Penipuan pilihan raya, Anwar tunjuk bukti kepada PM, SPR


Wan Nordin Wan Yaacob
Wed | Nov 28, 07 | 1:24:29 pm MYT

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Hrkh) - Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim hari ini mengecam kepimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menafikan berlakunya penipuan dalam perjalanan pilihan raya di negara ini.

Sambil melaungkan kekecewaan terhadap pemimpin Islam Hadhari itu beliau menyatakan bahawa penafian berterusan ini hanya akan menjejaskan imej Malaysia.

Anwar berkata demikian ketika mengadakan sidang media di pejabatnya di Petaling Jaya hari ini.Turut serta ialah, Pengerusi Mafrel, Abdul Malik Hussin dan Pegawai Khas Anwar, Din Merican.

Ini buktinya!

Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) mengemukakan dokumen-dokumen yang disebut sebagai bukti yang baginya 'mustahil' bagi SPR dan PM tidak mengetahuinya.

Anwar mendakwa telah menyerahkan satu surat kepada Perdana Menteri pada Jun 2006 berhubung bukti penyelewengan pilihan raya beserta laporan 'Sham Democracy' yang dibuat KeADILan mengenai penipuan pilihan raya 2004.

Laporan tersebut disokong dengan bukti yang telah pun ada dalam pengetahuan SPR sendiri seperti daftar pemilih yang tidak bersih dan tempoh berkempen pada pilihan raya 2004 yang paling pendek dalam sejarah pilihan raya di negara ini.

Anwar melampirkan bukti-bukti yang baginya adalah satu alasan kukuh SPR dan kerajaan Abdullah Ahmad Badawi perlu melihatnya dengan serius dan melakukan perubahan segera.

Antara bukti yang dinyatakan Anwar ialah :

1 : Pada tahun 1999, SPR mendakwa mereka tidak 'mempunyai masa yang mencukupi' untuk meluluskan daftar pengundi yang mendaftar pada Mei untuk pilihan raya yang berlansung pada November.Kelulusan katanya mengambil masa tiga bulan.Ini jelas sekali satu usaha yang terancang untuk menafikan seramai 680,000 pengundi baru ketika era reformasi (1998-1999).

2 : Pada tahun 2004, daerah mengundi tidak wujud ditemui di Parlimen Gombak, di mana wujud dua daerah mengundi dengan nama yang sama (Kemensah 098/18/04) tetapi memberikan dua keputusan yang berbeza.

3 : Pada tahun 2004 juga, rekod mencatatkan Ali Bin Omar (No.K/P 280903-02-5057), iaitu bapa kepada pemimpin KeADILan, Azmin Ali yang telah meninggal dunia pada tahun 2001 hadir mengundi pada tahun 2004 dengan mengundi BN.

4 : Pada pilihan raya 2004 juga, 37.6 peratus daripada pengundi di kawasan Parlimen Lembah Pantai didapati mempunyai alamat yang tidak boleh dikesan.Menurut daftar pengundi seramai 141 pengundi mendaftar di satu alamat iaitu di sebuah kedai kecil beratap zink di lot 4742 Bukit B, Kampung Kerinchi.

5 : Pada pilihan raya kecil Dun Ijok, sebanyak 142 kertas undi tidak dipulangkan dari Peti Undi 4 daerah mengundi di Pekan Batang Berjuntai Bestari Utara.

6 : Oktober 2007, di kawasan Parlimen Ipoh Timur yang merupakan kubu kuat DAP, didapati wujud 8463 pengundi baru dalam kawasan itu dalam masa hanya tiga bulan sahaja.Sebelum ini Parlimen tersebut mempunyai 48,000 pengundi berdaftar dan pembangkang memenanginya dengan majoriti 9774 undi.

SPR dan PM tahu?

Bagi Anwar, semua bukti ini sebenarnya diketahui SPR dan pembangkang antaranya PAS, DAP dan KeADILan telah beberapa kali menyerahkan laporan penyelewengan kepada SPR.

Namun kata Anwar, semua laporan itu tidak dijawab oleh SPR sebaliknya Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rahsid Abdul Rahman menyatakan bahawa 'tiada bukti'.

Menurut Anwar, 100,000 rakyat baru sahaja melepaskan rasa tidak puas hati mereka pada 10 November lalu bagi membantah penyelewengan pilihan raya, tetapi kerajaan masih meneruskan reaksi angkuh mereka meneruskan penipuan yang ada.

