PESAN ULAMA
BESAR KEDAH KEPADA DSAI.
Ulama besar
Kedah, Tok Wali Pak Su Mid (Tuan Guru Haji Abdul Hamid) telah meninggal dunia
minggu lepas. Inilah pesan beliau kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa
waktu terakhir.
PESAN ULAMA
BESAR KEDAH KEPADA DSAI.
Ulama besar
Kedah, Tok Wali Pak Su Mid (Tuan Guru Haji Abdul Hamid) telah meninggal dunia
minggu lepas. Inilah pesan beliau kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa
waktu terakhir.
POLA SOKONGAN PENGUNDI DAN PREDIKSI
PILIHAN RAYA UMUM KE-15
———
PENDAHULUAN
Pilihan Raya Umum
(PRU) ke-15 diadakan dalam keadaan ketika mana negara baru sahaja enam (6)
bulan keluar daripada fasa pandemik Covid-19 dan dengan krisis kenaikan harga
minyak, harga barang serta peningkatan kos sara hidup begitu dirasai oleh
rakyat terbanyak.
Walaupun Kerajaan
pimpinan Ismail Sabri Yaakob berusaha keras untuk menangani segala krisis yang
terjadi, tekanan domestik khususnya dalaman parti beliau UMNO telah
menatijahkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.
Memasuki ‘mood’ pilihan
raya pada waktu ini, emosi dan sentimen rakyat terbelah dan terpisah apabila
Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan negara berdepan dengan hujan lebat
berterusan dan bencana banjir besar akibat pertukaran monsun. Walaupun pada
peringkat awalnya mendapat bangkangan daripada banyak pihak namun Parlimen
terpaksa dibubarkan juga demi memberikan semula mandat kepada rakyat memilih
kepimpinan baru untuk tempoh lima tahun ke depan.
Pilihan raya umum kali
ini disifatkan agak suram, tidak semeriah pilihan raya sebelum ini. Tidak
dilatari dengan isu-isu panas melainkan rakyat secara paksa rela menyertai
proses ini kerana Parlimen telah dibubarkan.
BARISAN NASIONAL (BN),
PAKATAN HARAPAN (PH), PERIKATAN NASIONAL (PN) DAN GABUNGAN TANAH AIR (GTA)
Sejak awal, BN
dijangkakan berdepan PRU kali ini dengan keadaan bersedia. Selepas menang besar
Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan PRN Johor, BN berterusan mendesak Perdana
Menteri untuk membubarkan Parlimen atas pertimbangan kelebihan berpihak kepada
mereka.
Segalanya berubah
selepas calon diumumkan. BN gagal memanfaatkan sepenuhnya kelebihan membubarkan
Parlimen dengan mengawal tempo pilihan raya ketika parti-parti saingan dilihat
tidak bersedia dan terpecah.
Disepanjang tempoh
berkempen, BN tidak memperlihatkan kesepakatan dan konsolidasi elit yang
penting untuk menonjolkan imej perpaduan bagi membentuk persepsi
meyakinkan kepada pengundi. Beberapa perkara menjejaskan hal tersebut.
Pertama, penguguran
nama-nama besar dan ‘incumbent’ yang tidak dicalonkan semula.
Ini bertambah parah apabila ada kalangan mereka bertanding menggunakan tiket
parti lawan (Arau dan Maran) atau sebagai calon Bebas (Padang Besar).
Ketidakhadiran MIC ketika majlis pengumuman calon dan penyerahan watikah BN
turut mengundang pertanyaan.
Strategi mengemukakan 80
peratus muka baharu juga ‘backfired’ buat UMNO. Dengan andaian
bahawa strategi serupa ketika PRN Melaka dan Johor serta keputusan Presiden
akan disepakati oleh calon-calon yang diberi watikah telah membawa tindak balas
di luar jangkaan parti terutamanya dalam kalangan yang sudah berkerja lama di
akar umbi dan bahagian untuk memposisikan mereka sebagai calon WALI, namun
tidak terpilih.
Masalah ‘housekeeping’ parti
yang berterusan disebabkan ‘backlash’ mereka yang tidak terpilih
menjadikan UMNO berkecamuk dalam membuat persediaan dalam pilihan raya yang
mereka sendiri tentukan. Tindakan beberapa pimpinan UMNO yang menyerang Zahid
Hamidi menggambarkan bagaimana situasi dalaman UMNO yang terpecah serta hilang
arah sepanjang tempoh berkempen.
