RAFIZI RAMLI
Saya selalunya
bercuti dengan isteri dan anak melawat tempat-tempat yang kita banyak dengar
cerita tetapi jarang berkesempatan melihat sendiri. Cuti sekolah baru-baru ini
saya bawa anak dan isteri menziarahi makam Hang Tuah.
Kebetulan minggu ini
timbul isu Melayu akan hilang 10 tahun dari sekarang. Amaran itu diberikan oleh
Tun Mahathir, yang telah mewarnai dan mempengaruhi masyarakat dan negara kita
sejak lebih 60 tahun lepas.
Amaran Tun Mahathir
itu cukup berbeza dengan kata-kata semangat yang dikaitkan dengan Laksamana
Hang Tuah 500 tahun lalu, iaitu “takkan Melayu hilang di dunia”.
Persoalan mengenai
kedudukan Melayu dalam masyarakat dan negara ini telah menjadi salah satu isu
pokok sejak seratus tahun lalu. Seperti juga isu-isu lain yang berupaya mempengaruhi
emosi masyarakat, ada pelbagai pandangan mengenainya. Sebahagian pandangan itu
bersifat ekstrem, ada juga yang menolaknya seolah-olah ia bukan pun satu isu.
Lazimnya, pandangan
yang paling selari dengan perasaan rakyat terbanyak adalah yang berada di
tengah-tengah, yang mewakili majoriti yang senyap (“the silent majority”).
Adakah kita wajar
berpeluk tubuh dan berpuas hati dengan pencapaian masyarakat Melayu sekarang?
Pandangan saya, ada
perkara-perkara yang wajar memberi lebih keyakinan kepada kita bahawa
keadaannya tidaklah seperti yang digambarkan Tun Mahathir.
Contohnya, orang
Melayu kini membentuk kelas pertengahan (middle class) yang besar dalam negara
kita berbanding 50 tahun dahulu. Orang Melayu juga membentuk kelas profesional
yang besar. Kejayaan membina kelas pertengahan dan kelas profesional yang besar
ini adalah bukti orang Melayu berkemampuan menaiki mobiliti sosial melalui
pelaburan kerajaan dalam pendidikan.
Tetapi, saya faham
jika ada yang sering mempersoalkan mengenai penguasaan Melayu dalam bidang
ekonomi. Isu yang sering dibangkitkan ialah sama ada peluang ekonomi yang
disediakan oleh kerajaan mencukupi untuk melonjakkan penguasaan ekonomi orang
Melayu.
Di sinilah asalnya
doktrin “Melayu Akan Hilang” jika kuasa politik tidak dimonopoli oleh beberapa
kerat elit Melayu, seperti yang dibawa oleh Tun Mahathir. Beliau menyamakan
kuasa politik sebagai lubuk harta yang boleh digunakan untuk memberi
keistimewaan ekonomi (orang kita selalu panggil sebagai “projek”) kepada
beberapa kerat orang Melayu terpilih, atas alasan demi menyamakan keupayaan
ekonomi Melayu dengan bukan Melayu.
Jika saya menjadi
ahli politik dalam tahun 70an atau awal 80an, saya mungkin bersifat terbuka
dengan doktrin itu, kerana ia mungkin berupaya melahirkan hartawan Melayu yang
membawa syarikat Melayu ke persada antarabangsa. Mungkin kita ada
syarikat-syarikat besar seperti mana Samsung, LG, Hyundai dan seumpamanya
merubah ekonomi Korea Selatan.
Namun kita telah
melalui zaman itu. Tun Mahathir telah pun melaksanakan ideanya untuk melahirkan
beberapa hartawan ternama dari kalangan niagawan Melayu dengan campur tangan
kerajaan. Eksperimen itu tidak berjaya selepas diuji dengan krisis kewangan
Asia Timur tahun 1997/98.
Kita juga tahu kesan
sampingan dari doktrin mencampur aduk kuasa politik dan korporat yang dibawa
oleh Tun Mahathir ini. Soal tata kelola bercampur aduk apabila sektor ekonomi
utama boleh diberikan kepada individu tertentu; dan individu-individu tersebut
perlu menyumbang wang untuk membantu ahli-ahli dan parti-parti politik.
Pada saya, kita telah
melalui semua ini hasil dari doktrin kuasa politik-korporat yang dibawa Tun
Mahathir ini (“been there, done that”).
Maka cabaran orang
Melayu dalam bidang ekonomi, pada ketika ini, ialah untuk kembali kepada
landasan asal yang digagaskan dalam 15 tahun pertama selepas merdeka, iaitu:
1) Bagaimana
melonjakkan kelas menengah Melayu dari kumpulan yang makan gaji (walaupun
bergaji besar) kepada kelas yang mencipta kekayaan dengan mengusahakan
perniagaan yang berdaya saing dan mengambil risiko? Sekiranya model kejayaan
kelas menengah Melayu ialah makan gaji dengan syarikat korporat besar (walaupun
berkelayakan tinggi), sampai bila-bila orang Melayu merasakan mereka tidak
menguasai bidang ekonomi setanding dengan bukan Melayu.
2) Penciptaan
kekayaan oleh kelas menengah Melayu mestilah berpaksikan daya saing dan
keupayaan membangunkan perniagaan (produk dan perkhidmatan) yang mampan. Tidak
ada istilah Orang Kaya Baru, atau Orang Cepat Kaya. Jalan pintas untuk menjadi
kaya sepatutnya tiada dalam istilah pengupayaan ekonomi orang Melayu.
3) Mempersiapkan
minda orang Melayu bahawa ancaman kepada penyertaan ekonomi orang Melayu
bukanlah orang bukan Melayu di negara ini, tetapi keterhubungan ekonomi akibat
globalisasi. Pesaing sebenar ialah produk dan perkhidmatan dari serantau dan
luar negara yang memasuki pasaran kita kerana lebih murah atau lebih
berteknologi tinggi. Faktor skala operasi dan capaian pasaran dunia menjadi
faktor penentu kemampanan sesebuah perniagaan, termasuklah syarikat-syarikat
berkaitan kerajaan yang banyak diterajui oleh kelas menengah Melayu.
Saya percaya Tun
Mahathir akan terus berpegang kepada doktrin kuasa politik-korporat ini sampai
bila-bila.
Namun saya memilih
untuk menghayati pesanan Hang Tuah bahawa “takkan Melayu hilang di dunia” (dan
memahami konteks pesanan itu di akhir Kesultanan Melayu Melaka, apabila
kekuasaan boleh mengatasi kewarasan; maka kelangsungan Melayu terletak kepada
pimpinan yang adil, berhemah dan berpada-pada menggunakan kuasa).