"Kami menuntut penilaian penuh dasar dan prosedur SPR agar mereka menepato tahap ketelusan antarabangsa sebelum berlangsungnya pilihan raya umum akan datang," kata Anwar.

ISA zalim, kata Anwar

Dalam hal lain, Anwar menyelar kenyataan PM bahawa kerajaan tidak teragak-agak akan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kepada peserta himpunan aman.

Baginya, seorang pemimpin Islam Hadhari tidak seharusnya berkata dan bersikap demikian dalam melayani tuntutan dari pelbagai pihak termasuk golongan pembangkang atau minoriti.

Baginya, penggunaan ISA jelas sekali menzalimi rakyat, dan ia telah terbukti dalam kes saman Abdul Malik Hussin (bekas tahanan ISA yang menang RM2.5 juta) bahawa ISA digunakan dengan cara yang paling kejam sekali.

Sebagai seorang pemimpin negara dan Islam Hadhari, PM seharusnya mendengar dan menghalusi tuntutan rakyat dan Islam sendiri tidak menegahnya.

Dalam hal perhimpunan aman pula, Anwar menyelar sikap PM yang tidak membenarkan perhimpunan aman diadakan di negara ini.

Baginya himpunan sedemikian rupa adalah satu amalan biasa di negara lain yang mengamalkan demokrasi, kerana ia adalah hak paling 'basic' kepada rakyat untuk menyatakan pandangan.

Bagaimanapun di negara ini ia tidak diamalkan, sebaliknya hak berhimpun ini boleh hanya kepada Umno sahaja, kerana Umno telah beberapa kali mengadakan himpunan memprotes pelbagai isu. - mks.


GMI dakwa wujud tempat khas seksa tahanan ISA

Frame1

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan menyiasat dakwaan bahawa tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diseksa di tempat khas semasa di dalam tahanan.

Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Khalid Ibrahim berkata, mangsa tahanan ISA perlu memberikan bukti kewujudan tempat khas untuk menyeksa mereka.

"Ahli Suhakam tidak pernah memasuki bilik yang dikatakan menjadi tempat tahan diseksa itu. Kita hanya melihat secara kasar sahaja.

"Bagaimanapun, Suhakam menentang sebarang bentuk penyeksaan ke atas tahanan ISA, malah menutup mata mereka semasa soal siasat sudah menjadi satu kesalahan," katanya di pejabatnya di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan kewujudan bilik khas untuk menyeksa tahanan yang ditimbulkan oleh seorang isteri tahanan ISA.

Sebelum itu, Khalid menerima memorandum dari Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA, Syed Ibrahim Syed Noh (kiri) di pejabat Suhakam di ibu negara hari ini.

Memorandum tersebut meminta Suhakam menyiasat mengenai kewujudan bilik menyeksa tahanan ISA dan terhadap anggota polis yang melakukannya.

Pindah tahanan

Beliau berkata, Suhakam akan menghantar surat kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan supaya mengambil tindakan terhadap anggota polis yang mendera tahanan ISA.

Khalid berkata, jika tiada bukti, Suhakam sukar untuk menjalankan siasatan kerana bukan semua tempat tahanan yang boleh diperiksa oleh suruhanjaya itu.

"Untuk membawa kes ini ke mahkamah tentu sekali memerlukan bukti dan ini yang diperlukan oleh Suhakam," katanya lagi.

Khalid berkata, Suhakam juga boleh memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan pendengaran awam apabila mangsa dicedera atau disiksa semasa dalam tahanan.

Mengenai dakwaan bahawa tahanan ISA yang sakit dibebaskan, pesuruhjaya Suhakam itu mengakui kebenarannya.

Sementara itu, Khalid berkata, Suhakam akan menyiasat laporan bahawa tahanan di Penjara Simpang Rengam, Johor telah dihantar ke Kem Tahanan Kamunting.

Beliau berkata, pihaknya ingin mengetahui posedur yang digunakan kerana tahanan di Simpang Rengam tidak sama dengan tahanan ISA Kamunting.

"Ada perbezaan tahanan yang ditahan di bawah Ordinan Darurat di Simpang Rengam dengan tahanan ISA di Kamunting," katanya lagi.


