Hanipa Maidin sahkan Hadi ajak Azmin sertai Pas
Seorang lagi bekas AJK PAS Pusat
tampil ke hadapan dan mengaku perkara yang didedahkan oleh Datuk Husam
Musa bahawa presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah mengaku mahu
membuat kerajaan bersama Umno di Selangor adalah benar.
Menariknya, menteri besar Selangor sekarang, Mohamed Azmin Ali
sendiri yang memberitahu seorang AJK PAS Pusat bahawa Hadi ada
menawarkan kepadanya untuk menyertai PAS dan seterusnya membentuk
kerajaan bersama Umno di Selangor ketika krisis perlantikan menteri
besar Selangor tahun lalu.
Ketua biro undang-undang Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamed Hanipa
Maidin dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider berkata, beliau
adalah antara saksi pengakuan Hadi itu.
Beliau mengakui merupakan salah seorang individu yang menjadi saksi
berhubung dakwaan Husam itu dan mendapatkan pengesahan daripada Hadi di
hadapan AJK PAS Pusat ketika mesyuarat jawatankuasa itu tahun lalu,
lapor The Malaysian Insider.
“Apabila timbul isu Selangor itu, memang masa itu Azmin ada menelefon seorang pemimpin PAS Pusat.
“Kebetulan masa dia telefon itu saya ada bersama, dan dia (AJK PAS Pusat) guna ‘loud speaker’ (pembesar suara di telefon).
“Jadi, saya dengar memang Azmin menceritakan apa yang berlaku semasa
perbualan di antara beliau dengan Hadi,” katanya sambil enggan menamakan
pemimpin yang dihubungi Azmin itu.
Katanya, selepas mendapatkan pengesahan daripada Hadi, beliau ada bertanyakan tujuan presiden parti itu bertindak sedemikian.
“Kami dengan rasa terkejut, dia (Hadi) mengakui dan dia memberikan
justifikasi. Katanya, jika PKR boleh tarik 2 Adun (PAS), kenapa kita
(PAS) tak boleh buat?” kata Hanipa sebagaimana dilaporkan oleh portal
berita itu.
Sebelum ini, bekas AJK PAS Pusat, Khalid Samad dan bekas ketua pemuda Suhaizan Kaiat mengesahkan apa yang didakwa Husam itu.
Bagaimanapun, ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfudz Mohamad mendakwa Husam membuat fitnah.
Husam ketika memberikan ceramah di Kota Bharu sebelum ini mendakwa
Hadi pernah mengaku bahawa PAS menawarkan kepada beberapa Adun PKR
termasuk Mohamed Azmin Ali agar menyertai PAS dan bekerjasama dengan
Umno untuk membentuk kerajaan bersama di Selangor.
Salleh Man tetap ikut kerajaan P Pinang, bukan pembangkang
Wakil rakyat tunggal PAS dalam dewan
perundangan Pulau Pinang menegaskan beliau masih sebahagian pentadbiran
negeri walaupun setiausaha agung parti itu mengisytiharkan ia kini di
pihak pembangkang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir Datuk Mohd Salleh
Man berkata, beliau baru sahaja membaca berita mengenai kenyataan
setiausaha agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan apabila pemberita menyerbu
beliau di DUN Pulau Pinang bertanyakan hal itu.
Beliau berkata, Takiyuddin hanya mengumumkan parti itu kini
pembangkang di Pulau Pinang tetapi tidak berkata apa-apa tentang wakil
rakyatnya.
“Beliau tidak kata wakil rakyat pun sama. Beliau hanya menyebut parti. Ia tak sama,” kata Salleh.
Ditekan pemberita untuk mendapatkan menjelaskan, beliau berkata, “Bagaimana pula dengan keadaan di Selangor?”
PAS tetap sebahagian daripada pentadbiran Selangor, bersama PKR dan
DAP, walaupun dengan terkuburnya Pakatan Rakyat selepas PAS memutuskan
hubungan dengan DAP terdahulu tahun ini.