Kenyataan terbuka
Presiden UMNO bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong (YDPA) menentukan siapa
Perdana Menteri selepas PRU-15 menguatkan spekulasi bahawa Ismail Sabri Yaakob
bukanlah PM seperti yang dicadangkan – sekaligus menjejaskan potensi menarik
undi atas pagar dan pengundi baharu terhadap BN.
Faktor ketiadaan Najib
Razak sebagai ikon kebangkitan BN untuk menyatukan elit-elit parti dan pengaruh
‘Bossku’ yang berupaya menarik sokongan pengundi atas pagar serta pengundi
baharu lenyap dalam PRU-15. Ini sekaligus meletakkan paras moral jentera BN
berada di tahap terendah.
Namun begitu,
kelebihan jentera akar umbi dan sokongan kuat orang Melayu kepada UMNO masih
memberikan kelebihan yang signifikan kepada kekuatan UMNO untuk menyumbang
kerusi di kawasan majoriti Melayu buat BN.
PH pula masih bergerak
secara “in-silo”. Sejak kemenangan pada PRU14 sehingga berdepan dengan
banyak siri PRK dan PRN sebelum ini masalah jentera ini masih gagal dibentuk
secara kolektif. Namun begitu, kembalinya Rafizi Ramli ke dalam PH bak tonik
memulihkan moral dan kepercayaan aktivis yang kecewa dengan PH serta sokongan
umum.
Strategi PH masih
bergerak dengan tiga jentera parti utama yang berbeza dan terpisah. Sungguhpun
begitu, ianya memberikan kelebihan kerana pengundi dapat membuat perbandingan
dan perbezaan berbanding parti saingan yang sukar dibezakan antara calon PAS
dan Bersatu dalam PN.
Anwar Ibrahim sebagai
calon PM menjadi ‘selling point’ terbesar PH. Anwar antara ‘poster
boy’ calon Perdana Menteri yang dilihat menyakinkan berbanding calon
gabungan parti lain. Pertama beliau masih belum pernah menjadi PM. Kedua
pandangan umum lebih yakin dengan kemampuan beliau memimpin negara ketika
negara dijangka berhadapan dengan kesuraman ekonomi global.
Sentimen pengundi
bandar terutamanya kelompok bukan Melayu masih kekal bersama PH. Kelompok ini
sukar untuk mengubah pola sokongan mereka kepada parti lain kerana pilihan yang
sangat sempit. Manakala pengundi luar bandar kelompok Melayu masih terpecah dan
sukar diperoleh oleh PH terutamanya dengan PN semakin memecahkan tabung undi
tetap BN.
PN secara tiba-tiba
menjadi ‘underdog’ memecahkan monopoli persaingan dua koalisi
BN-PH. Ia dibantu dengan kekuatan pemasaran politik dan strategi jentera mereka
yang agresif melalui kempen-kempen di media sosial dan cetak, serta bersemuka
dengan diperkukuhkan dokongan jentera PAS yang tersusun dan kompak.
GTA jelas gagal untuk
memberikan saingan kepada pakatan lain dan hanya berlegar di tiga kawasan;
Langkawi, Jerlun dan Kubang Pasu walaupun bertanding di 121 kerusi Parlimen.
Kebergantungan kepada pengaruh Tun Dr Mahathir Mohamad yang tinggi tidak
melimpahkan sokongan untuk GTA seperti yang diharapkan.
SOKONGAN SABAH DAN
SARAWAK, MEMBENTUK BLOK BORNEO
Naratif memperkasakan
hak Sabah dan Sarawak menjadikan PRU-15 pemangkin pembentukan Blok Borneo.
Namun begitu hal tersebut menjadikan PRU-15 bersifat ‘lokal’ yang digarap
melalui perjanjian MA63 secara berlebihan berbanding melihat PRU sebagai
platform untuk memilih Kerajaan di peringkat persekutuan.
Sepanjang cerapan
dilakukan, politik lokal Sabah dan Sarawak lebih cenderung kepada politik
oligarki dalam konteks elit setempat. Walaupun isu-isu hak Sabah dan Sarawak
diketengahkan, aspek calon masih menjadi faktor terbesar mempengaruhi bukan
sahaja pengundi malah jentera parti. Tiga angkubah terbesar yang melatari
PRU-15 di Sabah dan Sarawak ialah hubungan Negeri-Persekutuan, sentimen
perkauman dan kewilayahan serta isu-isu setempat.
