Jangan lupa janji semak semula undang-undang ‘draconian’


Saya merujuk kepada ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri bahawa Kerajaan akan mengekalkan dua undang-undang yakni Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (“SOSMA”) dan Akta Pencegahan Jenayah (“POCA”), dengan pindaan-pindaan.
Mengenai SOSMA, ia mengandungi peruntukkan-peruntukkan drakonian yang bertentangan dengan hak asasi manusia dan prinsip keadilan. Oleh itu, apa-apa pindaan yang dibuat mestilah mengeluarkan peruntukkan-peruntukkan tersebut.
Antara peruntukkan drakonian dalam undang-undang tersebut adalah kuasa pihak polis untuk menahan seorang saspek selama 28 hari tanpa perlu mendapat apa-apa perintah tahanan reman daripada Mahkamah. Dalam tempoh tahanan ini, saspek tidak diberi akses kepada peguam dan selalunya dikenakan tekanan untuk membuat pengakuan salah. Sekiranya pindaan dibuat, penahanan 28 hari ini boleh dikekalkan, tetapi dengan memastikan bahawa penahanan itu diperintahkan oleh Mahkamah, dan bukannya melalui kuasa pihak polis.
Selain daripada kuasa menahan ini, SOSMA juga mempunyai peruntukkan-peruntukkan yang bertentangan dengan kaedah-kaedah pembuktian (rules of evidence), yang telah menjadi tonggak sistem keadilan jenayah untuk sekian lama. Sekiranya pindaan dibuat, peruntukkan-peruntukkan ini mestilah dikeluarkan supaya perbicaraan seseorang tahanan SOSMA boleh dijalankan dengan adil.
Walaupun ianya tidak mustahil untuk meminda SOSMA dengan mengeluarkan aspek-aspek yang bermasalah, namun ia memerlukan suatu rombakan yang meluas. Adalah lebih mudah dan cermat sekiranya pihak Kerajaan memansuhkan sahaja Akta tersebut dan menggantikannya dengan Akta yang dapat mengimbangi kebebasan asasi dan juga keperluan untuk melawan ancaman-ancaman terhadap keselamatan negara.
Berkenaan dengan POCA pula, berbeza dengan SOSMA di mana seseorang tahanan harus dibicarakan di Mahkamah. POCA membenarkan tahanan tanpa bicara. Undang-undang seperti ini adalah bertentangan dengan kedaulatan undang-undang (rule of law) dan tidak mempunyai tempat di dalam sesebuah negara demokratik seperti Malaysia. POCA adalah undang-undang yang membayangi Akta Kesalamatan Dalam Negeri (ISA) yang dikritik hebat sebelum ini.
Tidak ada pindaan yang boleh dibuat untuk ‘menyelamatkan’ POCA daripada menjadi sebuah undang-undang yang zalim dan menekan.
Di samping itu, POCA juga tidak diperlukan kerana adalah jelas bahawa pihak berkuasa mempunyai kepakaran dan sumber yang mencukupi untuk menyiasat kesalahan-kesalahan berkenaan dengan ketenteraman awam dan membawa mereka yang melakukan kesalahan ke muka pengadilan di Mahkamah.
Kerajaan diingatkan tentang janji mereka sebelum ini untuk menyemak semula segala undang-undang draconian dan represif, dan saya menggesa Kerajaan untuk mempertimbangkan keputusan untuk mengekalkan SOSMA dan POCA. 
*Syahredzan Johan adalah Setiausaha Politik kepada Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Iskandar Puteri

Pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran, adalah penawar terbaik buat Malaysia!


Di penghujung 2018, rakyat Malaysia berpeluang meraikan perubahan kerajaan buat kali pertama setelah 61 tahun yang berlaku sekali seumur hidup. Walaupun korupsi yang berakar dan penyalahgunaan kuasa antara sebab-sebab untuk kejayaan besar gabungan pembangkang PH pada 9 Mei 2018, sebab utamanya masih kesusahan ekonomi yang dialami rakyat akibat kegagalan polisi, kapitalisme kroni, dan sudah tentunya skandal-skandal kewangan 1MDB yang cukup terkenal.

Kerajaan baharu PH di bawah pimpinan tegas dan berminda perubahan Perdana Menteri tertua di dunia, Tun Dr Mahathir Mohamad, telah mengecap beberapa kejayaan yang jelas. Malaysia telah membebaskan diri dari menjadi simbol kleptokrasi global dengan menuntut akauntabiliti penuh untuk skandal 1MDB, memburu pemulangan wang yang dicuri, dan mendakwa mereka yang bertanggungjawab. GST telah diganti dengan SST, serta RM19.4 Bilion bayaran balik GST yang tidak dibayar akan dipulangkan kepada pembayar cukai pada tahun 2019, setelah tertangguh selama 2 tahun apabila Kerajaan terdahulu enggan membayar balik wang tersebut.