Tiada seorang pun daripada exco negeri PAS di Selangor meletakkan jawatan.
Bagaimanapun, tidak seperti Pulau Pinang, kerajaan Selangor pimpinan PKR tidak mengumumkan ia sebuah kerajaan Pakatan Harapan.
Takiyuddin hari ini berkata, PAS kini sebuah parti pembangkang di
Pulau Pinang selepas kira-kira 300 ahlinya yang memegang pelbagai
jawatan di Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) negeri
itu dipecat baru-baru ini.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mohd Rashid Hasnon
berkata, kerajaan negeri menghantar surat penamatan kepada mereka kerana
pentadbiran memerlukan orang yang boleh bekerjasama dan menyokong
kerajaan negeri serta dasar-dasarnya.
Salleh menegaskan beliau masih anggota kerajaan Pakatan Harapan Pulau
Pinang, satu kenyataan yang dibuat Ketua Menteri Lim Guan Eng sendiri
selepas Salleh mengesahkan sokongannya kepada pentadbiran DAP.
Salleh berkata, kedudukannya bergantung kepada speaker DUN.
“Saya memenangi kerusi itu atas semangat Pakatan Rakyat. Gabungan itu
membentuk kerajaan negeri dan kini nama kerajaan negeri ditukar kepada
Pakatan Harapan.
“Perubahan nama tidak menjadi isu kepada saya. Sebagai Adun
pentadbiran ini, saya akan menyokong kerajaannya, tidak kira apa juga
nama yang diberi.
“Kita perlu menghormati manifesto yang membawa kepada kemenangan kita
dalam pilihan raya. Tidak perlu buat apa-apa andaian lagi.”
Firaun lebih bersopan ajak Nabi Musa debat – Husam
ULASAN: Saya
menghargai kesedian Dewan Harian Pas Pusat memanggil saya untuk
menjelaskan teguran saya terhadap perjalanan kerajaan Kelantan.
InsyaAllah saya bersedia berbuat demikian.
Mengikut kenyataan SUA Pas, notis telah dihantar kepada saya (melalui pos?), malangnya saya belum menerimanya.
Saya meninggalkan Malaysia pada Sabtu, 14hb November. Sehingga tarikh
itu, saya tidak menerima apa-apa surat. Kini saya di China tetapi jika
benar notis itu dikeluarkan, saya tetap boleh dihubungi melalui sms,
whatsapp atau e mail.
Namun tidak satu cara pun saya dihubungi.
Dalam kenyataan pertama SUA petang semalam, dikatakan perjumpaan itu
adalah pada 24hb November ini (lima hari notis). Sejam kemudian, berita
laman web menunjukkan ia diubah kepada 26hb November.
Nampak jelas ia diputuskan amat tergesa-gesa. Mengapa? Apa yang hendak dikejar?
Jadual asal untuk saya pulang ialah 22hb (empat hari sebelum
perjumpaan yang baru dijadualkan) tetapi mungkin atas nasihat doktor,
rawatan saya dilanjutkan beberapa hari lagi.
Memandangkan notis itu amat singkat, saya sangat menghargai jika SUA
Pas dan DH Pas Pusat dapat menangguhkan, sekurang kurangnya seminggu
selepas saya berada dalam negara.
Ini untuk membolehkan masa dan keadaan yang lebih selesa bagi saya menyediakan apa-apa persiapan perlu.
Saya yakin, ia bukan masalah besar kepada Dewan Harian Pas Pusat untuk meletakkan satu tarikh baru yang lebih selesa.
Larangan Debat Saya-Dato’ Mustafa
Melarang perdebatan saya dan bekas SUA Pas yang dibuat dua atau tiga
jam selepas persetujuan oleh Dato’ Mustafa, seakan menunjukkan ada
sesuatu yang hendak dilindungi dari terbongkar.