Berbanding Sarawak,
kocakan politik Sabah lebih bergelora disebabkan perebutan kerusi antara
BN-GRS, PH, WARISAN dan beberapa parti lokal serta calon Bebas. Sabah dan
Sarawak berpotensi untuk menghantar calon Bebas ke Parlimen terutamanya di P181
Tenom dan P202 Sri Aman.
Parti-parti baharu
seperti Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Sarawak Bersatu
(PSB) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) memberi tentangan yang signifikan kepada
parti-parti besar dan utama di Borneo.
PERSONA ANWAR,
PRESTASI ISMAIL SABRI DAN REKOD PENCAPAIAN MUHYIDDIN JADI TARUHAN
Sejak kempen bermula
nama-nama ini diangkat sebagai taruhan oleh gabungan masing-masing, dijual
sehabis mungkin. Berbanding nama besar mereka, manifesto yang ditawarkan kurang
diangkat oleh mana-mana gabungan dalam siri-siri jelajah atau ceramah-ceramah
dalam pilihan raya kali ini.
Pesona Anwar di Tambun
jelas menukar kerusi selamat PN menjadi kerusi boleh menang PH. Naratif Tambun
akan menghantar seorang Perdana Menteri ke Putrajaya mewujudkan keghairahan
baharu dalam kalangan pengundi.
Reputasi cemerlang
Ismail Sabri sepanjang 14 bulan menjadi Perdana Menteri dijadikan modal penting
buat BN sepanjang berkempen. Namun begitu, pergeseran dalaman BN tidak berupaya
memposisikan Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ yang meyakinkan
dalam PRU kali ini.
Manakala PN berterusan
memanfaatkan rekod pencapaian Muhyiddin sepanjang menerajui negara dalam tempoh
krisis pandemik Covid-19 dulu. Aura ‘Abah’ dimanfaatkan sepenuhnya dengan
mengembalikan nostalgia kepimpinan beliau menabur bantuan ketika rakyat
dihimpit masalah Covid-19.
MEMAHAMI PENGUNDI KALI
PERTAMA DAN PENGUNDI MUDA
Seramai tujuh juta
atau 33 peratus daripada jumlah keseluruhan adalah pengundi kali pertama akan
mengundi dalam pilihan raya kali ini. Kelompok ini ibarat anak dara pingitan
yang menjadi rebutan semua pihak yang cuba untuk memikat perhatian mereka.
Sepanjang tempoh
kempen dan kajian lapangan ini dijalankan, penyelidikan mendapati bahawa
kelompok ini dikelaskan sebagai ‘wild voters’. Mereka tidak kekok
berkongsi kecenderungan politik mereka secara terbuka. Tiada istilah undi
adalah rahsia bagi mereka. Kecenderungan membuat keputusan mereka berbeza
berdasarkan demografi dan lokaliti.
Kami mendapati
pengundi muda luar bandar cenderung mengikuti jalur politik keluarga dan ibu
bapa. Bagi pengundi muda bandar walaupun cuba dipengaruhi oleh pilihan
keluarga, mereka kekal dengan pilihan masing-masing. Namun begitu majoriti
mereka masih belum membuat keputusan.
Disebalik keghairahan
dan keterujaan kelompok ini keluar mengundi tinggi, rata-rata responden yang
ditemui menyatakan bahawa mengundi adalah bebanan dan tanggungjawab yang besar.
Ini kerana pendedahan terhadap politik dan demokrasi yang tidak cukup,
kesedaran sivik yang rendah disamping semangat patriotik serta asas kenegaraan
yang tidak seimbang.
KERUSI PANAS DAN
KELABU MENUNGGU AYUNAN UNDI SAAT AKHIR
Sepanjang kajian
beberapa kerusi yang termasuk di dalam kerusi panas melibatkan pertembungan
calon ‘heavyweight vs. heavyweight’ dan calon popular di kawasan
mencabar.
Kedudukan kerusi ini
memperlihatkan pengundi atas pagar berada di dalam peratusan yang tinggi.
Kebanyakan menyatakan keputusan akhir mereka mungkin diputuskan hingga
saat-saat akhir pengundian.
Ini menjadikan
kerusi-kerusi tersebut sukar untuk dilakukan prediksi tepat kerana saingan
sengit (neck to neck) dan ayunan saat akhir yang sukar dijangka. Mana-mana
pihak yang memperoleh undi ayunan akhir akan muncul pemenang.
