Anwar tahu masalah di NS sejak empat bulan lalu
Sinar Harian
September 7, 2021
Yusuf berkata, surat akuan bersumpah menolak kepimpinan Aminuddin sudah diserahkan kepada Anwar kira-kira empat bulan lalu. - Foto fail/BERNAMA
SEREMBAN: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetahui ketidakpuasan hati kepimpinan parti negeri terhadap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Yusuf Tapar berkata, surat akuan bersumpah (SD) menolak kepimpinan Aminuddin yang telah ditandatangani ketua-ketua cabang dan sayap parti serta yang berjawatan dalam MPN juga sudah diserahkan kepada Anwar kira-kira empat bulan lalu.
"SD itu telah dihantar empat bulan lepas dan dalam pengetahuan Presiden. Sebab itulah kita membuat keputusan untuk membuat kenyataan media berhubung perkara itu semalam (Ahad).
"Memang saya yang membacakan kenyataan media memorandum itu, tapi ia bukan pendapat saya seorang. Itu kenyataan bersama dan telah dibincangkan terlebih dahulu sebelum semuanya bersetuju," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada malam Isnin.
Beliau berkata, majlis membaca memorandum menolak Aminuddin pada petang Ahad itu juga telah dimaklumkan kepada semua yang menyokong.
Katanya, ia termasuk empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada PKR yang telah menandatangani SD tersebut.
Bagaimanapun, katanya, daripada empat ADUN PKR di negeri ini, hanya ADUN Labu, Ismail Ahmad yang hadir.
"Kalau itu kenyataan saya seorang, mereka yang namanya disertakan itu boleh mengambil tindakan terhadap saya.
"Kenyataan itu sah kerana ia berkait rapat dengan SD yang telah ditandatangani mereka," jelas beliau.
Sementara itu, berkenaan penafian beberapa cabang terlibat membuat kenyataan itu, Yusof berkata, ia tidak ada kaitan dengan mereka kerana sokongan itu datangnya daripada ketua cabang.
"Yang kita pegang adalah ketua-ketua Cabang dan mereka bersama dengan kita," katanya.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk mengadakan sesi dialog dengan Aminuddin pada bila-bila masa berkenaan masalah yang berlaku.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan tiga ADUN daripada PKR Negeri Sembilan menafikan terlibat dalam membuat kenyataan media bahawa telah hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan.
Kenyataan berhubung perkara itu mula tersebar menerusi kumpulan aplikasi WhatsApp pada malam Ahad yang turut mengaitkan nama ADUN Sri Tanjung, Datuk M Ravi; ADUN Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek; ADUN Chuah, Datuk Yek Diew Ching dan ADUN Labu, Datuk Ismail Ahmad.
Selain itu, Timbalan Ketua Cabang Kuala Pilah, Shahran Kaat turut membuat penafian apabila mendakwa pihaknya tidak pernah memanggil sebarang mesyuarat ahli jawatankuasa bagi mengambil ketetapan dalam isu tersebut.
"Saya ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah bersifat peribadi Ketua Cabang PKR Cabang Kuala Pilah dan tidak melambangkan keputusan sebulat suara daripada ahlinya.
"Justeru beliau telah mengkhianati mandat yang telah diberikan kepadanya dengan membelakangkan pandangan dan suara ahli dalam membuat sesuatu keputusan dengan membabitkan nama cabang di sini," katanya.
Begitu juga dengan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Port Dickson, Muhamad Affandi Abdul Malik yang turut menafikan terlibat berikutan namanya turut disenaraika
HSKLU bukan hutan rosot, henti keluar kenyataan tidak benar - PHSKLU
Harits Asyraf Hasnan
September 7, 2021
Dakwaan kononnya hutan itu merupakan hutan rosot adalah tidak benar kerana usaha pemulihan telah dijalankan sejak beberapa tahun lalu. - Foto Jabatan Perhutanan Selangor
KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor didesak berhenti mengeluarkan kenyataan tidak benar berkaitan Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU).
Gabungan badan bukan kerajaan (NGO), Pertahankan HSKLU menegaskan, dakwaan kononnya hutan itu merupakan hutan rosot adalah tidak benar kerana usaha pemulihan oleh penduduk tempatan dan Jabatan Perhutanan Selangor telah dijalankan sejak beberapa tahun lalu.
"Pada 2016, sebanyak 10,000 batang pokok ditanam menerusi usaha membabitkan masyarakat Orang Asli, Jabatan Perhutanan dan pemilik tanah berdekatan termasuk Boh Plantation Estate dan Gamuda Cove.
"Tindakan pencegahan kebakaran turut diambil dengan membina sekatan parit dan meningkatkan paras air selain melaksanakan tinjauan pencegahan kebakaran secara harian sekitar hutan tersebut.
"Hasilnya, hanya dua kebakaran kecil telah berlaku sejak lima tahun yang lalu dan tiada kejadian berlaku di kawasan yang dicadang untuk penyahwartaan," memetik kenyataan tersebut.
Ujar mereka, lebih dari 300 hektar kawasan hutan tersebut yang terkesan dengan kebakaran telah pulih dengan baik dengan tumbuhnya semula pokok bersaiz sederhana dan tinggi dan penanaman pokok oleh komuniti Orang Asli.