Bekas hakim mendoakan titik perubahan...

Frame1

Syed Idid Syed Abdullah Aidid - bekas Hakim Mahkamah Tinggi yang mendedahkan rasuah dalam badan kehakiman pada tahun 1996 - berkata beliau 'agak terperanjat' dengan keputusan kerajaan untuk menubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat klip video Lingam.





















Dalam ceramahnya mengenai 'Badan Kehakiman Malaysia Hari Ini", beliau berkata, isu-isu yang ditimbulkan dalam klip video tersebut akan "kelip-kelip mata, hilang begitu saja".


Memetik tulisan dalam blog Raduan Md Taib, Syed Ahmad Idid berkata, sewaktu kempen pilihanraya, isu-isu kehakiman tidak menarik minat pengundi luar bandar, yang merupakan penyokong terbesar Umno, dan akan terus memberi sokongan kepada pemerintah.

Oleh itu, katanya, kerajaan tidak merasakan pentingnya untuk menangani segera isu tersebut.

Beliau bagaimanapun berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi nampak serius walaupun berdiam diri mengenai perkara tersebut.

Klip video selama lapan minit itu menunjukkan peguam kanan Datuk VK Lingam (foto) berbual melalui telefon, didakwa dengan seorang hakim kanan, mengenai pelantikan hakim-hakim yang 'sehaluan'.

“Marilah kita berharap dan berdoa agar akan wujud titik perubahan," kata Syed Ahmad Idid kepada para hadirin di Wisma Wisma Bernama di Kuala Lumpur malam tadi. Ceramah tersebut adalah sebahagian daripada siri ‘Straight Talk’ anjuran Persatuan Konsultan Perhubungan Awam Malaysia.

Walaupun ditanya berkali-kali, Syed Ahmad Idid bagaimanapun enggan memberi komen secara mendalam mengenai suruhanjaya diraja tersebut yang bidangkuasanya belum lagi diumumkan.

Beliau hanya berkata, semua orang harus menunggu pengumuman mengenainya.

Kabinet telah menyerahkan kepada perdana menteri untuk mengumumkan butir-butir lanjut, tetapi pihak pembangkang dan pertubuhan sivil telahpun membuat syor-syor mengenai siapa yang harus dilantik dan tidak harus dilantik menganggotai suruhanjaya tersebut.

Dalam hubungan itu, Syed Ahmad Idid merujuk kepada senarai yang disediakan oleh Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam) mengenai individu yang menurutnya tidak sesuai seperti pesuruhjaya, dan bertanya "siapa lagi yang tinggal?".

Senarai tersebut mengandungi:

Ketua Hakim Negara, dahulu dan sekarang.

Hakim bersara yang berkhidmat di bawah ketua hakim tertentu.

Hakim yang sedang berkhidmat.

Mereka yang rapat dengan perdana menteri sekarang dan sebelumnya.

Mereka yang dianggap ada masalah dengan kerajaan dan/atau pentadbiran kehakiman sejak tahun 1988.

Anggota tribunal tahun 1988 yang memecat Ketua Hakim ketika itu, Tun Salleh Abas

Ditanya sewaktu sesi soal-jawab sekiranya beliau berminat untuk menganggotai suruhanjaya diraja itu, Syed Ahmad Idid menolaknya dengan alasan "saya perlu mengisytiharkan bahawa saya ada kepentingan tertentu... itu agak tidak adil".

Syed Ahmad Idid, 69, juga enggan memberi komen tentang perhimpunan Bersih dan Hindraf baru-baru ini, dan "Perarakan untuk Keadilan" oleh Majlis Peguam September lalu, kerana menyifatkan dirinya tidak ada kuasa untuk berbuat demikian.

Integriti kehakiman

Beliau bagaimanapun menggesa para peguam, hakim dan rakyat untuk tampil menangani isu mengenai etika dan integriti kehakiman.

Menurutnya, 'kereputan' dalam badan kehakiman boleh dibersihkan jika para hakim dilatih untuk membuat keputusan dan sekiranya separuh daripada hakim-hakim itu dipilih dari kalangan anggota Majlis Peguam.

Syed Ahmad Idid juga menegaskan bahawa para hakim harus menulis penghakiman mereka. Menurutnya, tidak perlu menulis penghakiman sehingga 200 muka surat yang mengolak semula bukti-bukti yang dikemukakan - tetapi para hakim perlu berfikir dan membuat keputusan.