Keputusan tersebut
akan menimbulkan ‘upset’ kepada jangkaan awal sama ada buat calon ‘favorite’ ataupun
parti-parti tertentu. Antara kerusi-kerusi sengit dan kelabu adalah seperti di
berikut:
Kangar, Arau, Pokok
Sena, Kulim Bandar Baharu, Ketereh, Bukit Gantang, Sungai Buloh, Temerloh,
Sungai Besar, Kuala Selangor, Tampin, Ayer Hitam, Kudat, Putatan, Penampang,
Sipitang, Kinabatangan, Tawau, Kalabakan, Sri Aman, Lubok Antu, Igan, Sarikei,
Miri, Kimanis dan Lawas.
ELEMEN WARLORD,
PERCATURAN OLIGARKI DAN SABOTAJ PARTI
Strategi BN menukar
calon besar-besar mencetuskan tindak balas yang sukar dikawal sehingga laporan
ini ditulis. Ia mengakibatkan kecelaruan dan runtuhnya semangat juang jentera
yang dikuasai oleh ‘warlord’ yang tidak dicalonkan.
Tindakan Pengerusi BN
yang membelakangi dan tidak menyantuni oligarki serta proses ‘housekeeping’ parti
tidak berjalan dengan baik. Akibatnya sama ada penggerak parti menzahirkan
protes tidak keluar mengundi ataupun menghalakan undi kepada parti lawan.
Kerusi seperti P026
Ketereh, P086 Maran, P095 Tanjong Karang, P126 Jelebu, P155 Tenggara dan P156
Kota Tinggi antara yang dikenal pasti berpotensi untuk berlaku sabotaj dalaman
parti kepada calon baharu.
Senario Sabah agak
unik walaupun nampak kesepakatan GRS-BN membelah kawasan secara saksama untuk
mengelakkan pertembungan sesama sendiri ternyata mengundang reaksi pengundi
yang berbeza.
Bagi kawasan yang
tradisinya ditandingi oleh BN tetapi diserahkan kepada GRS menyebabkan pengundi
tegar mereka sukar untuk mengundi GRS. Sebaliknya juga berlaku di kerusi GRS
yang diserahkan kepada BN. Kerusi P167 Kudat, P178 Sipitang dan paling kritikal
pertembungan antara PBRS (BN) dan GRS di kerusi P179 Ranau dan BN dan PN di
kerusi P183 Beluran.
Rata-rata responden
yang kami temui di lapangan kajian menyatakan pertembungan tersebut akan
menguntungkan parti Warisan sekiranya berlaku sabotaj dan undi protes.
PREDIKSI ILHAM
Tiada gabungan parti
yang boleh keluar selaku pemenang dengan garis majoriti mudah 112 kerusi.
Dengan mengambil kadar keluar mengundi sekitar 80 peratus, berikut adalah
prediksi kami terhadap 222 kerusi Parliman yang dipertandingkan.
Kategori |
BN |
PH |
PN |
GTA |
50-50 |
Jumlah |
70-100% etnik Melayu |
38 |
6 |
24 |
1 |
6 |
75 |
50-69% etnik Melayu |
9 |
30 |
1 |
- |
6 |
46 |
Bawah 50% etnik Melayu |
1 |
43 |
- |
- |
- |
44 |
Jumlah |
48 |
79 |
25 |
1 |
12 |
165 |
Jadual 1: Unjuran 165 kerusi Parlimen di
Semenanjung
Kategori |
BN |
PH |
GRS |
GPS |
PBM |
Warisan |
Bebas |
50-50 |
Jumlah |
Sarawak |
- |
6 |
- |
18 |
1 |
- |
- |
6 |
31 |
Sabah/Labuan |
3 |
2 |
6 |
- |
- |
6 |
1 |
8 |
26 |
Jumlah |
3 |
8 |
6 |
18 |
1 |
6 |
1 |
14 |
57 |
Jadual 2: Unjuran 57 kerusi Parlimen di Borneo
Parti / Gabungan |
Jumlah |
Peratusan |
Pakatan Harapan – PH |
86 |
39.2 |
Barisan Nasional – BN |
51 |
23.0 |
Perikatan Nasional – PN |
25 |
11.3 |
Gabungan Parti Sarawak – GPS |
18 |
8.1 |
Parti Warisan |
6 |
2.7 |
Gabungan Rakyat Sabah – GRS |
6 |
2.7 |
Gabungan Tanah Air – GTA |
1 |
0.5 |
Parti Bangsa Malaysia |
1 |
0.5 |
Bebas |
1 |
0.5 |
50-50 / Sengit |
26 |
11.7 |
Jumlah |
222 |
100 |
Jadual 3: Unjuran keseluruhan dan peratusan
untuk keseluruhan 222 kerusi
PENUTUP
Kurang daripada 24
jam, penguasaan kerusi-kerusi bandar dan campuran jelas menjadi nadi kekuatan
PH dalam pertarungan taktikal tiga penjuru. Semakin tinggi undi Melayu yang
‘dicuri’ PN akan memberikan kelebihan kepada PH untuk mempertahankan
dominasinya di kawasan tersebut.