Dakwa gabungan itu, segala kenyataan tidak benar itu dibuat semata-mata ingin meraih sokongan seiring usaha menyahwartakan 536.7 hektar hutan tersebut bagi aktiviti pembangunan bercampur.
Mengulas lanjut, mereka berkata 98 peratus kawasan yang dinyahwartakan mempunyai kadar penutupan hutan dan 50 peratus daripadanya dipenuhi dengan pokok-pokok.
Selain itu, mereka menyifatkan HSKLU mempunyai potensi ekologi disebabkan keunikan bentuk muka buminya selain komuniti Orang Asli masih mengunjungi dan menggunakan hutan tersebut untuk kegunaan seharian.
Justeru, PHSKLU menuntut agar Kerajaan Selangor menarik balik keputusan penyahwartaan 536.7 hektar hutan itu dengan serta-merta selain menuntut kerajaan negeri bekerjasama dengan komuniti Orang Asli dan pemegang taruh lain untuk melindungi HSKLU sebagai eksosistem penyimpanan karbon yang penting.
Pada 21 Februari tahun lalu, Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari berkata kualiti pokok di hutan simpan Kuala Langat yang merupakan hutan gambut telah merosot akibat kebakaran dan menimbulkan bahaya kebakaran ke kawasan sekitarnya.
Pengarah Perhutanan Negeri Selangor, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid pula memaklumkan HSKLU telah diklasifikasikan sebagai kawasan berisiko tinggi untuk terbakar oleh jabatan itu pada tahun 2016 dan mengalami kemerosotan (degradasi) akibat beberapa kali terbakar pada tahun 2012, 2013, 2014, 2017 dan 2021.
Astro AWANI masih cuba mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Perhutanan Selangor berhubung dakwaan yang dibuat PHSKLU tersebut.
Nyahwarta HSKLU | Kerajaan Selangor telah ambil kira semua aspek - Jabatan Perhutanan
Putrajaya arah SPR laksana Undi18 tahun ini
PUTRAJAYA: Putrajaya sudah mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersiap sedia melaksanakan pindaan Undi18 sebelum 31 Dis ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kerajaan belum memutuskan sama ada akan memfailkan rayuan, tetapi ia akan mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Kuching.
“Ia belum diputuskan lagi sama ada kami mahu merayu. Saya akan membincangkan perkara ini dengan peguam negara dan Kabinet.
“Tetapi, SPR sudah diarahkan bersiap sedia melaksanakannya (menjelang 31 Dis),” katanya dalam sidang media hari ini.
Jumaat lalu, Mahkamah Tinggi Kuching mengarahkan kerajaan melaksanakan pindaan Undi18 sebelum 31 Dis ini, selepas membenarkan permohonan yang difailkan lima belia Sarawak untuk mencabar keputusan kerajaan terdahulu pimpinan Muhyiddin Yassin tidak melaksanakan pindaan Undi18 pada Julai.
Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew turut mengeluarkan perintah untuk membatalkan keputusan kerajaan persekutuan yang pindaan Undi18 hanya boleh dilaksanakan menjelang September 2022.
“Kita perlu mematuhinya kerana ia adalah perintah mahkamah. Apabila mahkamah membuat keputusan, kita perlu terima dan melaksanakannya,” kata Wan Junaidi hari ini.
Beliau berkata, terdapat 5.6 juta pengundi tidak berdaftar di Malaysia, dengan 1.19 juta daripadanya berusia 18 hingga 20 tahun dan 4.41 juta berusia 21 tahun ke atas.
Rang Undang-undang Undi18, yang dikenali secara rasminya sebagai RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019, diluluskan Dewan Negara pada Julai 2019 dan diwartakan dua bulan kemudian. Pindaan itu menurunkan had umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Sebelum ini, SPR dilaporkan berkata, pendaftaran pengundi secara automatik dan kelayakan mengundi pada usia 18 tahun akan dilaksanakan mulai Julai tahun ini, tetapi ia ditangguhkan selepas 1 Sept 2022 akibat Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan.
Khuatir risiko jangkitan Covid-19, ibu bapa masih tak yakin hantar anak ke sekolah
PETALING JAYA: Masih ada ibu bapa yang meluahkan kebimbangan untuk membenarkan anak mereka meneruskan sesi persekolahan pada 3 Okt kerana khuatir dengan risiko jangkitan Covid-19.
Syarifah Abdul, ibu kepada pelajar sekolah rendah di Perak berkata, dengan penularan varian baharu serta ketiadaan makluman mengenai pemberian vaksin kepada murid, beliau berasa lebih selamat jika anak-anaknya meneruskan pembelajaran dari rumah.
“Kes masih lagi berbelas ribu dengan wujudnya varian-varian baharu, murid sekolah pun masih belum lagi diberi vaksin, jadi saya sebagai ibu, saya bimbang nak hantar anak ke sekolah.
“Varian-varian baharu ini kita tidak tahu sejauh mana ia boleh menyerang, malah kanak-kanak pun tidak terlepas daripada terkena jangkitan,” katanya kepada FMT.
Menurutnya, jika sesi persekolahan ingin diteruskan, inisiatif seperti membuka kelas secara bergilir-gilir boleh dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat.