Para hakim, tambahnya, bertanggungjawab untuk mempertahankan dan memelihara nama baik badan kehakiman dan negara, dan mesti mempunyai ciri-ciri dan kualiti yang tidak ramai boleh mendakwa memilikinya.

Syed Ahmad Idid juga menasihatkan Peguam Negara supaya tidak bimbang sekiranya pihak pendakwa kalah, tetapi sebalik belajar daripada kesilapan.

Jika keputusan kehakiman diterima, katanya, maka para hakim akan merasa lebih selesa untuk membuat penghakiman yang independen.

Mengenai krisis kehakiman pada tahun 1988 dan perletakan jawatannya lapan tahun kemudiannya, Syed Ahmad Idid menyebut tentang kesukaran untuk melapor dan menyiasat skandal-skandal rasuah.

“Kesukaran untuk mendapatkan bukti dan kebenaran...siapa yang berani atau mahu mengaku?".

Pada tahun 1996, Syed Ahmad Idid menulis laporan setebal 33 muka surat termasuk dakwaan terhadap 12 hakim membabitkan 39 kes rasuah, 21 kes salahguna kuasa, 52 kes salahlaku, tidak bermoral dan perkara yang tidak betul.

Selepas siasatan yang dijalankan oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mohtar Abdullah - laporan tersebut dianggap sebagai 'surat layang' yang tidak mempunyai asas untuk dijalankan pendakwaan.

Akibatnya, Syed Ahmad Idid telah dinasihatkan meletakkan jawatan, tetapi beliau tidak menyesal dengan tindakannya itu.

Beliau turut mengulas laporan media arus perdana berhubung perletakan jawatannya itu.

"Kira-kira sebulan sebelum saya meninggalkan Mahkamah Tinggi, media di Malaysia yang mendakwa bebas, telah menyiarkan pembohongan dan maklumat yang salah.

"Sehinggakan sebuah akhbar harian melaporkan bahawa saya telah melarikan diri ke London sedangkan pada pagi itu saya sedang makan 'nasi lemak' di Paramount Gardens (di Petaling Jaya)," katanya.
Berita asal


DAULAT TUANKU DAULAT TUANKU DAULAT TUANKU


Al Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah

Seri Paduka Baginda
Yang di-Pertuan Agong ke-XIII


Pemerintahan

13 Disember 2006

Pertabalan

26 April 2007

Negeri

Terengganu

Diputerakan

22 Januari 1962


Kuala Terengganu, Terengganu

Pendahulu

Tuanku Syed Sirajuddin

Pengganti


Raja Permaisuri Agong

Tuanku Nur Zahirah


TAG 2378:
20 Tahun Terkejut Beruk
(
20 years of shellshock)
Oleh Raja Petra Kamarudin
- Laman M@RHAEN




Saya ada satu cadangan kepada Menteri Pelajaran. Kalau anda mampu melakukannya saya akan lupakan kisah anda menggoyang-goyang keris, ataupun mengucupnya. (Saya fikir orang China tidak akan maafkan anda – dan ini adalah satu kisah lain pula). Cadangan saya ini ialah agar Kementerian Pelajaran menjadikan satu kemestian agar semua pelajar hafal keseluruhan Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Ini bererti bahawasanya Perlembagaan Malaysia seharusnya menjadi satu perkara wajib, dan sesiapa yang gagal ujian Perlembagaan harus gagal keseluruhan peperiksaannya.

Saya terkejut melihatkan setiap peguam yang berada di mahkamah untuk berhujah kes melibatkan Perlembagaan negara seolah-olah tidak memahami Perlembagaan negara kita. Ada ketikanya saya terpaksa mengingatkan mereka tentang artikel tertentu dalam Perlembagaan itu dan tolong menterjemahkan intipatinya. Saya bukanlah seorang peguam dan tidak akan berlagak seperti demikian - walaupun demikian saya lebih percaya diri sendiri berbanding ramai peguam lain ketika saya berhujah membincangkan kes saya dalam beberapa soal jawab dengan polis mengikut Seksyen 112 ketika saya dikenakan dahulu.