Juga tiadanya
penyelarasan keputusan di kalangan pimpinan tertinggi Pas dibuat.
Bukankah Dato’ Mustafa adalah juga anggota Dewan Harian?
Adakah keputusan Dato’ Mustafa tidak dirujuk lebih dahulu kepada pimpinan parti?
Atau persetujuan Dato’ Mustafa hanya satu sandiwara semata-mata?
Dengan itu, Dato’ Mustafa tidak akan dikata orang segan dan enggan berdepan menafikan dakwaan saya?
Atau Pas tidak ada keyakinan dan kepercayaan kepada kebolehan Dato’ Mustafa?
Cara ini memburukkan imej parti dan tidak sepatutnya berlaku bagi sebuah parti yang besar dan berwibawa.
Debat 21hb: Fir’aun Pun Berunding Dengan Musa
Sehebat dan segagah Fir’aun sekalipun, bila hendak ditentukan masa,
tarikh, tempat dan bentuk pertarungan antara Nabi Musa dan profesional
sihir Di Raja, Fir’aun merundingi Musa.
Tidak ada keputusan unilateral atau sebelah pihak dilakukan.
Pada hal Fir’aun itu diktator yang paling tersohor. Runding merundingi tetap berlaku.
Nabi Musa – mengikut Al Qur’an – yang mencadangkan:
– Masa : Dhuha/di waktu pagi sinarnya belum tersangat terik (Surah Ta Ha : ayat 59)
– Tempat : Juga dicadangkan oleh Musa, iaitu di ibu kota (namun saya tidak sempat merujuk ayat berkenaan)
– Tarikh : Yaumu Ziinah/hari perayaan nasional ( Ayat yang sama)
Bahkan format pertarungan itu pun berlaku perbincangan. Ayat 65 dan
66 Surah Ta Ha menyebut jurucakap Ahli Sihir Fir’aun bertanyakan Musa
siapa patut memulakan lemparan. Musa mencadangkan ia dimulakan oleh
pihak Ahli Sihir.
Itu aturan dari dunia peradaban silam. Ia kekal hingga kini sebagai amalan bersopan yang diikuti di mana-mana.
Al Qur’an membawa kisah ini untuk membentuk peradaban ummat ini juga.
Namun, rupanya ada juga insan yang ingin mempamirkan keberaniannya
yang luar biasa dengan menetapkan sendiri tarikh, tempat, masa dan
segalanya berkait apa yang dikatakan debat saya dan beliau.
Hingga kini saya tidak pernah dihubungi walau pun sepatah dalam apa jua bentuk.
Saya tentunya tidak lebih baik dari Nabi Musa a.s dan dia tentunya tidak lebih buruk dari Fir’aun.
Mengapa untuk isu ‘debat’ yang tidak sehebat mana pun, perlukan eksploitasi serendah itu?
Dunia sudah menjadi begitu sempit untuk satu pengaturan yang bersopan?
Secara bersendiri, hero kita ini menetapkan tarikh besok untuk saya bertemunya di KUISZM.
Saya tidak ada masalah menemui beliau di mana jua.
Tetapi biarlah resam diikuti ramai digunakan.
Janganlah kerana beliau begitu hebat, insan kerdil yang lain kena
mengikut semua telunjuknya, hatta tarikh debat pun hanya beliau yang
mesti tentukan seorang diri.
Jika watak seperti ini menjadi sebahagian kerajaan negara ini atas apa jua platform, apa akan berlaku?
Jika orang yang lebih hebat dari beliau iaitu Dato’ Mustapa pun
InsyaAllah saya sanggup berdepan, tidaklah satu keberatan untuk saya
menemui beliau.
Biarlah ia diatur secara persetujuan bersama. Bila-bila pun saya
bersedia, jika tidak bertindih dengan temu janji yang telah diatur lebih
awal.
Husam Musa
20 November 2015
8 Safar 1437 H