“Kalau sekolah tetap dibuka, saya rasa elok kelas dibuat secara bergilir-gilir untuk mengurangkan bilangan pelajar di sekolah dan SOP yang lebih ketat perlu ditekankan,” katanya.
Sementara itu seorang lagi ibu, Halimahton Ibrahim berkata, pihak sekolah juga perlu memaklumkan terlebih dahulu status vaksinasi guru dan kakitangan kepada ibu bapa sebelum sesi persekolahan bermula.
“Bagi saya, sebelum sekolah dibuka, saya harap ibu bapa dimaklumkan terlebih dahulu status vaksinasi guru dan kakitangan yang terlibat dalam sesi persekolahan Oktober ini,” ujarnya.
Bagaimanapun, ibu kepada pelajar sekolah menengah di Kelantan, yang ingin dikenali sebagai Hafidah pula menyambut baik pembukaan sekolah bagi membolehkan anak-anak meneruskan sesi pembelajaran yang lebih berkualiti bersama guru secara bersemuka.
Hafidah berkata, kelas secara dalam talian menjadi mencabar apabila ibu bapa tidak dapat memantau pembelajaran anak-anak memandangkan ada yang perlu bekerja.
“Bagus juga sekolah dibuka secara bersemuka, cabaran juga belajar dari rumah ini sebab kami ada yang keluar bekerja, memang tak sempat pantau anak-anak, jadi memang bergantung kepada guru.
“Lagi-lagi anak saya bakal menduduki PT3, jadi saya rasa lebih baik dia belajar secara bersemuka sebab kalau di rumah ini, susah nak fokus dengan masalah internet lagi,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pendidikan Radzi Jidin dilaporkan mengesahkan sesi persekolahan secara bersemuka akan tetap dilaksanakan mulai 3 Okt.
Bagaimanapun katanya, ia tidak melibatkan negeri yang masih berada bawah fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN), iaitu Kedah, Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
USAHA CUBA TUMBANGKAN MB NS TIDAK BERJAYA
Usaha cuba tumbangkan MB NS tidak berjaya
Beberapa ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR Negeri Sembilan kini cuba merampas kuasa dalam parti dengan mengambil langkah menggulingkan pengerusi negeri, Aminuddin Harun, yang juga menteri besar.
Satu sumber berkata, usaha menggantikan menteri besar itu tidak akan berjaya kerana ADUN yang terlibat tidak mendapat sokongan anggota cawangan.
“Beberapa ketua cawangan mengadakan sidang media sendiri. Namun ramai antara kami mahu Aminuddin kekal sebagai menteri besar,” katanya kepada FMT.
Tambahnya, beberapa individu di sebalik percubaan merampas kuasa itu terbabit dengan “kartel” pemimpin yang meninggalkan PKR untuk menyertai Bersatu dalam “Langkah Sheraton” pada Februari tahun lepas.
Katanya, mereka cuba menggantikan Aminuddin dengan salah seorang ADUN PKR yang hadir pada sidang media semalam.
Menurut laporan media, mereka yang hadir pada sidang media semalam antara lain adalah empat ketua cawangan dari Rasah, Port Dickson, Jelebu, Kuala Pilah; tiga ahli jawatankuasa dari Rembau, Rasah dan Port Dickson; dua timbalan ketua cawangan dari Seremban dan Rembau; serta ketua sayap wanita, Amni Idris dan timbalannya Rusnani Saring.
Sumber itu berkata, ahli jawatankuasa bahagian dan cawangan membuat aduan kepada ibu pejabat PKR di Petaling Jaya kerana tidak ada pertemuan atau persetujuan dibuat mengenai perkara itu.
“Kami sedang melihat kemungkinan tindakan disiplin diambil terhadap mereka yang terlibat dalam rampasan kuasa ini kerana ia bukan keputusan yang dibuat secara sepakat,” tambahnya.
FMT telah menghubungi Aminuddin untuk mendapatkan komen.
Menurut Sinar Harian, Ketua Penerangan Negeri PKR Yusuf Tapar berkata, perubahan diperlukan untuk memastikan parti itu kekal relevan, dengan mendakwa ketua negeri gagal melaksanakan rancangan untuk menarik pengundi.
Yusuf berkata, Aminuddin juga gagal menyelesaikan isu yang sedang dihadapi oleh cawangan terbabit dan beberapa keputusannya bercanggah dengan perlembagaan parti.
Terdapat 36 ADUN di Negeri Sembilan, dengan Pakatan Harapan mempunyai 20 ahli, iaitu 11 daripada DAP, enam PKR dan tiga Amanah.
Pihak pembangkang mempunyai 16 wakil, iaitu 15 daripada Umno dan seorang MIC.
Pembangkang hanya memerlukan empat ADUN yang beralih arah untuk mencetuskan perubahan dalam kerajaan negeri dan melantik menteri besar baharu.
ORANG MELAYU IBARAT BUAH MANGGIS? – MAT KILAU
Orang Melayu ibarat buah manggis? – Mat Kilau
Oleh: Redzuan RF8 Media
Jika dilihat Sejarah Kerajaan Islam Melayu dari Zaman Kesultanan Kedah Tua,Kerajaan Melayu Melaka,Kerajaan Acheh,Kerajaan Johor-Riau-Lingga-Pahang,atau Kerajaan Mataram di Jawa sekalipun Kerajaan tersebut tumbang bukanlah disebabkan Kekuatan Armada Tentera Penjajah..