Untuk melencung sedikit, para editor akhbar perdana (bererti akhbar yang dimiliki oleh parti pemerintah) harus juga dimestikan mengambil satu kursus ringkas tentang Perlembagaan. Walaupun Artikel 32(2) menyebut: Isteri Yang DiPertuan Agong harus diberikan gelaran Raja Permaisuri Agong dan Baginda seharusnya diberi keutamaan selepas Yang DiPertuan Agong dan Baginda seharusnya diberi keutamaan selepas Yang DiPertuan Agong berbanding orang lain di Persekutuan, pihak akhbar masih lagi bertegas memberikan gelaran ‘wanita pertama’ kepada isteri Perdana Menteri.

Dengan demikian, Raja Permaisuri Agong sesungguhnya adalah “Wanita Pertama” Itulah yang disebut oleh Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan eloklah kita akur dengan Perlembagaan Malaysia dan bukan dengan Perlembagaan Amerika Syarikat. Kita bukannya negara ke-52 dalam Persekutuan Amerika Syarikat, walaupun kita benarkan Abdullah Ahmad Badawi terus menjadi Perdana Menteri dan perkara ini terus berlaku dahulu (itupun kalau kita tidak menjadi Wilayah Singapura, terlebih dahulu,.)

Ia harus menjadi satu kemestian kepada SEMUA rakyat Malaysia untuk membaca, menghafal dan memahami Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Dengan hanya membaca komen di Malaysia Today memberikan kita bahan bukti yang memadai untuk membuktikan bahawa secara umumnya rakyat Malaysia memang tidak begitu arif tentang Perlembagaan negara sendiri. Mereka membuat banyak komentar yang mendedahkan kedunguan itu. Cuba lihat satu ‘kenyataan rasmi’ yang dibuat oleh seorang yang kononnya ‘jurucakap rasmi’ Istana Negara. “Kenapakah Agong tidak memecat beliau?” . “Kenapakah Agong tidak membuat pengumuman rasmi menyangkal kenyataan beliau?” “Kenapakah Agong tidak menerima secara peribadi Memorandum Rakyat pada 10 November 2007?” dan banyak lagi, adalah beberapa contoh betapa dungunya rakyat Malaysia terhadap protokol yang sempurna dan bagaimana Agong seharusnya menjalankan peranan mengikut Perlembagaan negara.

Rakyat Malaysia juga semacam tidak arif mengenai sistem Westminster diamalkan dalam Parlimen Malaysia. Sepatutnya Malaysia mempunyai empat cabang kerajaan. Kita memiliki cabang Eksekutif, Badan Kehakiman, Perundangan dan Majlis Raja-raja dan setiap cabang itu seharusnya berfungsi secara bersendirian tetapi selari antara satu sama lain. Walaupun cabang perundangan mempunyai peranan melaksanakan setiap undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, ia juga memainkan peranan menguatkuasakan undang-undang itu bukan semata-mata melaksanakan apa yang termaktub dalamnya.

Cabang Kehakiman mengatur hukum undang-undang, Parlimen menterjemahkan undang-undang, Eksekutif melaksanakan undang-undang dan Majlis Raja-Raja adalah pelindung dan memegang amanah Perlembagaan Malaysia dan menentukan bahawasanya undang-undang itu diluluskan tanpa mencabul Keluhuran Perlembagaan. Ia boleh membuat ketentuan berlawan dengan yang tersirat dalam undang-undang seandainya kesan undang-undang itu mengatasi apa yang tersurat dalamnya.

Mari kita lihat satu contoh, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah dibentangkan dalam Parlimen oleh Tun Razak pada 1960. Ia menjadi undang-undang kerajaan secara khususnya ia adalah bertujuan melawan Keganasan Komunis. Sejak zaman Komunis (Darurat) ditamatkan secara rasminya dengan berlakunya satu Perjanjian Damai antara Parti Komunis Malaya (CPM) dan kerajaan Malaysia di Haatyai, Thailand, Akta itu (ISA) sepatutnya sudah dianggap tidak berguna lagi.