PN gah mencabar BN di
kawasan majoriti Melayu ekoran kekuatan BN yang terpencar. Namun begitu, ianya
masih belum cukup untuk menumbangkan BN. Kekuatan ini bak iklan syampu
‘tersekat di skala tiga’ kerana tidak mendapat sokongan ketara pengundi bukan
Melayu.
BN masih betah
bertahan di kawasan Melayu di sebalik kekurangan dan jentera yang berkecamuk
kerana sokongan kuat pengundi putih mereka. Kepimpinan Zahid Hamidi selaku
Jeneral parti menjadi liabiliti dan gagal membawa lonjakan sokongan buat BN.
Beliau juga gagal mengantikan peranan ‘Bossku’ yang disaksikan dalam siri-siri
Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
Disediakan oleh
Hisommudin Bakar
(Pengarah Eksekutif)
Mohd Azlan Zainal (Ketua Operasi)
Mohd Jalaluddin Hashim (Ketua Analitik)
Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim (Ketua Penyelidikan)
Mujibu Abd Muis (Felo Penyelidik)
LATAR BELAKANG KAJIAN
Cerapan dan observasi
kajian akhir Pola Sokongan Pengundi dan Prediksi Pilihan Raya Umum
ke-15 ini dilaksanakan selama tiga minggu bermula 30 Oktober 2022
sehingga 17 November 2022 yang melibatkan kaji selidik secara tatap muka dengan
1,211 responden dan perbincangan kumpulan sasar (150 responden) di seluruh
negara.
Proses pengumpulan
data kuantitatif dan kualitatif ini melibatkan semua negeri di Semenanjung
Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak yang dipilih secara persampelan rawak
berstrata. Responden yang diperolehi meliputi semua segmentasi jantina, kaum,
peringkat umur, latar belakang ekonomi, tahap pendidikan yang pelbagai, julat
pendapatan dan lokaliti yang berbeza.
Data kuantitatif yang
diperolehi melalui borang kaji selidik dan kualitatif yang dikumpulkan melalui
perbincangan kumpulan sasar ini telah disusun secara tematik bagi memudahkan
kefahaman secara berstruktur dan memandu kronologi topik perbincangan.
Mengenai ILHAM CENTRE
ILHAM adalah merupakan
sebuah firma penyelidikan bebas yang mengkhususkan kepada tinjauan awam, kajian
pasaran dan data analitik dalam bidang kajian politik dan pilihanraya, polisi
awam dan sosio-ekonomi. Tinjauan awam dan penyelidikan yang dijalankan adalah
menggunakan kaedah metodologi penyelidikan yang ketat sebagaimana piawaian
akademik bagi menghasilkan keputusan yang kredibel, bebas dan tepat. ILHAM juga
telah menubuhkan ILHAM Analytica bagi membantu penyelesaian analitik yang lebih
menyeluruh dan komprehensif.
ILHAM berpendapat,
dalam usaha negara mencapai sebuah negara maju dan mempunyai peradaban yang
tinggi, setiap keputusan atau sesuatu dasar yang dirangka hendaklah berasaskan data
dan maklumat yang tepat. Melalui tinjauan awam dan penyelidikan yang
dijalankan, maka perkara ini akan dapat dihubungkan dan seterusnya pihak-pihak
berkepentingan akan merangka sesuatu polisi dan dasar dengan lebih tepat dalam
memenuhi aspirasi masyarakat dan negara.
ILHAM Centre boleh
dihubungi melalui email admin@ilhamcentre.my dan dilayari melalui
website www.ilhamcentre.my.