Kerajaan tersebut tumbang kerana “Senjata Makan Tuan” iaitu Budaya Menikam dari Belakang yang masih diamalkan orang Melayu hingga kini..
Budaya “Api dalam Sekam” yang menular dalam Pemerintahan akhirnya menjadi “Musuh Dalam Selimut” yang masih sukar dibendung..
Lihat sahaja kekalahan Dol Said di Naning pada tahun 1831..
-Rujuk Kisah Perang Naning 1 dan 2..
(Dol Said Dikhianati Oleh Pengikutnya Yang Berpaling Tadah Kepada Penjajah Setelah Diberi Ganjaran Beberapa Keping Wang Emas)
Dol Said bukanlah calang-calang Orangnya bukan sahaja hebat dari segi Kepahlawanannya bertarung dengan Musuh..tetapi ketinggian Ilmu Kerohanian Agamanya..
Beliau tewas bukanlah disebabkan Penjajah atau Musuh itu lebih hebat ketika berperang tetapi tewas disebabkan wujudnya orang-orang yang seBangsa dan seAgama yang menjadi “Talam Dua Muka” dan sanggup berpaling tadah terhadap perjuangan mereka sendiri..
Demikian juga masalah yang dihadapi oleh Dato Bahaman Orang Kaya Semantan,Mat Kilau dan Tok Gajah Imam Rasu yang pernah di serang Penjajah di Tembeling hingga dikatakan terpaksa berundur di sempadan Siam..Mereka berundur bukan kerana takut pada Penjajah tetapi berundur kerana tidak mahu lebih ramai rakan-rakan yang menjadi Korban akibat pengkhianatan Orang Melayu itu sendiri..
(Mat Kilau dikhianati segelintir Orang Melayu yang memberitahu Penjajah pegerakkan dan persembunyian Mat Kilau di Tembeling,Jerantut dan persembunyiannya beberapa Kubu penting hingga beliau terpaksa berlindung dengan Tok Ku Paloh Terengganu)
Semasa kemunculan Mat Kilau pada tahun 1969,beliau pernah ditanya oleh beberapa kenalan termasuk dari Guru Silat saya sendiri yang pernah berjumpa dan berhadapan dengannya..
Antara Soalan yang ditanya pada Mat Kilau adalah tentang Perjuangan Melayu menentang Penjajah..
Mat Kilau menjawab,
” Orang Melayu ini seperti Buah Manggis,
Diluarnya Hitam,
Dalamnya Putih…”
Bermaksud :
” Orang Melayu ini semangatnya hanya meluap-luap semangatnya pada Zahirnya sahaja..
Sedangkan Batinnya masih Lembut..”
Katanya lagi,
” Buah Manggis juga bergetah,
Sama seperti Buah Bacang,
Sayangnya Buah Manggis tidak BerBisa seperti Buah Bacang yang kalau ia disentuh boleh menyebabkan Kulit menjadi Kudis…”
Ia bermaksud luahan hati Mat Kilau ketika itu yang kecewa dengan Bangsa Melayu di zamannya yang mudah ditakutkan atau tidak berani melawan apabila terancam,hanya segelintir dari mereka sahaja yang sanggup berjuang hingga sanggup meninggalkan keluarga,harta benda,pangkat kekayaan dan gelaran serta kampung halaman untuk berjuang menentang Penjajah..
Mat Kilau juga menjawab Orang Melayu juga ibarat ” Buntut Buah Manggis “,
“Kalau Buah Bunganya Kembang Lima,
Maka Isinya juga Lima,
Kalau Bunganya Kembang Enam,
Isinya juga Enam…”
Maksudnya:
Orang Melayu di zamanya tidak dapat Menahan dan Menyimpan Rahsia-rahsia penting mengenai Strategi Perjuangan Sulit mereka..
Inilah sebabnya Bangsa Melayu di zamannya Gagal Menentang Penjajah…
Kesimpulannya,
Jatuhnya Kerajaan Islam Melayu itu sendiri atas Faktor :
-Kezaliman Diri Mereka Sendiri
-Budaya Rasuah(Dapat Ganjaran Wang Emas,Pangkat dan Harta dan Gelaran Dari Penjajah)
-Fitnah(Budaya Dengki Sesama Sendiri)
-Pengkhianatan(Tikam Belakang,Rebut Jawatan Pembesar)
Kesemuanya itu disebabkan Lemahnya Akidah mereka untuk memperjuangkan Pengorbanan Harta Benda, Nyawa dan Negara…
Bukan sahaja di Tanah Melayu sendiri tetapi juga di Era atau Zaman Khulafa Al Rasyidin,Umaiyah,Abbasiyah hingga Uthmaniah juga terkena Penyakit yang sama..
Persoalannya Wujudkah lagi ” Budaya Talam Dua Muka” oleh Bangsa Melayu di zaman Moden ini ???
Jawapannya,
Ya ! .. Ia masih tetap wujud !
DAMBAKAN JAWATAN KAH ?SAKAN BODEK...