Kini, ada segelintir hakim sudahpun membuat ketentuan bahawa menahan terroris bukan–Komunis (CTs) mengikut ISA adalah tidak menepati hukum undang-undang dan mereka sudahpun membuat pengadilan bahawasanya penahanan itu haram malahan mengikut pengadilan mereka ada hakim yang mencadangkan agar ISA dikaji semula ataupun dimansuhkan. Hakim-hakim ini telah membuat pengadilan mereka bukan berasaskan apa yang tersurat dalam undang-undang tetapi apa yang tersirat di dalamnya. Akhirnya semua hakim ini telah diketepikan dan ‘disejuk-beku’ sedangkan setakat ini ada di kalangan mereka sebenarnya layak menjadi Ketua Hakim Negara disebabkan pengalaman dan kekananan (seniority) jawatan mereka.

Apakah yang kita pelajari daripada sini? Pertama, para hakim yang membuat ketentuan dengan hati nurani dan mengikut tafsiran sebenar undang-undang dan mematuhi Perlembagaan Persekutuan telah pun dikenakan hukuman – kerana itu tidak ramai hakim yang berani mengambil pendirian yang bebas. Kedua, badan kehakiman (judiciary) tidak lagi menjadi cabang bebas kerajaan tetapi merupakan satu lagi sayap kerajaan yang memerintah. Dengan itu, cabang kehakiman yang sepatutnya menjadi salah satu daripada empat cabang kerajaan, sudah menjadi lumpuh (ataupun mati pucuk). Kesannya, Eksekutif merupakan yang paling berkuasa dan cabang kehakiman hanya menjadi hamba sahayanya.

Begitu juga dengan cabang Perundangan. Anggota Parlimen tidak dibenarkan mewakili para pengundi yang meletakkan mereka di jawatan itu. Kalau ada Anggota Parlimen yang membuang undi kerana desakan hati nuraninya dan ternyata menyebelahi pihak pembangkang, tindakan disiplin diambil ke atasnya Masih ingatkah anda dengan kes S. Sothinathan? Bagaimana pula dengan episod Undang-undang Keluarga Islam yang penuh kontroversi tahun lalu di mana Nazri Aziz memberi ingatan kepada Anggota Parlimen daripada parti pemerintah dan Senator lantikan kerajaan bahawa adalah menjadi tanggungjawab mereka mengundi mengikut kehendak parti pemerintah? Dalam istilah Bahasa Melayu perkataan ‘Members of Parliament’ dan ‘State Assemblymen’ ialah Wakil Rakyat. Sesungguhnya mereka hanya merupakan Wakil Parti, bukannya Wakil Rakyat, sedangkan ada segelintir seperti Anggota Kabinet, khususnya Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, adalah Wakil Pos kerana mereka menang pilihan raya disebabkan undi pos.

Jelas sudah, betapa badan Kehakiman dan Perundangan tidak lagi merupakan cabang kerajaan yang sah. Cabang Eksekutif membuat keputusan atas segala-galanya. Ini bererti bahawa Eksekutif, Kehakiman dan Perundangan telah dicantum menjadi satu. Hanya tinggal majlis Raja-Raja. Seandainya kuasa Majlis Raja-Raja turut jatuh ke tangan cabang Eksekutif, bererti Malaysia akan mengecut kepada satu cabang kerajaan sahaja.

Itu sebabnya adalah penting agar rakyat Malaysia memahami peranan Raja-Raja. Kalau cabang kehakiman dan Perundangan sudahpun kehilangan kebebasannya, Kedaulatan Raja-raja masih memiliki kuasa tertentu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebagai contoh, wujudnya kepercayaan bahawa Pengerusi ataupun Presiden parti politik yang menang paling banyak kerusi Parlimen, secara automatik menerima tawaran menjadi Perdana Menteri. Ini tidak benar. Agong yang menentukan siapa sepatutnya menjadi Perdana Menteri.

Kepercayaan kebiasaan yang kedua ialah bahawasanya Agong hanya boleh bertindak mengikut nasihat Perdana Menteri. Ini sememangnya tidak benar. Dan adalah tidak benar sama sekali apabila Perdana Menteri pergi menghadap Agong meminta Parlimen dibubarkan untuk diadakan pilihan raya umum yang baru, Agong mesti bersetuju. Agong boleh menolak permintaan Parlimen dibubarkan seandainya Baginda mempunyai sebab berbuat demikian. Sebagai contoh, seandainya Baginda merasakan pilihan raya itu nanti akan berbaur penipuan. Malahan Agong boleh bertindak menubuhkan satu Suruhanjaya DiRaja (itu sebabnya ia disebut DIRAJA) untuk mengaudit keseluruhan sistem pilihan raya dan mencadangkan perubahan ataupun reformasi.

Sesungguhnya Malaysia tidak mempunyai empat cabang dalam kerajaannya. Memanglah, Kehakiman dan Perundangan sudah pun dikecutkan menjadi tukang cop ataupun Pak Angguk sahaja. Akan tetapi institusi DiRaja bukanlah Tukang Angguk walaupun ia kelihatan seolah-olah tempat meletakkan cop-getah (rubber stamp).

Harus difahami, Institusi DiRaja kelihatan semacam tukang angguk kerana Krisis Perlembagaan 20 tahun dahulu di mana Raja-Raja telah diberitahu dengan tegasnya bahawa rakyat Malaysia secara umumnya mahu sistem DiRaja itu dimansuhkan dan Malaysia ditukar menjadi sebuah Republik. Hanya UMNO yang mempertahankan sistem DiRaja itu, demikian yang dikelentung oleh UMNO kepada Raja-Raja. Kononnya, tanpa UMNO institusi DiRaja di Malaysia sudah masuk dalam lipatan sejarah seperti yang terjadi di India dan Indonesia. Dengan itu, seandainya institusi DiRaja menentang UMNO, bererti raja-raja akan disingkirkan dan Perdana Menteri akan bertindak menjadi Presiden Republik Malaysia.

Inilah yang mengejutkan Raja-Raja. Walaupun 20 tahun sudahpun berlalu, Raja-Raja masih terkejut beruk. Inilah sebabnya kita lihat wujudnya keengganan di pihak Raja-Raja untuk ‘campurtangan’ dalam pentadbiran negara ini, seperti yang kerap dilalakkan oleh UMNO secara berulang-ulang dalam usaha mengkerdilkan Raja-Raja.

Akan tetapi, sebenarnya tidak timbul kisah campurtangan. Raja-Raja bukannya campurtangan. Rakyat Malaysia bukannya mahukan raja-raja campurtangan. Institusi raja-raja adalah merupakan salah satu daripada empat cabang kerajaan yang sah dan bebas. Dua cabang lagi, Kehakiman dan Perundangan sudah pun dimandulkan dan tidak berguna lagi. Jadi kita cuma mempunyai satu cabang sahaja lagi yang tinggal yakni institusi raja-raja yang boleh memainkan peranan imbang dan periksa terhadap cabang eksekutif.

Kita bukannya meminta raja-raja bertindak lebih daripada apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita hanya meminta raja-raja lakukan apa yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan. Kita hanya minta raja-raja lakukan apa yang sememangnya sah untuk mereka lakukan.

Saya telah diberitahu bahawa institusi raja-raja di negara ini memerlukan belanja sekitar sebanyak RM40 juta setahun. Jika benarlah perkara ini saya fikir itu bukannya satu masalah, seandainya raja-raja melakukan tugas setimpal dengan apa yang dibayar kepada mereka. Kita mempunyai kira-kira 1,000 wakil rakyat (Ahli Parlimen, Senator dan Ahli Dewan Undangan Negeri) yang menyebabkan negara berbelanja lebih RM40 juta. Ini tidak termasuk bayaran ‘bawah meja’ (wang sogok) yang menyebabkan negara kerugian berbilion ringgit. Jadi, RM40 juta adalah dalam kemampuan kita kalau raja-raja menjalankan tugas mereka. Kalaulah diperkenalkan perubahan, yang seterusnya akan mengurangkan salah guna kuasa dan korupsi, hanya satu kontrak kerajaan yang dilaksanakan dengan sempurna boleh menjimatkan RM40 juta – yang tentunya memadai untuk mengekalkan institusi raja-raja. Ini bererti institusi raja-raja boleh membantu menyediakan kos menyara kehidupannya dengan melakukan perubahan terhadap cara negara ini membelanjakan duitnya.

