ULASAN: TPPA yang merupakan sebuah perjanjian perdagangan yang kini sedang diteliti oleh Malaysia mempunyai 30 bab. Ianya bukan setakat sebuah perjanjian perdagangan, tetapi lebih merupakan sebuah perjanjian yang ingin menjamin hak pemilik modal, pelabur kapitalis dan pemilik harta intelek (iaitu syarikat korporat besar dari negara-negara dunia pertama) .
Seperti mana yang dinayatakan oleh Nizam Mahsar dari MTEM bahawa “Isu Hak Cipta memainkan peranan yang penting dalam pendidikan. Setiap hari, bahan-bahan pendidikan seperti buku, CD, internet dan program komputer digunakan untuk menyampaikan ilmu kepada jutaan pelajar di negara ini dan juga memastikan bahawa mereka boleh mendapatkan akses kepada pengetahuan dan maklumat dengan cara yang mudah.
Jutaan rakyat Malaysia bergantung kepada sumber-sumber ilmu yang diimport dan kandungan bahan-bahan ini juga sudah pun dilindungi oleh Akta Hak Cipta 1987.”
Tetapi, pihak pemilik hak milik dan korporat , tidak puas hati dengan akta yang kita sudah ada, bahkan ingin mengetatkannya lagi dari segi penguat kuasaan dan tempoh .
Kini tempoh hak milik intelek ingin ditambahkan dari lima puluh tahun (50) ke tujuh puluh tahun (70) selepas kematian pengarang buku tersebut dalam TPPA ini. Maksudnya, harga buku rujukan para pelajar tempatan akan kekal tinggi , menghalang ianya dicetak semula oleh pihak ketiga dan dijual dengan harga yang lebih mampu.
Jenayah fotostat !
Tambahannya pula TPPA seolah –olah menjadikan seseorang yang mencetak semula buku atau fotostat buku apabila karya tersebut masih berada dalam tempoh hak milik itu sebagai seorang penjenayah berat.
Walaupun para pelajar atau pendidik hanya fotosat buku (atau sebahagian daripadanya) untuk tujuan kegunaan sendiri atau kelas, dan bukannya untuk dijual kepada orang ramai (komersial),TPPA mengkehendaki pihak kerajaan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pelajar atau pendidik ini .
Teks Perjanjian TPPA menyatakan seperti berikut;
- Mengenakan hukuman penjara terhadap pihak yang melakukannya
Article 18.77 (1): Each Party shall provide criminal procedures and penalties in cases of wilful copyright piracy.
Article 18.77 (6)(a): Each Party shall provide penalties that include sentences of imprisonment as well as monetary fines sufficiently high to provide a deterrent to future acts of infringement.
- Mengehendaki kerajaan semua 12 negara terlibat menggubal undang-undang untuk merampas dan memansuhkan alat-alat yang dipakai untuk buat fotokopi.
Article 18.77 (6)(c): Each Party shall provide for the seizure of suspected pirated copyright goods and the implements used in the commission of the alleged offence.
Article 18.77 (6)(e): Each Party shall provide for the authority to order the destruction of pirated copyright goods and the implements used in the commission of the offence.
Maka jelas bahawa para pelajar .pendidik dan juga pustakawan yang fotostat hasil karya orang lain untuk tujuan menyampaikan ilmu akan menghadapi risiko dihadapkan ke mahkamah dan boleh didenda dan dipenjara bagi kesalahan melanggar undang-undang hak cipta dan penggunaan harta intelek tanpa kebenaran khusus, walaupun bukan untuk pulangan komersial/kewangan.
Hakcipta diniagakan ?
Selain daripada peruntukkan yang dituntut oleh TPPA, kita juga perlu buka minda kepada pelbagai kemungkinan penyalahgunaan yang akan berlaku jika dibenarkan TPPA ini .
‘Copyright’ terhadap buku mungkin boleh dipajak ataupun dijual kepada pihak ketiga yang akan menikmati segala hak daripada ‘Copyright’ itu.
Wujudnya kemungkinan besar bahawa Dana Pelabuhan Asing ‘Vulture Funds’ akan membeli hakcipta ‘Copyright’ sejumlah buku teks untuk beberapa bidang pelajaran daripada pengarang asal. Setelah memperolehi hak cipta untuk karya tersebut mereka boleh menubuhkan sebuah bisnes francais kedai fotostat yang menawarkan perkhidmatan fotostat.
Bisnes francise ini boleh pula mengutip royalti dengan menyewa francais fotostat buku-buku ini ke pihak-pihak seperti ‘along’ di negara-negara lain. Pihak ‘along’ yang menyewa francais ini boleh membuka kedai-kedai fotokopi di mana buku-buku ini dapat difotokopi tetapi dengan harga tinggi yang dikawal oleh mereka, Mungkin RM1 satu muka surat ataupun lebih.
Demi menjamin monopolinya, ‘along’ yang memegang francais harus mendakwa satu atau dua orang yang fotokopi melalui pihak yang lain untuk mengawal pasarannya. Hukuman berat terhadap “kesalahan” ini akan menakutkan orang awam dan juga pemilik kedai fotokopi biasa.
Maka pelajar terpaksa pergi ke pusat fotokopi pemegang francais ini sahaja untuk melakukan fotokopi. Ini merupakan suatu kemungkinan yang akan berlaku.
Kesemua ini tidak berlaku sebaik sahaja Perjanjian TPPA diratifikasikan. Tetapi dalam tempoh masa 10 ataupun 20 tahun sudah tentu perkembangan seperti ini akan berlaku dan pelajar kita akan dibebankan dengan kos yang tinggi.
Justeru itu , implikasi TPPA ini sungguh menakutkan dan akan menjejaskan hak pendidikan rakyat Malaysia. Hakcipta hanya merupakan sebahagian daripada 30 bab TPPA ini, dan implikasi bab –bab yang lain juga menunjukan bahawa rakyat Malaysia tidak akan bermanfaat dari perjanjian ini .
Dr. Jeyakumar Devaraj /Sivarajan
Parti Sosialis Malaysia