Walaupun berlaku kurangan dana setelah pemansuhan GST, dan kerosakan akibat skandal 1MDB dan hutang RM1 Trilion, termasuk membayar RM8.3 Bilion atau 88% dari nilai kerja projek talian paip yang hanya siap 10%, Kerajaan PH masih mampu meneruskan program bantuan kebajikan kepada mereka yang memerlukan. Harga petrol dan kadar tol lebuh raya telah dibekukan dan kenaikan tidak dibenarkan. Untuk pertama kalinya penjawat awam Kerajaan menerima bayaran khas akhir tahun mereka pada tahun yang sama, dan bukan tahun berikutnya.
Melalui pentadbiran yang bersih dan tabir urus CAT iaitu cekap, akauntabiliti, dan telus, Kerajaan PH mampu mendapatkan penjimatan tambahan sebanyak RM1.6 Bilion di hujung tahun, yang telah diagihkan dan dikongsi dengan penjawat am, penoreh getah dan pekebun kecil, peneroka FELDA dan ibu bapa berpendapatan kurang dari RM3,000. Lebih penting lagi, kumpulan B40 akan menerima, buat kali pertama di dalam sejarah, perlindungan insurans kesihatan secara percuma di dalam bentuk bayaran RM8,000 untuk diagihkan dalam tempoh masa yang akan ditentukan, dan bayaran pendapatan gantian ketika rawatan di hospital selama 14 hari setiap tahun sebanyak RM50 sehari, atau RM700 setahun.

Malaysia perlukan 3 tahun untuk pulihkan kesihatan kewangan kita dan mengambil tempat sebagai ekonomi baru muncul yang mempunyai harapan untuk mencapai status pendapatan tinggi. Bloomberg telah pun meletakkan Malaysia di tempat pertama di kalangan 20 ekonomi baru muncul terbaik di dunia. Meskipun terpaksa membaiki kerosakan kewangan yang dilakukan Kerajaan terdahulu, kesemua 3 agensi penarafan kredit antarabangsa mengekalkan taraf Malaysia.

Undi percaya ini dibuktikan dengan peningkatan mendadak di dalam eksport pada Oktober 2018 kepada taraf tertinggi di dalam satu bulan sebanyak RM96.4 Bilion dan lebihan dagangan sebanyak RM16.3 Bilion yang mencatatkan rekod. Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang telah diluluskan di dalam sektor pembuatan meningkat dari Mei ke September 2018 sebanyak RM27.7 Bilion atau 379% dari RM7.3 Bilion tahun 2017 kepada RM35 Bilion tahun 2018.

Pertumbuhan ekonomi dan kekayaan yang dinikmati semua adalah penawar terbaik untuk politik polarisasi yang meracun, eksploitasi sentimen perkauman dan pelampauan agama, yang menggugat tatanegara Malaysia. PH satu-satunya gabungan politik yang tidak korup dan berkemampuan untuk mengurus ekonomi, membayar gaji dan saraan penjawat awam, membangunkan ekonomi dan meningkatkan pendapatan rakyat pada masa yang sama. Pada ketika ini, hanya Pakatan Harapan merupakan gabungan politik yang boleh mewakili rakyat Malaysia mengikut demografi atau geografi, dari semua bangsa, agama, dan latar belakang, tidak kira sama ada mereka dari Perlis, Johor, Sabah atau Sarawak.

2019 akan menjadi tahun yang lebih baik untuk Malaysia jika kita kekal bersatu padu demi masa hadapan yang cerah untuk anak-anak kita. Bersama-sama kita membangun agar ekonomi kita boleh mengaum semula dan rakyat Malaysia sekali lagi akan disegani seantero dunia.

Selamat Tahun Baru 2019!

*Ucapan Tahun Baru 2019 DAP oleh Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng


AZMIN BELUM LAYAK JADI PERDANA MENTERI.....



Di sebalik Tun Mahathir Mohamad sekali lagi mengulangi komitmennya untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar Ibrahim tidak lebih daripada tempoh dua tahun selepas beliau memegang jawatan itu, spekulasi lain terus tersebar dan berkembang hampir setiap hari.

Spekulasi paling diperkatakan ialah kononnya Azmin Ali adalah calon pilihan dan pujaan sebenar Tun Mahathir untuk mengisi jawatan Perdana Menteri ke-8, bukannya Anwar.

Sementelah dengan terdedahnya percutian beliau bersama Hishammuddin Hussein di Maghribi baru-baru ini, ia dikatakan adalah salah satu usaha untuk mendapatkan sokongan sebahagian Ahli-Ahli Parlimen UMNO bagi tujuan "mencantas" laluan Anwar itu.

Dengan mendapat sokongan daripada Ahli-Ahli Parlimen UMNO untuk menyokongnya menjadi Perdana Menteri, sebagai balasan yang kononnya direstui oleh Tun Mahathir, Azmin diberitakan akan menjadikan Hishammuddin sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Sebelum ini berkembang juga satu lagi khabar angin kononnya Tun Mahathir mahu menjadikan Azmin sebagai penggantinya ialah dengan tujuan untuk memastikan anaknya, Mukhriz segera mendapat tempat sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Bersama dengan semua desas-desus itu, tindakan terbaru Azmin menyanggah perlantikan jawatan dalam PKR yang dibuat oleh Anwar bagai membuktikan satu lagi petanda bahawa Timbalan Presiden PKR itu sudah sedia untuk berperang secara terbuka dengan Presiden PKR.

Menguatkan lagi spekulasi mengenai Azmin itu ialah berikutan dalam Bersatu sendiri, terutama mereka yang pro Tun Mahathir turut tidak segan-segan lagi kebelakangan ini menamakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu sebagai calon Perdana Menteri ke-8.

Kumpulan ini benar-benar menolak Anwar sebagai pengganti Tun Mahathir, bahkan ada yang membayangkan mahu jadi pembangkang semula kiranya bukan Azmin yang dinamakan sebagai Perdana Menteri ke-8 menggantikan Tun Mahathir.

Kepada yang ghairah mahu menonjolkan Azmin, sedarlah satu hakikat bahawa menjadi Perdana Menteri bukan suatu tugas yang mudah dan Azmin belum layak lagi untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Selain usianya yang masih muda, pengalaman beliau dalam pentadbiran kerajaan juga terlalu mentah. Azmin hanya ada pengalaman selama kira-kira tiga tahun sebagai Menteri Besar Selangor dan langsung tiada pengalaman di peringkat kerajaan Pusat sebelum ini.

Jawatan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi adalah yang pertama baginya dan kalau ada pun pengalamannya di peringkat kerajaan Pusat sebelum ini hanyalah sebagai Setiausaha Sulit kepada Anwar sahaja. 

Selebihnya pengalaman beliau tidak ada. Kejayaan atau sumbangannya yang ternampak dan boleh diingati sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi juga masih tidak ada.

Bahkan, selama menjadi Menteri Besar Selangor juga, Azmin tidaklah begitu menonjol serta tidak ternampak pun sumbangannya yang boleh diingati sehingga ke hari ini.

Apakah pemimpin yang ada pengalaman secetek itu mahu kita sandarkan harapan menguruskan negara?

Kalau dikira, Mukhriz jauh lebih berpengalaman berbanding Azmin kerana selain pernah sebelum ini dan kembali menjadi Menteri Besar Kedah sekarang, beliau juga ada pengalaman sebagai Timbalan Menteri di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri atau MITI.

Cumanya, Mukhriz agak kurang ketokohan sebagai pemimpin dan beliau dikatakan hanya mampu bertahan selagi bapanya masih ada saja. Di dalam Bersatu sendiri Mukhriz selalu digelar "Mat Blur".

Untuk itu, selain kerana sudah ada perjanjian, tokoh yang sebenarnya paling layak dari segi pengalaman untuk menjadi Perdana Menteri ke-8 ialah Anwar. 

Beliau pernah menjadi menteri di beberapa kementerian sehingga ke jawatan Timbalan Perdana Menteri sebelum dipecat oleh Tun Mahathir pada 1998 dahulu.

Anwar juga ada pengalaman menjadi Ketua Pembangkang dan mempunyai hubungan yang baik serta dkenali ramai di peringkat antarabangsa. 

Di dalam negara, selain mempunyai hubungan baik dengan ketua-ketua parti dalam Pakatan Harapan, malah kuat dan mantapnya gabungan pembangkang tersebut sehingga berjaya menjadi kerajaan mengalahkan BN pada PRU14 lalu adalah diasaskan oleh Anwar sejak 1998 dahulu. 

Tun Mahathir hanyalah menjadi penyudahnya saja kerana kebetulan Anwar berada di penjara.

Selepas Anwar, tokoh seterusnya yang layak dari segi pengalaman dan ketokohan untuk menerajui negara ialah Muhyiddin Yassin. Beliau pernah menjadi menteri di beberapa kementerian sehingga ke tahap Timbalan Perdana Menteri sebelum mengambil pendirian berbeza dengan Najib Razak berhubung isu 1MDB, lalu dipecat kemudiannya.

Ketika menjadi Menteri Besar Johor, Muhyiddin telah menunjukkan kejayaannya dalam menangani beberapa isu, terutamanya berkaitan Raja-Raja dan perpaduan Melayu Johor selepas UMNO diharamkan pada 1988.

Berdasarkan kedudukan itu, Azmin sebenarnya jauh tertinggal di belakang Anwar dan Muhyiddin dari segi pengalaman dan ketokohan untuk dinamakan sebagai Perdana Menteri ke-8. Banyak lagi pengalaman perlu dikutip dan pembinaan diri perlu dilakukannya sebelum melayakkannya menjadi Perdana Menteri.

Jangankan untuk menjadi Perdana Menteri ke-8 belum layak, sebagai calon Perdana Menteri ke-9 pun Azmin masih 50-50 kelayakannya. Yang sesuai  barangkali hanyalah sebagai calon Perdana Menteri ke-10. (ShahbudinHusin 02/01/2019).

ECRL DITERUSKAN, SKALA LEBIH KECIL

ANWAR TAK KATA MAHU JADI PM LEBIH AWAL DARI 2 TAHUN – TUN M