Sepuluh orang raja (sultan) telah mengangkat sumpah untuk bersemayam di takhta masing-masing. Mereka telah bersumpah dengan nama Allah agar melaksanakan tugas yang diamanahkan. Tugas mereka tentunya kepada Allah dan bukannya kepada UMNO Memanglah UMNO pernah mengugut mahu menghapuskan institusi raja-raja. UMNO telah beritahu raja-raja bahawa hanya UMNO yang mahu mengekalkan sistem beraja sedangkan rakyat yang bukan-UMNO mahu sistem DiRaja itu dimansuhkan dan Malaysia bertukar menjadi sebuah republik. Sebenarnya ini bukan boleh dilakukan. Perlembagaan Malaysia tidak memberi peruntukan untuk perkara itu dibenarkan. Malahan, cakap-cakap mahu menghapuskan sistem beraja di negara ini adalah satu jenayah yang masuk di bawah Akta Hasutan Malaysia. Anda boleh disumbat dalam penjara hanya dengan berkata-kata perkara itu. Kalau anda mencubanya anda boleh dikenakan tuduhan derhaka terhadap Raja dan boleh dijatuhkan hukum gantung sampai mati kalau didapati bersalah. Ingatkah anda apa yang terjadi kepada kumpulan Al-Maunah?

Barisan rakyat ‘Gelombang Kuning’ pada 10 November 2007 sesungguhnya adalah merupakan tindakan rakyat yang melampaui mahukan perubahan dalam sistem pilihan raya. Ia bertujuan menghantar satu mesej kepada Agong bahawasanya rakyat adalah di belakang Baginda. Rakyat Malaysia tidak mahu Malaysia bertukar menjadi satu Republik. Ini bererti empat cabang dalam kerajaan akan mengecut menjadi hanya tiga cabang sahaja. Setakat ini pun ketiga-tiga cabang itu sudahpun mengecut menjadi satu sahaja. Cabang Eksekutif membuat keputusan apa yang patut dilaksanakan oleh Kehakiman dan Perundangan. Kenapa pula kita mesti mahukan institusi DiRaja itu dihapuskan dan memberikan kuasa yang mutlak kepada Eksekutif?

Rakyat sudahpun bersuara pada 10 November 2007. Mesej yang disuarakan ialah rakyat mahukan Agong melaksanakan tugas Baginda mengikut gaji yang dibayar untuk melaksanakan tanggungjawab beliau dan tidak lebih daripada itu. Institusi raja-raja mesti tunjukkan kepada rakyat bahawasanya ialah cabang keempat dalam kerajaan. Institusi raja-raja mesti buktikan kepada rakyat bahawa ia masih relevan dan diperlukan. Memanglah, UMNO akan lontarkan ugutan bahawasanya rakyat mahukan institusi raja-raja dimansuhkan. Itu yang dibuat oleh UMNO 20 tahun dahulu dan institusi raja-raja masih terkejut beruk lagi. Akan tetapi itu kisah 20 tahun dahulu. Ketika itu rakyat beranggapan bahawa kerajaan sedang berfungsi. Sekarang ini kerajaan tidak berfungsi lagi. Empat cabang kerajaan sudah tidak wujud lagi. Hari ini, Malaysia sudah mengecut menjadi dua cabang sahaja, Eksekutif dan Institusi raja-raja.

Kita tidak ingin melihat Institusi raja-raja menjadi Eksekutif. Kita mahu kekalkan empat cabang dalam kerajaan. Kita hanya mahukan institusi raja-raja mengekalkan kembali empat cabang kerajaan seperti mana ia dilahirkan dahulu. Itulah peranan institusi raja-raja. Institusi raja-raja bukannya diminta mentadbir negara ini. Institusi raja-raya diminta mengembalikan apa yang merupakan satu sistem yang pincang.

Kita tentu akan merasa bangga mengekalkan institusi raja-raja itu walaupun kosnya mencecah RM50 juta. Wang sejumlah RM50 juta bolehlah dikatakan amat murah kalau dibandingkan dengan berbilion ringgit yang kita rugi kerana sistem kerajaan yang pincang. Memanglah kerja-kerja mengaudit itu memerlukan wang. Setiap pengarah syarikat akan memberitahu anda perkara ini. Tetapi, ‘juruaudit’ merupakan belanja yang penting untuk menjaga kekayaan negara ini.

Itulah peranan institusi raja-raja di negara ini yang merupakan cabang keempat dalam kerajaan kita.

- Raja Petra Kamarudin

UBAH SEBELUM PARAH
UBAH DEMI MARUAH

28.11.2007 - Terjemahan marhaintua (MT-SPAR)
(suntingan M@RHAEN - Emel:
marhaen@gmail.com/ reformasi@gmail.com)