Puad tempelak KP Pas: Mahiaddin lebih berjiwa besar tolak jawatan Pengerusi MPN
Oleh FAZLI RADZI / September 7, 2021
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menempelak Ketua Pemuda (KP) Pas, Khairil Nizam Khirudin (gambar atas) yang menganggap Mahiaddin “berjiwa besar” kerana tidak mengambil imbuhan setelah dilantik Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Puad yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Pahat berpendapat Mahiaddin lebih berjiwa besar jika tidak menerima jawatan Pengerusi MPN selepas 17 bulan diberi peluang menjadi Perdana Menteri.
“Bukankah Mahiaddin lebih berjiwa besar jika dia tidak menerima jawatan Pengerusi MPN? Dia sudah diberi peluang selama 17 bulan jadi Perdana Menteri.
“Kuasa seorang Perdana Menteri lebih besar daripada kuasa Pengerusi MPN. Tetapi dia gagal.
“Sepatutnya, dia tidak terima jawatan tersebut apatah lagi kalau memintanya,” kata beliau dalam reaksinya di Facebook hari ini.
Terdahulu, Khairil Nizam berpendapat Mahiaddin membuktikan bahawa beliau seorang pemimpin yang berjiwa besar apabila menerima pelantikan sebagai Pengerusi MPN tanpa segala bentuk imbuhan.
Dia juga berkata, tindakan Mahiaddin itu adalah sesuatu yang wajar dicontohi oleh orang lain termasuk ahli politik kanan.
Mengulas lanjut, Puad menegaskan Mahiaddin tidak patut mengambil jawatan itu selepas terbukti gagal dan terpaksa meletak jawatan.
“Apa yang patut dicontohi? Sepatutnya bila sudah terbukti gagal dan terpaksa letak jawatan maka janganlah ambil balik jawatan.
“Bila CEO (Ketua Pengarah Eksekutif) syarikat letak jawatan kerana syarikat rugi, maka apakah dia wajar dilantik semula untuk memulihkan prestasi syarikat?
“Maka wajarlah Menteri kanan termasuk yang ada jawatan taraf Menteri tidak lagi menerima jawatan Menteri kerana terpalit dengan kerajaan gagal sebelum ini.
“Itu baru berjiwa besar namanya,” tegas Puad yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) berkenaan lagi.
Ini cara Singapura hadapi wakil rakyat lompat parti, Malaysia patut tiru
Ini cara Singapura hadapi wakil rakyat lompat parti, Malaysia patut tiru. Kerajaan dicadang mencontohi Singapura yang mempunyai peruntukan dalam Perlembagaan republik itu yang membolehkan kerusi menjadi kosong setelah wakil rakyat melompat parti.
Pakar undang-undang, Prof. Datuk Salleh Buang berkata, Perkara 46(2)(b) Perlembagaan republik itu menyatakan, kerusi seorang ahli Parlimen hendaklah menjadi kosong sekiranya dia tidak lagi menjadi ahli parti yang atas nama parti itu dia bertanding dalam pilihan raya.
“Peruntukan ini bermakna hak wakil rakyat melompat parti kekal. Dia boleh lakukannya pada bila-bila masa, tetapi bila ia berlaku, kerusinya menjadi kosong secara automatik.
“Disebabkan kelayakannya menjadi wakil rakyat tidak hilang, dia masih boleh bertanding apabila pilihan raya kecil diadakan disebabkan kekosongan kerusinya itu. Dia perlu kembali mendapatkan mandat rakyat kerana sudah tidak ada kerusi lagi dalam dewan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam artikel bertajuk Lompat: Belajarlah dari sejarah yang disiarkan di kolumnya, Minda Peguam dalam Utusan Malaysia, hari ini.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menghantar notis usul cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pemecatan Ahli Parlimen 2021 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Cadangan RUU itu yang selari dengan inisiatif undang-undang antilompat parti yang sedang diusahakan kerajaan merujuk kepada ‘recall election’ atau pemilihan semula seperti diamalkan oleh beberapa negara Komanwel lain.
Menurut Salleh, undang-undang antilompat parti seperti yang difahami sekarang merujuk kepada larangan kepada seorang wakil rakyat meninggalkan partinya untuk melompat ke parti lain.
“Apa sahaja undang-undang (akta atau enakmen) yang menghalang seorang warganegara menyertai mana-mana parti politik (atau meninggalkannya) adalah menyalahi Perkara 10 Fasal (1)(c) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan semua warganegara berhak menubuhkan satu persatuan.
“Keahlian parti seorang wakil rakyat tidak boleh disentuh, digugat atau dilucutkan semata-mata kerana dia lompat parti. Apa yang boleh dinyatakan dalam akta ini nanti adalah seperti dilakukan kerajaan Singapura.
“Ini bermakna dia (wakil rakyat yang boleh bertanding semula) menghadapi risiko ditolak (dihukum) oleh pengundi kerana mengkhianati janji asalnya kepada mereka dahulu apabila berpaling tadah daripada parti asalnya,” ujarnya.
Sumber :
Kawal agama bukan Islam : Menteri sanggah pengumuman Timb Menteri Pas
Belum ada cadangan menggubal akta untuk menyekat dan mengawal pengembangan agama bukan Islam yang dibawa ke Kabinet dan walaupun ada, negeri perlu mencapai kata sepakat terlebih dahulu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Ini menyusul kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary semalam yang dilaporkan berkata, rang undang-undang bersabit pengembangan agama bukan Islam sebahagian daripada Pelan Pemerkasaan Undang-undang Syariah selama lima tahun, dari 2020 hingga 2025.
Azeez belum bebas tuduhan rasuah, ubah wang haram, kata SPRM
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata bekas pengerusi Tabung Haji, Abdul Azeez Abdul Rahim belum dibebaskan daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.
Dalam kenyataan, SPRM turut menjelaskan kenyataan peguam bela Azeez, Amer Hamzah Arshad yang berhujah di Mahkamah Rayuan semalam bahawa analisis laporan kewangan oleh SPRM sebelum ini membebaskan anak guamnya daripada dakwaan rasuah hanya hujahan dan belum diputuskan oleh mahkamah.
“Susulan itu, laporan media yang memetik hujahan tersebut seolah-olah menggambarkan Azeez telah bebas daripada semua pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram sedangkan mahkamah belum membuat keputusan berhubung kes berkenaan.
“SPRM berharap orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes tersebut yang masih dalam perbicaraan sebelum mahkamah mendengar hujah balasan pendakwaan terhadap penghujahan pasukan peguam Abdul Azeez pada 6 Oktober depan,” katanya.
Bersedia dengan 1 lagi gelombang ketidaktentuan politik, kata Ahli Parlimen
PETALING JAYA: Ketiadaan usul undi percaya dalam sidang Dewan Rakyat demi memperkukuhkan keabsahan kedudukan perdana menteri, bukan petanda baik untuk kestabilan politik dan masa depan negara untuk jangka panjang.
Bagaimanapun, salah seorang Ahli Parlimen Bersatu berkata, undi percaya bukan satu keperluan pada masa ini memandangkan pilihan raya boleh diadakan tahun depan.
Ia susulan perkembangan terbaru apabila peraturan mesyuarat Dewan Rakyat yang dikeluarkan kepada Ahli Parlimen hari ini tidak menyenaraikan undi percaya terhadap perdana menteri.
Ahli Parlimen Amanah Khalid Abdul Samad berkata tanpa undian itu, kerajaan akan mengalami krisis keyakinan yang sama pernah dihadapi oleh kerajaan Muhyiddin Yassin.
Beliau juga tidak bersetuju dengan pandangan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bahawa undian itu akan menyebabkan ketidakstabilan.
“Ia amat merisaukan apabila semua pihak mempertikaikannya dengan alasan mengapa kita tidak perlu mengadakan undi percaya,” katanya kepada FMT.
“Ia bukan isyarat positif kepada negara dan dunia selepas Malaysia dikhabarkan telah mencapai kestabilan politik susulan perubahan terhadap kerajaan dan perdana menterinya.”
Bersikap berani dan undi
Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata kepercayaan terhadap perdana menteri seperti Ismail Sabri Yaakob yang mengambil alih pemerintahan di tengah-tengah penggal, harus diuji.
Beliau memberi contoh Hussein Onn dan Abdullah Badawi yang menguji kepercayaan dalam tempoh seminggu selepas mengambil alih pentadbiran.
Ahli Parlimen PKR itu berkata sekiranya Ismail enggan, beliau akan dianggap mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu undi percaya dilakukan.
Katanya, keengganan itu mungkin disebabkan pertelingkahan berterusan dihadapi oleh parti-parti dalam kerajaan iaitu Umno dan Bersatu serta dalam Umno sendiri.
“Kerajaan tidak stabil, sebab itu perdana menteri bimbang untuk menguji kepercayaan terhadapnya di Dewan Rakyat. Dengan mengelakkan undi percaya, ia memberi mesej yang salah kepada rakyat dan pelabur.
“Perdana menteri harus bersikap berani untuk berdepan undi percaya ini,” katanya.
Fokus mentadbir kerajaan
Ahli Parlimen Bersatu Mansor Othman berkata fokus harus diberikan kepada tugas mentadbir kerajaan dan kurangkan berpolitik ketika pandemik dan krisis ekonomi.
Katanya, menjelang pilihan raya tidak lama lagi, semua pihak perlu memberi peluang untuk menjadikan masa sekarang sebagai tempoh bertenang berbanding mencari risiko mencetuskan satu lagi gelombang ketidaktentuan.
“Kita harus bergerak ke hadapan dan memberi fokus berkhidmat untuk rakyat. Mandat penuh boleh diperolehi tahun depan. Buat masa ini, kita perlu lakukan yang terbaik untuk rakyat,” katanya.
Baru-baru ini, Peguam Negara Idrus Harun berkata tidak ada keperluan untuk melakukan usul undi percaya kerana Agong telah melantik Ismail sebagai perdana menteri dan mereka yang mempertikaikannya, turut mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, kenyataannya mengundang kritikan ahli politik dan penganalisis yang mengatakan ia hanya boleh ditentukan di Dewan Rakyat melalui undi percaya terhadap perdana menteri.
KESIAN AUNS
C & P
Kesian Walaun
Masa di Kemboja, saya bertemu Duta Brunei di Kedutaan Brunei,
Duta Indonesia di Kedutaan Indonesia, Duta Amerika di Kedutaan Amerika, Duta
Australia, Duta Pakistan dan termasuklah Duta Malaysia di Kedutaan Malaysia.
Masa ni saya hanya Pembantu Khas Mufti Kemboja.
Hangpa jangan ingat aku pergi jumpa setakat nak bergambar tetapi
aku jumpa diaorang mewakili Mufti dan Penasihat Perdana Menteri. Malah masa
jumpa Duta Amerika … dia kata -‘Umat Islam Kemboja kena tuntut hak kamu’. Aku
balas balik -‘Kami umat Islam Kemboja duduk aman dan amat diraikan oleh
kerajaan Kemboja. Kami amat berterimakasih pada Kerajaan Kemboja’.
Aku bukan Duta taraf Menteri tapi setakat Pembantu Mufti.
Masa ke Myanmar jumpa Duta Malaysia di Myanmar… di Laos juga
bertemu Duta Malaysia di Laos. Begitu juga rakanstaff aku yg ke Afrika..
biasanya mereka akan pi ziarah Duta Malaysia di sana.
Kalau setakat jumpa Duta luarnegeri kt Malaysia… itu bukan tugas
Duta Khas ke luarnegeri. Duta Khas luarnegeri tugasnya pergi luarnegeri dan
jumpa pimpinan luarnegeri di sana.
Setakat walaun… bolehlah diorang kagum. Walaun ni, Bala cerita
mimpi jumpa nabi pun diorang dah terbeliak biji mata.
- Ab Shukur Azhar
Malek Husin dedah ‘Tuan Ibrahim’ bukan nama sebenar
September 7, 2021
Nama sebenar Menteri Alam Sekitar dan Air yang juga Timbalan Presiden Pas rupa-rupanya bukan Tuan Ibrahim Tuan Man.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu sebenarnya bernama “Tuan Ibharim bin Tuan Man”.
Setiausaha Parlimen kepada Ketua Pembangkang, Malek Hussin mendedahkan hal itu yang terkandung dalam Warta P.U. (A) 350.
Katanya, warta tersebut menyiarkan Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan (No. 3) (Pindaan) (No. 3) 2021.
”Warta itu, antara lain, meminda “Nama” Menteri Alam Sekitar dan Air. Nama betulnya “Tuan Ibharim bin Tuan Man”, bukan “Tuan Ibrahim bin Tuan Man”,” jelas Malek menerusi akaun Facebook miliknya.
ISMAIL SABRI PERLEKEH MAHIADDIN…
Walaupun Mahiaddin Md Yasin nampaknya gembira dengan perlantikannya sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara atau MPN, tetapi sebahagian mereka dalam Bersatu tidak begitu perasaannya yang mereka alami.
Beberapa pemimpin dalam Bersatu merasakan Mahiaddin telah diperlekeh dan direndah-rendahkan di sebalik diberikan jawatan Pengerusi MPN bertaraf menteri oleh Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
Ini kerana, kata mereka, perlantikan Mahiaddin tidak diumumkan sendiri oleh Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Mentero atau Pejabat Perdana Menteri, tetapi hanya oleh Ketua Setiausaha Negara.
Apa kena-mengena KSN dalam perkara tersebut?
Kata beberapa pemimpin Bersatu itu, perlantikan menteri atau mereka yang bertaraf menteri adalah dalam bidang kuasa atau hak prerogatif Perdana Menteri, maka Perdana Menteri atau Pejabat Perdana Menteri yang harus mengumumkannya.
Sebab itu selama ini, sebagaimana perlantikan menteri atau jawatan lain yang bertaraf menteri, ia biasanya diumumkan oleh Perdana Menteri atau Pejabat Perdana Menteri, jelas pemimpin-pemimpin Bersatu itu dengan penuh semangat.
Kata mereka, perlantikan Ahmad Faizal Azumu sebagai penasihat khas bertaraf menteri kepada Perdana Menteri sebelum ini diumumkan sendiri oleh Mahiaddin mengenainya.
Begitu juga dengan perlantikan duta-duta khas Perdana Menteri bertaraf menteri sebelumnya oleh Mahiaddin iaitu Hadi Awang, Tiong King Seng dan Richard Riot, semuanya diumumkan melalui kenyataan media oleh Pejabat Perdana Menteri.
Bahkan ketika Ismail Sabri melantik semula ketiga-tiga mereka itu baru-baru ini, ia juga diumumkan melalui kenyataan media oleh Pejabat Perdana Menteri.
Tetapi, soal pemimpin-pemimpin Bersatu itu, mengapa apabila Mahiaddin dilantik sebagai Pengerusi MPN bertaraf, ia tidak diumumkan oleh Perdana Menteri atau Pejabat Perdana Menteri?
Mengapa KSN yang diminta mengumumkannya?
Kalau pelantikan semua Hadi Awang, Tiong King Seng dan Richard Riot boleh dilakukan melalui kenyataan media Pejabat Perdana Menteri, kenapa perlantikan Mahiaddin tidak boleh dilakukan oleh Pejabat Perdana Menteri juga?
Apakah Mahiaddin lebih rendah nilai dan tarafnya di mata Ismail Sabri berbanding Hadi Awang, Tiong King Seng dan Richard Riot?
Apakah juga semua komputer di Pejabat Perdana Menteri telah rosak sehingga untuk menaip sehelai kenyataan media berkaitan perlantikan Mahiaddin tidak dapat dilakukan?
Atau sebenarnya, tambah mereka lagi, tindakan itu dilakukan kerana Ismail Sabri ingin “main selamat” dan masih dibayangi ketakutan terhadap Najib Razak dan Zahid Hamidi atas perlantikan Mahiaddin itu?
Bagaimanapun kata mereka, jika itu gambarannya, ia bukan saja menunjukkan Ismail Sabri telah memperlekeh dan merendah-rendahkan Mahiaddin sebagai bekas Perdana Menteri dan perlantikannya sebagai Pengerusi MPN itu, malah ia lebih jelas memperlihatkan kegagalan Perdana Menteri sendiri dalam menyerlahkan kewibawaannya.
Bagaimana rakyat boleh berharap beliau mampu melakukan pembaharuan-pembaharuan lain yang lebih besar untuk negara kiranya dalam hal seperti ini pun masih dibayangi sindrom ketakutan yang masih tebal dalam dirinya? –
ShahbudinHusin 07/09/2021.
MENTERI KENA CERDIK LA .....IBU BAPA NAIK RISAU DENGAN VARIAN DELTA YANG AIRBOND
Buka sekolah tahun depan saja, sekarang tumpu vaksin pelajar kelas peperiksaan
September 7, 2021
Murid dan pelajar bukan kelas peperiksaan perlu dibenarkan terus menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sehingga tamat takwim sekolah 2021, kata persatuan ibu bapa dan guru.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hasan berkata Kementerian Pendidikan (KPM) seharusnya memberi tumpuan kepada usaha vaksinasi semua tenaga pengajar dan kakitangan sekolah, berbanding terlalu tertumpu kepada perihal pembukaan sekolah.
“Memandangkan Oktober hanya berbaki beberapa hari saja lagi, dan kes juga masih tinggi, bawa saja sesi pembelajaran secara bersemuka pada tahun depan.
“Sekarang tumpu dahulu vaksinasi untuk komuniti sekolah iaitu guru dan pelajar peperiksaan,” katanya yang mendesak KPM bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memberi vaksin kepada pelajar di sekolah dengan segera.
“Datang ke setiap sekolah, beri mereka vaksin secepat mungkin untuk jadikan sekolah lebih selamat. KPM boleh guna van atau trak untuk kerjasama dengan KKM suntik semua pelajar,” katanya kepada FMT.
Tambahnya, pembukaan sekolah secara berfasa bermula 3 Okt ini juga masih samar dan pihak sekolah serta ibu bapa masih tidak mendapat sebarang maklumat lanjut mengenainya.
“Belum dapat maklumat sepenuhnya mengenai pembukaan berfasa yang diumumkan menteri (Radzi Jidin). Bila Tingkatan 1,2,3,4 yang tidak ambil peperiksaan akan masuk sekolah? Tidak ada tarikh ditentukan lagi setakat ini,” katanya.
Turut menjadi persoalan dalam kalangan komuniti sekolah, katanya, status pelajar yang tinggal di negeri Fasa 1 dan bersekolah di negeri berstatus Fasa 2 dan berikutnya.
“Bagaimana mereka nak hantar anak mereka? Apakah garis panduan yang perlu dirujuk? Sama ada benarkan atau tidak?” soalnya.
Justeru, beliau mendesak agar KPM membentangkan pelan SOP pembukaan sekolah lebih komprehensif selewat-lewatnya dua minggu sebelum sekolah dibuka.
“Ini bagi membolehkan ibu bapa dan guru bersedia mengenai sebarang tindakan atau perubahan yang perlu diambil,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Jidin menegaskan sesi persekolahan secara bersemuka akan tetap dilaksanakan pada 3 Okt ini.
Bagaimanapun, jelas beliau, sesi berkenaan tidak akan melibatkan negeri yang masih berada di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Untuk rekod, negeri-negeri yang masih berada dalam Fasa 1 PPN ialah Kedah, Selangor, Johor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Turut senada dengan PIBGN adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad yang menegaskan sekolah di negeri berlainan fasa tidak memberi sebarang perbezaan jika komuniti itu sendiri tidak lengkap divaksin.
“Tak kiralah sekolah di negeri fasa satu, dua, tiga atau empat. Tak ada beza besar pun antara fasa-fasa ini sekarang. Mereka (pelajar tahun peperiksaan SPM, STPM dan STAM) yang perlu kembali ke sekolah perlu melengkapkan dua dos vaksin.
“Semua rantaian yang berkaitan dengan pembukaan sekolah iaitu guru, pekerja pejabat sekolah, pekerja kantin, pengawal keselamatan dan pemandu bas juga perlu lengkap dua dos sebelum dibenarkan bertugas,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata murid dan pelajar bukan peperiksaan dicadangkan terus menjalani PdPR sehingga akhir tahun atau sehingga keadaan benar-benar terkawal.
“Murid lain (bukan tahun peperiksaan) boleh teruskan dengan PdPR sehingga hujung tahun ini atau sehingga kes baru Covid turun ke angka yang dianggap selamat dan terkawal oleh KKM di negeri berkaitan.
“Bagi guru yang berkeras tidak mahu divaksin, mereka boleh diarahkan mengajar secara PdPR pada pelajar bukan tahun peperiksaan,” katanya.
Sebelum ini, Radzi mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka yang sepatutnya dibuka pada 1 Sept lalu, ditangguhkan ke 3 Okt ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)