi oleh pengurusan Prasarana kerana bertentangan dengan penilaian bidaan yang telah dijalankan oleh Prasarana sebelum itu.

KEADILAN boleh mendedahkan bahawa George Kent bukanlah konsortium yang telah terpilih bagi projek tersebut setelah melalui proses tender terbuka yang dijalankan oleh Prasarana.  Ini disahkan oleh surat bertarikh 12 Disember 2011 dari Shahril Mokhtar, Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana kepada Kementerian Kewangan Malaysia memaklumkan bahawa Konsortium PDA telah dipilih sebagai kontraktor terbaik bagi projek tersebut.

Shahril Mokhtar telah menulis kepada Najib Razak sendiri untuk mendapatkan kelulusan mengeluarkan Surat Tuju Terima kepada Konsortium PDA.

Perkembangan terbaru seperti yang dilaporkan oleh Business Times mengesahkan bahawa Najib Razak bertindak menukar keputusan Prasarana dan menolak proses tender terbuka dalam projek mega yang melibat berbilion wang rakyat.

Ini mengesahkan persepsi masyarakat bahawa berlaku campur tangan dan penyelewengan yang serius melibatkan anugerah projek-projek awam di bawah pentadbiran Najib Razak, walaupun beliau sering melaungkan janji untuk berlaku telus dan adil.

KEADILAN akan melakukan pendedahan setiap dua hari bermula hari ini mengenai skandal ini yang bakal menguji komitmen Najib Razak kepada usaha membanteras rasuah dan penyelewengan.

Pendedahan-pendedahan ini adalah juga balasan dari saya kerana tindakan jijik UMNO di bawah kepimpinan beliau memutar belitkan keputusan saya menarik diri dari Kerajaan Selangor untuk menumpukan perhatian merancang strategi pilihanraya KEADILAN.

Saya betul-betul menasihati Najib Razak supaya menangani skandal ini dengan baik demi menjaga imej pentadbiran beliau.

*Mohd Rafizi Ramli (gambar kiri) ialah Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat.