Tol lebuh raya: Rakyat hadapi ‘tiga kekalahan’ berganda
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menyifatkan pengguna jalan raya sebagai golongan paling kalah (The biggest loser) dalam Bajet Kementerian Kerja Raya 2016, sebaliknya ‘pemenangnya’ adalah syarikat-syarikat konsesi tol.
Katanya, dalam perbahasan peringkat jawatankuasa bajet kementerian itu semalam, Menteri Kerja Raya mengumumkan kadar tol untuk 8 lagi lebuh raya akan naik pada tahun 2016.
Bagaimanapun menurut Sim, peruntukan RM593 juta untuk bayaran pampasan tol kepada syarikat konsesi datang daripada pemotongan bajet untuk penyelenggaraan jalan persekutuan Sabah, Sarawak dan semenanjung Malaysia.
Beliau berkata, kementerian memotong peruntukan untuk penyelenggaraan jalan Persekutuan Sabah, Sarawak dan Labuan daripada RM429 juta (2014) kepada RM160 juta (2015) dan RM100 juta pada tahun 2016.
Ia merupakan pengurangan mendadak dua tahun berturut-turut sebanyak RM329 juta jika dibandingkan pada tahun 2014.
Manakala bagi penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Semenanjung pula, peruntukan dipotong sebanyak RM200 juta daripada RM640 juta (2014) kepada RM440 juta (2016).
“Maka, boleh disimpulkan bahawa, peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk menyelenggarakan jalan persekutuan telah dipindah ke peruntukan pampasan tol.
“KEADILAN tidak bersetuju dengan pendekatan Kerajaan yang memotong peruntukan penyelenggaraan jalan persekutuan demi membayar syarikat-syarikat tol.
“Peruntukan tersebut penting untuk memastikan jalan persekutuan sentiasa keadaan baik dan selamat untuk pengguna jalanraya.
“Memotong peruntukan penyelenggaraan jalan persekutuan untuk membayar pampasan tol adalah dasar yang songsang dan meletakkan pengguna jalan raya dalam keadaan bahaya,” katanya.
Justeru katanya, KEADILAN menyeru kerajaan mengembalikan peruntukan penyelenggaraan jalan persekutuan sepertimana bajet tahun 2014.
“Maka boleh disimpulkan pengguna jalan raya adalah “the biggest loser” dan “the only winner” adalah syarikat konsesi yang mendapat duit dari semua pihak,” katanya.